saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 07/08/2006

Akademi Fantasia 4 sudah kehilangan magis


Tersenyum bangga... Farhan, Faizal dan Lotter dengan hadiah masing-masing.



JANGKAAN yang jauh tersasar. Bukan tentang siapa pemenangnya tetapi mengenai rancangan itu sendiri. Tiada lagi fenomena malah program realiti popular terbitan Astro, Akademi Fantasia (AF) dianggap sudah tiada magis.

Segala-galanya hambar. Kejutan demi kejutan yang cuba dilakukan kerap dikecam sehingga dilihat sebagai satu gimik picisan lagi murahan.

Sejak awal iaitu dari konsert prelude yang berlangsung 28 Mei lalu sehinggalah kepada konsert akhirnya malam Sabtu lalu, AF musim keempat dilihat kurang memberi impak maksimum.

Jumlah undian bagi keseluruhan konsert bagi tahun ini juga semakin berkurangan biarpun pihak Astro menegaskan jumlah penontonnya semakin meningkat tahun ke tahun.

Berbanding tahun lalu yang jumlah undian keseluruhan SMS sebanyak 10.7 juta, pada tahun ini undian hanya mencapai 7.4 juta iaitu penurunan 3.3 juta.

Jumlah keseluruhan undian paling tinggi yang pernah dicapai sejak AF diperkenalkan tiga tahun lalu adalah pada musim kedua iaitu berjumlah 15 juta.

Namun Astro mempunyai alasan tersendiri mengapa ketaksuban terhadap program yang diadaptasi daripada program La Academia, Mexico itu semakin berkurangan.

Pengarah Kanan Program Astro, Zainir Aminullah memberikan jawapan terhadap kehambaran AF musim kali ini.

Menurut Zainir, faktor utama yang memberikan kesan kepada program realiti popular itu ialah penganjuran Piala Dunia yang kebetulan berlangsung pada musim AF.

Faktor itu, kata Zainir pada sidang akhbar yang berlangsung selepas konsert akhirnya di Stadium Putra, Bukit Jalil, telah menyebabkan berlaku pecahan audiens.

Justeru, dalam usaha memastikan pelanggan Astro khususnya peminat AF berpeluang menonton rancangan itu, pihak penerbit telah menukar waktu siarannya bagi dua konsert awal mingguannya.

“Apabila penonton memilih untuk menonton Piala Dunia, secara tidak langsung mereka ketinggalan dan kurang mengenali peserta dari awal,” katanya.

Ketaksuban untuk menyaksikan IA juga semakin kurang sehingga menyebabkan tiada lagi berlaku fenomena untuk menonton program tersebut.

“Pada musim kedua kita dapat menyaksikan jumlah undian audiens yang paling maksimum dan pada musim ketiga pula, kita ada faktor tsumawi.

“Tapi kita tak boleh ada Mawi setiap tahun. Tak realistik. Kami bangga dengan fenomena Mawi. Tapi kami juga perlu akui tidak boleh melahirkan fenomena itu setiap tahun,” jelas Zainir.

Selain itu, Zainir tidak menafikan bahawa format dan ‘drama-drama’ yang dipaparkan dalam Diari AF yang sudah boleh diduga juga mengundang kepada kehambaran AF musim ini.

Justeru, satu persoalan timbul sama ada penganjuran AF akan diteruskan pada musim kelima tahun depan.

Malah Zainir sendiri lebih senang berteka-teki sewaktu menjawab persoalan mengenainya.

“Mungkin ada... mungkin tidak,” demikian jawapan Zainir sambil menegaskan post-mortem akan dilakukan selepas ini untuk mengkaji semula kelemahan program itu.

Bagaimanapun, tegas Zainir, AF yang merupakan satu jenama Astro tetap menjadi tapak untuk mengukuhkan perniagaan.

“Ini kerana, walaupun orang kata AF kali ini hambar tetapi pengaruhnya masih kuat memandangkan setiap kali musim AF, pelanggan baru bertambah semata-mata untuk menontonnya,” jelas Zainir.

Mengenai produksi yang dilihat semakin kurang kreatif untuk menonjolkan sesuatu yang baru dalam AF, Pemangku Pengurus Kanan Program Melayu Astro, Khairul Anwar Saller pula menjelaskan:

“Ini program realiti. Ada yang menjadi, ada yang tidak. Dan ia juga melibatkan trend penonton yang perlu dihadapi sebagai satu cabaran. Kami akur dan akan kaji apa yang boleh dikembangkan dan diperbaiki.”

Sementara itu, Pengetua AF4, Ramli Sarip pula berpendapat, kebijaksanaan pengundi masa kini turut mempengaruhi jumlah undian yang diterima pada musim ini.

Malah tegas Ramli, bukan tugasnya untuk mencipta fenomena atau magis dalam AF.

“Jika ditanya, secara peribadi saya mahu melahirkan seorang penyanyi dan penghibur yang ada jiwa.

“Saya mahu mereka jadi artis yang besar, berdikari dan berdisiplin. Dan melihat mereka, saya dapati mereka berlima ada elemen-elemen yang mampu mewarnai pasaran.”

AF perlu juri profesional

Kemenangan peserta lelaki sekali lagi pada konsert akhir AF4 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil malam Sabtu lalu tidak mengejutkan.

Ini kerana, mahu atau tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa kebanyakan para pengundi adalah terdiri daripada gadis remaja dan wanita.

Justeru, faktor gender yang mempengaruhi undian dilihat lebih memihak kepada peserta lelaki.

Biarpun pada satu peringkat dalam AF musim ini ada yang beranggapan peserta wanita akan menjadi juara, malangnya elemen yang buat julung kalinya wujud dalam program itu terhapus begitu sahaja.

Di mana silapnya? Sukarkah peserta wanita memecahkan dominasi peserta lelaki untuk memenangi hati pengundi AF?

Atau perlukah pihak Astro mengkaji semula format penjurian yang selama ini memberikan hak eksklusif menentukan pemenang di tangan penonton? Perlukah ia melibatkan penilaian oleh juri profesional?

Tenaga pengajar AF, Fauziah Nawi berpendapat sistem penjurian profesional perlu dilaksanakan untuk mencari seorang juara yang bukan sahaja berpotensi tetapi juga berbakat dan popular.

Justeru, penjurian yang sama rata iaitu 50 peratus juri profesional dan 50 peratus menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) mampu mengubah senario.

“AF patut tukar sistem. Selama ini kita lihat ia hanya dijuarai oleh lelaki. Kerana mereka lebih memikat hati pengundi,” ujar Fauziah.

“Format perlu ditukar kerana semua sudah tahu mengenainya. Saya rasa sudah tiba masanya format itu dikaji semula. Tapi segala-galanya terpulang kepada pihak Astro,” kata Sham Kamikaze pula.

Walau apapun anggapan dan pandangan segelintir peminat rancangan realiti itu, apa yang nyata dengan kemenangan Faizal sebagai Juara AF4, sudah ada pihak yang meramalkan pemuda kampung yang tebal dengan semangat Terengganunya itu bakal menumbangkan populariti Mawi!

Ke mana mereka setelah bergelar Juara AF

Tidak dapat dinafikan Akademi Fantasia merupakan salah satu platform melahirkan bintang muda dalam industri seni.

Ini tidak dapat disangkal lagi apabila ketiga-tiga juara yang terdahulu telah pun menempah nama mereka sebagai bintang.

Juara AF1, Vince bukan sahaja bergelar penyanyi malahan disambar sebagai pelakon dalam filem Sembilu 2005. Telah menghasilkan dua buah album antaranya Janji Vince, kehebatan Vince tidak dapat dinafikan.

Dia juga telah berjaya meraih beberapa kejayaan seperti Artis Terbaik Anugerah Planet Muzik 2005 dan Artis Baru Terbaik AIM 12.

Juara AF2, Zahid pula berjaya memenangi Artis Harapan Pilihan Anugerah Era 2005 dan telah muncul dengan sebuah album berjudul Wo.

Mawi yang merupakan juara AF3, tidak dapat dinafikan berjaya meraih populariti paling cepat berbanding Vince dan Zahid.

Bukan sahaja berjaya menghasilkan tiga buah album iaitu Best Of Mawi, Yang Tercinta dan Qasidah... Doa, Berzanji, Marhaban dan Qasidah, Mawi turut terpilih menjadi duta bagi 10 buah produk, antaranya Duta Canon, Mamee Slurpp dan M. Mobile.

Selain itu, dia juga berjaya memenangi beberapa pertandingan seperti Juara Lagu dan Hits 1.

Kini dengan kejayaan yang diraih oleh Faizal sebagai juara AF4 sudah pasti anak kelahiran Marang, Terengganu ini akan menjadi rebutan produk-produk terkenal tanah air.

Personaliti Faizal yang tampan bersahaja apalagi dengan jiwa anak kampung yang begitu menebal tidak mustahil Faizal akan menjadi rebutan syarikat-syarikat yang mencari duta yang sudah ada nama dan diminati.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.