saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 13/08/2006

Julia Hana tak sembunyi lagi


JULIA HANA.


PADA awal kontroversi kes tarik rambut Julia Hana dan isteri seorang Datuk heboh diperkatakan pada April lalu, pelakon ini hanya mendiamkan diri.

Dia memilih untuk ‘zip’ mulutnya kemas-kemas dan mengurung diri di rumah. Barangkali dia malas untuk bertemu pihak media yang sudah pasti akan mengajukan seribu satu soalan mengenai isu yang tengah menggelegak.

Lama juga Julia ‘bersembunyi’ tetapi baru-baru ini dia keluar dari pertapaan. Kata Julia, dia tidak mahu bersembunyi lagi.

``Lagi lama saya sembunyi, lagi banyak orang ingat saya bersalah. Jadi sekarang ini saya keluar, jumpa orang, jumpa media macam biasa, macam dulu-dulu,’’ kata pelakon yang kelihatan sedikit berisi ini penuh ramah.

Julia dituduh merampas ‘suami’ wanita yang berlagak seperti kenamaan itu, ( katanya seorang Datuk yang berpangkal nama J) ditaja dan mengganggu kebahagiaan rumah tangga orang.

Kerana tanggapan itu, Julia dikenakan hukuman oleh isteri ahli perniagaan berkenaan di Mid Valley, Bangsar.

Kejadian yang penuh dramatik itu tidak berakhir di situ sahaja, tetapi kemudiannya tersebar dengan meluas di akhbar dan Internet.

Pada waktu kejadian itu, kata Julia dia berasa sangat terhina. Bagai langsung tidak mempunyai harga lagi apabila diperlakukan dengan sewenang-wenangnya.

Bahkan traumanya belum berakhir. Kejadian malang itu juga dibawa dalam ingatan sehingga ke hujung hayatnya.

“Saya dimalukan di hadapan orang ramai untuk kesalahan yang saya sendiri tidak tahu. Apabila kena macam itu, akhbar mula kecoh hal saya. Ini menjadikan saya makin tertekan,’’ jelas Julia lagi.

“Selama ini punyalah payah untuk menjaga nama baik sendiri, senang-senang saja orang lain cuba untuk rosakkan.

“Kalau betul-betul saya buat saya puas hati, tapi saya tak buat seperti yang dituduh perempuan berkenaan.’’ ceritanya menahan getar di dada.

* Bertemu di mahkamah

Bagaimanapun sikap berdiam diri Julia menyebabkan pihak yang satu lagi terus ‘menyerangnya’ secara berterusan.

Beberapa siri pendedahan akhbar dan televisyen dibuat sehingga pada akhirnya mencabar kewibawaan Julia sebagai manusia.

Ada cerita yang tidak menamakan dirinya secara langsung, ada yang terus mendedahkan namanya.

Mei menjadi bulan yang penuh dengan kontroversi apabila nama Julia dibualkan dengan kisah kotor ini oleh anggota masyarakat dengan meluas.

Justeru keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang didakwa mencemarkan maruah diri dan keluarganya.

“Kalau kerana saya artis, maka dengan senang orang mahu menjatuhkan maruah saya, maaflah saya terpaksa bertindak,’’ katanya.

Dia tidak mahu berdiam diri lagi kerana pada akhirnya dia terus dikaitkan dalam isu berkenaan sebagai pesalah.

“Sebab itu demi nama keluarga saya, saya ambil tindakan ini (saman). Kalau hendak hebohkan pada semua orang yang saya ni tak bersalah, susah juga. Takkan saya hendak pergi kepada semua orang dan cakap yang saya ni tak bersalah.

“Saya kena juga ambil tindakan undang-undang dengan harapan kes ini akan diadili dengan adil dan saksama tanpa bebannya saya seorang yang terima,’’ katanya lagi.

Menurut Julia dia membuat keputusan menyaman pihak yang menebarkan fitnah kepada dirinya kerana tidak mahu nama keluarganya terus terpalit dengan arang.

Luka yang ditanggung tidak mahu dibebankan kepada keluarga yang pada hari ini menerima lebih banyak tujahan.

“Saya lakukannya demi keluarga. Kalau terus berdiam, orang anggap saya bersalah. Masyarakat kita akan membuat tuduhan bahawa saya adalah pesalah dalam hal ini hanya semata-mata kerana saya seorang artis.

“Jadi untuk lebih adil kepada diri saya sendiri, saya ambil keputusan bawa hal ini ke muka pengadilan dan biarkan mereka yang arif tentukan kedudukan perkara ini,” katanya nekad.

* Serik mencari cinta

Pelbagai insiden yang dilihat dan dialami sendiri membabitkan lelaki menjadikan Julia tidak lagi berani untuk bercakap soal cinta.

Bertambah takut kala diajukan soal perkahwinan. Kepada Julia, episod duka yang dilalui menjadikan dia ‘seriau’ dengan lelaki, apatah lagi untuk mencari yang istimewa.

“Kahwin? Takutlah, tak berani, malas hendak fikir,’’ katanya seraya mencebikkan bibir dan dua tangan kaku mendakap tubuh.

Julia pada hari ini mungkin menjadi sebahagian daripada wanita yang serik untuk memulakan episod baru kehidupan dengan lelaki.

Baginya sukar sekali mencari erti kebahagiaan, apatah lagi mencari makna cinta yang sejati. Kepadanya lelaki yang bertanggungjawab, hormat kepada perempuan dan kasih sayang yang sarat sangat sukar ditemui.

Kalau adapun hanya satu dalam seribu dan pada masa ini dia belum bertemu dengan yang seumpama itu.

“Tak kahwin pun tak apa kalau berjumpa dengan lelaki tak bertanggungjawab,’’ mudah saja dia menuturkan kata.

Kebanyakan lelaki zaman sekarang menurut Julia sangat sukar untuk ditelaah tahap kesetiaannya, termasuk keikhlasan dalam bersahabat.

“Kalau adapun banyak yang jenis tak ikhlas. Sebab itu saya takut sangat bila cakap soal cinta, kahwin dan jodoh.

“Saya tidak mahu berkahwin dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab, yang menipu. Rasanya impian ini saya kongsi dengan setiap wanita lain jugakan?’’ tanya dia kepada saya.

Benar, seperti Julia, tidak ada mana-mana wanita yang secara sengaja mahu terjerumus dalam lembah duka.

Pun begitu dalam sikap berhati-hati, tidak kurang banyaknya wanita yang terpaksa berendam air mata sengsara gara-gara sikap buruk lelaki yang ditemui.

“Jadi jalan terbaik buat sementara waktu saya tak mahu lagi fikir soal kahwin. Saya buat kerja betul-betul cari duit, simpan duit. Cinta-cinta ni biar dululah,’’ katanya.

Dalam bicara kami, Julia sempat bercerita mengenai bekas teman lelakinya, penyanyi kumpulan A To Z, Jeff.

Masih mengikuti perkembangan lelaki yang pernah menjadi sahabat baiknya itu, Julia memberitahu Jeff kini sedang bahagia.

Kehidupan rumah tangga lelaki itu makin berseri dengan kehadiran seorang cahayamata perempuan.

“Julia gembira bila dapat tahu Jeff bahagia. Alhamdulillah. Semoga suatu hari nanti Julia pun bertemu dengan lelaki yang baik dan membina kehidupan berkeluarga macam orang lain juga,’’ katanya.

* Kisah si minah rempit

Jika Sembilu Kasih menghidangkan kepada kita watak Maria yang penuh dengan sopan dan susila, filem terbaru Julia Hana kontras sama sekali.

Julia Hana dalam filem Remp-it arahan Ahmad Idham adalah watak yang daring daripada segala segi. Pakaian dan pergaulannya menyerupai wanita rendah akhlak, berbeza dari Maria dalam Sembilu Kasih.

Apa pun kata Julia dia merasa hebat dengan watak berkenaan, kerana di situ dia bertemu dengan kelainan yang selama ini dicari.

“Saya pelakon, tak bolehlah hendak bawa watak baik saja. Sesekali kena keluar dari kepompong juga.

“Lagipun memang sudah lama sangat saya mengidam untuk berlakon dengan Idham, bila dah dapat saya kenalah terima,’’ katanya memperkatakan tentang filem terbitan Metrowealth Movies Production itu.

Ini adalah filem kelima Julia Hana selepas Gila Bola, Black Maria, Pontianak Menjerit dan Gerak Khas 3.

Bagaimanapun Remp-it istimewa kerana buat pertama kali Julia Hana tampil memegang watak utama.

Sementelah malam ini akan berlangsung acara yang dinanti-nantikan, acara kemuncak Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM 19) di PWTC, Julia mengharapkan sesuatu untuk Remp-it dari festival berkenaan.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa untuk diri saya. Cukuplah kalau filem ini menang anugerah-anugerah lain termasuk dari sudut teknikal, saya akan tumpang berbangga dengannya,’’ katanya bersemangat.

Untuk dia mengungguli trofi Pelakon Wanita Terbaik, kata Julia mungkin banyak likunya.

Selain terpaksa bersaing dengan banyak nama-nama hebat, Julia juga sedar watak dalam Remp-it tidak terlalu menonjolkan dirinya.

“Ia hanya watak yang ringan, jadi susah hendak dapat anugerah. Tetapi kalau ada rezeki layak ke senarai akhir pun saya sudah cukup gembira,’’ katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.