saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 23/08/2006

Masjid Diraja Sultan Sulaiman kekalkan pengaruh seni bina British


MASJID Diraja Sultan Sulaiman yang berusia 74 tahun telah dibina pada 1932.


PENJAJAHAN British selama 160 tahun di Tanah Melayu telah memberi pengaruh yang cukup besar ke atas gaya seni bina tempatan terutamanya kawasan penempatan pihak British.

Dari segi estetik, seni bina kolonial British di Malaysia secara dasarnya berbentuk hibrid yang boleh dikategorikan kepada pengaruh Moor, Tudor, Neoklasik dan Neo-ghotic.

Kebanyakan arkitek dan jurutera kelahiran British yang pernah berkhidmat di India dan beberapa negara jajahan British telah mengilhamkan gaya seni bina Moghul. Ia kemudiannya dikembangkan kepada beberapa binaan bangunan pentadbiran kerajaan termasuklah stesen kereta api di Semenanjung Malaysia.

Pengaruh seni bina Moor dapat dilihat pada Bangunan Sultan Abdul Samad yang didirikan pada 1897, Stesen Keretapi (1911) dan Ibu Pejabat Pengurusan Keretapi (1917). Secara kebetulan, terdapat beberapa arkitek dan jurutera yang terlibat dalam pembinaan masjid di Malaysia. Ini menjadikan gaya seni bina masjid berbeza dengan bentuk vernakular.

Gaya vernakular mempunyai ciri-ciri rumah Melayu tradisional yang dipengaruhi oleh faktor seperti keadaan iklim, penggunaan material, kerja tangan dan latar belakang etnik. Contoh masjid vernakular dengan pengaruh tradisional ialah Masjid Kampung Laut, Kelantan yang dibina pada 1730, Masjid Langgar, Kelantan (1871) Masjid Paloh, Perak (1912).

Antara masjid yang menerima sentuhan arkitek British ialah Masjid Diraja Sultan Sulaiman yang terletak di Klang, Selangor. Arkitek yang bertanggungjawab ialah L.Keste Ven. Masjid ini yang didirikan pada 1932 masih mengekalkan keasliannya hingga ke hari ini.

Menurut cucu kepada Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang juga Tengku Syahbandar Selangor, Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Aziz Shah al-Haj, keistimewaan masjid ini terletak pada pengaruh seni bina British yang sudah tidak ada lagi pada binaan masjid moden hari ini.

“Sekali pandang, ia tidak ubah seperti sebuah gereja kerana binaan menara masjid yang unik. Ini kerana, ia menerima pengaruh daripada jajahan British pada waktu tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kuarters Istana Alam Shah baru-baru ini.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ungku menceritakan, tujuan utama Sultan Sulaiman mendirikan masjid tersebut ialah untuk memudahkannya bersembahyang jemaah dengan rakyat terutama pada hari Jumaat.

“Dengan itu, almarhum membina masjid tersebut yang boleh memuatkan hingga 3,000 jemaah. Kadang-kala Sultan Sulaiman akan berkhutbah pada hari Jumaat,” tambah beliau.

Antara pengaruh gaya seni bina Barat yang dapat dilihat pada masjid ini ialah ukiran di mimbar yang nampak seolah-olah seperti salib sekiranya diperhatikan dengan teliti. Bagaimanapun, ukiran tersebut tidak boleh dibuang kerana ia akan merosakkan keasliannya.

Sebaliknya, pihak pengurusan masjid mengambil keputusan menutup ukiran tersebut dengan ayat Kursi. Unsur-unsur lama yang masih dikekalkan ialah cermin berwarna-warni yang boleh dilihat di bahagian atas kubah masjid.

“Memang ada cadangan untuk menjadikan masjid ini sebagai warisan negara. Atas sebab itu, Sultan Selangor amat peka dan tidak mahu sebarang pengubahsuaian dilakukan pada masjid kerana hendak mengekalkan keaslian pembinaannya pada 1932. Apa yang dilakukan hanyalah baik pulih seperti

cat baru supaya masjid kelihatan lebih menarik. Hingga kini, satu-satunya pengubahsuaian yang dilakukan ialah tempat wuduk yang dahulunya merupakan sebuah kolam besar. Selain itu, pada 1982, beberapa penambahan di kawasan masjid dilakukan bersesuaian dengan peningkatan jemaah,” ujar Pak Ungku.

Walaupun, sudah berusia 74 tahun, bangunan masjid ini masih kukuh dan teguh. Misalnya, pintu besi yang terdapat di sekitar masjid tidak pernah ditukar melainkan ditukar dengan cat baru. Begitu juga dengan mimbar yang diperbuat daripada kayu cengal dan chandeliar masih bertahan sehingga ke hari ini. Batu-bata dan marmar yang diimport dari negara-negara Islam seperti Turki menjadikan suasana pengudaraan dalam masjid nyaman dan menenangkan.

“Sebelum Masjid Sultan Abdul Aziz di Shah Alam dibina pada 1989, masjid ini berfungsi sebagai masjid negeri yang menjalankan pelbagai aktiviti seperti sambutan hari kebesaran Islam, Israk Mikraj, Maulidur Rasul, ceramah agama dan sebagainya. Tetapi, selepas itu, kebanyakan aktiviti tertumpu kepada masjid tersebut yang lebih luas dan selesa. Masjid ini sebenarnya pernah memberikan sumbangan besar kepada penduduk Kampung Jawa terutama kepada para pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah,” ujar beliau lagi.

Sebagai masjid yang terletak berdekatan dengan Makam Diraja, Pak Ungku tidak menolak berlakunya beberapa perkara mistik berdasarkan kepada cerita pengawal yang menjaga masjid pada waktu malam.

“Bagaimanapun, saya tidak berhadapan dengan gangguan-gangguan mistik sedemikian. Pernah pengawal bercerita kepada saya, pada waktu malam ada makhluk yang mengejutkannya ketika sedang nyenyak tidur. Malah musafir yang bermalam di masjid juga turut diganggu. Tetapi, ia terpulang kepada niat individu terbabit. Kalau niatnya baik, insya-Allah, mereka tidak akan diganggu,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zohor 1:14
Asar 4:30
Maghrib 7:20
Isyak 8:31



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.