saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 20/09/2006

Hormati antara agama -- Persetujuan Abdullah, Bush di New York bagi mengelak konflik


ABDULLAH Ahmad Badawi bersalam dengan George W. Bush dalam pertemuan diHotel Waldorf-Astoria, New York semalam. Perdana Menteri dalam rangka lawatan ke Amerika Syarikat dan akan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Ke-61 (UNGA).


NEW YORK 19 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush berbincang secara panjang lebar dan bersetuju mengenai pentingnya semua pihak menghormati antara agama bagi mengelakkan konflik.

Pertemuan selama 55 minit antara Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Presiden negara kuasa besar tunggal dunia itu berlangsung ketika berlakunya konflik di Asia Barat dan salah tanggapan mengenai Islam oleh Barat.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan itu, Abdullah berkata, beliau telah melahirkan harapan bahawa Bush akan menghargai usaha mereka yang terlibat dalam konflik itu untuk mencari cara tersendiri bagi menyelesaikan masalah mereka.

“Beliau mengakui bahawa kita (orang Islam) mahukan keamanan dan beliau juga mahukan keamanan tetapi pendekatan kita berbeza. Dan inilah yang perlu jadi tumpuan untuk kita samakan supaya tidak jadi masalah, perlu ada persefahaman lebih baik,’’ katanya mengenai pertemuan itu yang diaturkan semasa beliau berada di sini bagi menghadiri sesi ke-61 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau menyifatkan perbincangan yang diusahakan Bush yang berlangsung di Hotel Waldorf-Astoria di sini sebagai ‘rancak’ dengan menyentuh pelbagai perkara penting.

Pada akhir perbincangan mereka, Bush menyifatkan Abdullah sebagai seorang pemimpin unggul dan mereka turut membincangkan “banyak perkara tetapi topik utama yang kami bincangkan ialah bagaimana untuk memastikan keamanan berkekalan’’.

Menyatakan bahawa Presiden itu memberitahu beliau (Abdullah) boleh memainkan peranan sebagai pemimpin Islam dalam mencapai keamanan global, Abdullah berkata, kedua-dua mereka berkongsi harapan

yang sama bagi keamanan walaupun pendekatan untuk mencapai sasaran itu mungkin berbeza.

Mengenai Palestin, pemimpin Malaysia itu berkata, beliau meminta Bush memberikan sokongan kepada usaha mewujudkan kerajaan perpaduan nasional antara kerajaan pimpinan Hamas dan pergerakan Presiden Palestin Mahmoud Abbas’ Fatah.

Laporan sebuah agensi berita menyatakan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya berkata, rundingan dengan Abbas untuk membentuk kerajaan perpaduan masih belum menemui jalan buntu dan tidak seperti mana dilaporkan sebelum ini.

‘‘Kerajaan mesti menjadi pihak yang mewakili Palestin dalam apa juga rundingan yang mungkin diadakan kemudian,’’ katanya dan menurutnya beliau merancang untuk berjumpa dengan Abbas untuk mendapatkan lebih banyak makluman mengenai usaha damai di Palestin.

Mengenai Lebanon yang PBB telah mengusahakan gencatan senjata berkuat kuasa 14 Ogos selepas 34 hari berlakunya konflik antara Israel dan pejuang Hizbullah, Abdullah berkata, Bush menyambut baik hasrat Kuala Lumpur untuk menghantar pasukan pengaman di bawah panji-panji PBB.

Malaysia masih menunggu kelulusan daripada badan dunia itu untuk berbuat demikian.

Mengenai kemelut Iran dengan Barat berhubung program nuklear negara itu, Perdana Menteri berkata, Bush menyatakan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu ialah menerusi rundingan diplomatik.

‘‘Saya katakan bahawa rundingan dengan Iran patut dimulakan tanpa sebarang prasyarat,’’ kata Abdullah.

Beliau berkata, lebih banyak tumpuan perlu diberikan ke arah mencapai keamanan di Iraq yang sedang bergolak, dan menggesa puak Sunni dan Syiah di negara itu berhenti bersengketa.

Perbincangan Abdullah-Bush turut menumpukan pada cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dan AS, dengan Abdullah menyatakan rundingan berhubung FTA akan diteruskan.

Mengenai kebimbangan yang disuarakan beberapa pihak bahawa Malaysia akan kerugian sekiranya FTA dilaksanakan, beliau memberikan jaminan bahawa perkara seumpama itu tidak akan berlaku kerana rundingan akan dilakukan secara berhati-hati.

Mengenai isu dua rakyat Malaysia ditahan di penjara yang dikendalikan oleh AS di Teluk Guantanamo di Cuba, Abdullah berkata, beliau tidak berkesempatan untuk membangkitkan perkara itu dengan Bush kerana perbincangan mereka lebih bertumpu kepada usaha untuk mencapai keamanan dan persefahaman di dunia.

Namun katanya, Kedutaan Malaysia di Washington telah menghubungi kerajaan AS bagi menyatakan pendirian Kuala Lumpur bahawa kedua-dua tahanan itu patut dilayan secara adil semasa mereka melalui proses undang-undang Amerika.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

– Utusan

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.