saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/09/2006

Pelancongan di Melaka perlu seimbang


MELAKA sememangnya terkenal di seluruh dunia sejak beratus tahun dulu. Terpahatnya nama Selat Melaka di peta dunia mengangkat nama Melaka sehingga menutupi nama Malaysia di kalangan pelancong asing.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2007, pujian seharusnya diberikan kepada kerajaan negeri Melaka kerana bersungguh-sungguh menarik pelabur dalam industri pelancongan ke Melaka. Beberapa hotel baru bertaraf lima bintang sedang dibina di bandar raya Melaka selain kemudahan dan tarikan pelancongan seperti Melaka Mall, Dataran Pahlawan dan Masjid Selat Melaka.

Usaha murni kerajaan negeri dan pelabur industri pelancongan dilihat hanya bertumpu ke kawasan bandar raya Melaka sahaja. Walaupun ada promosi dan galakan pelancongan seperti di daerah Alor Gajah dan Jasin, namun ia seolah-olah seperti tidak serius.

Seperti wujud ketidakseimbangan dalam membangunkan industri pelancongan secara menyeluruh ke seluruh pelosok negeri Melaka. Mungkin ada yang berkata tiada pelabur yang ingin membina hotel di Jasin, Selandar atau Alor Gajah misalnya, tetapi jika ada usaha kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan memberi galakan dan sokongan di samping promosi dan pemasaran yang hebat, saya percaya bandar-bandar tersebut tidak kurang penting dan boleh dimajukan.

Tarikan pelancongan yang sememangnya telah sedia ada di luar bandar raya Melaka perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Mungkin ramai yang sudah lupa Asahan adalah tempat mendaki ke Gunung Ledang selain dari Sagil di Tangkak, Johor. Cuma kurang promosi daripada semua pihak menjadikan Asahan dilupakan. Begitu juga Muzium Jasin yang menyimpan dokumen dan pengisahan Sultan Mahmud Shah meminang Puteri Gunung Ledang. Makam Tun Teja di Merlimau dan Rumah Tradisional Melayu di Sungai Rambai, mempunyai tarikan sejarah yang unik tetapi kurang ditonjolkan.

Kerajaan negeri sepatutnya mendesak dan mengarahkan syarikat ejen pelancongan memasukkan tarikan di luar bandar raya Melaka dalam pakej lawatan pelancong mereka.

Ini kerana pakej pelancongan sekarang ini lebih tertumpu kepada tempat-tempat seperti Stadthuys, A Famosa, Christ Church, St. Paul Church, Perigi Hang Li Po dan lain-lain lagi.

Tiada usaha dan galakan yang bersungguh-sungguh untuk membawa pelancong ke kawasan luar bandar negeri Melaka. Pengendali dan pengusaha pusat tarikan pelancongan di luar bandar kebanyakannya adalah bumiputera. Mereka terpaksa mempromosikan tarikan pelancongan mereka sendiri. Risalah pelancongan yang diterbitkan oleh Pelancongan Malaysia, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Melaka dan Unit Promosi Pelancongan di Jabatan Ketua Menteri kurang memberikan tumpuan kepada aspek pelancongan di sekitar Alor Gajah dan Jasin. Jika ada pun maklumat yang diberikan tidak lengkap.

Pengusaha calet di Pantai Tanjung Bidara misalnya seperti menagih simpati kepada orang ramai. Walaupun pemandangan dan suasana pantai menarik dikunjungi, namun kurang promosi dan sokongan daripada ejen pelancongan, mengakibatkan perniagaan mereka seperti hidup segan mati tak mahu.

Akibatnya ramai yang tidak tahu termasuk pelancong tempatan sendiri bahawa negeri Melaka juga kaya dengan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung tradisional Melayu yang begitu cantik dan unik. Walaupun terdapat program homestay seperti di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah dan Anjung Bonda di Jasin, namun akibat kurang promosi kampung tradisi yang bersiha dan cemerlang dilupakan begitu sahaja.

Usaha semua pihak haruslah digembleng untuk sama-sama memajukan sektor pelancongan di seluruh pelosok negeri Melaka. Gandingan pihak kerajaan, dewan perniagaan Melayu, pengusaha pelancongan bumiputera, ejen pelancongan dan masyarakat setempat perlu diwujudkan untuk tujuan promosi hebat sebagai satu agenda baru bahawa melancong ke Melaka tidak hanya tertumpu di Ayer Keroh dan bandar raya Melaka sahaja.

Walaupun usaha penduduk tempatan seperti di Kampung Tehel bersatu padu memajukan kampung mereka sebagai satu destinasi pelancongan di Melaka, hakikat kurangnya aspek pemasaran dan promosi menjadikan tarikan pelancongan pertanian dan alam semula jadi pudar begitu sahaja.

Dicadangkan kerajaan negeri Melaka membina hotel bajet di setiap bandar kecil dan pekan di negeri Melaka untuk menampung penginapan pelancong. Sebagai contoh tiada hotel di Jasin, Selandar dan Merlimau, sedangkan bandar kecil ini mempunyai banyak tarikan pelancongan berasaskan pertanian, alam semula jadi dan rekreasi. Kerajaan negeri sepatutnya mencontohi Indonesia yang mempunyai hotel walaupun kecil di hampir setiap bandar kecil. Sebagai contoh perjalanan dari Semarang ke Jepara melalui sembilan pekan yang kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah hotel.

Apabila wujud hotel di sesuatu kawasan tersebut, industri pelancongan dapat dijana dengan lebih serius. Ini sekurang-kurangnya memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di samping boleh mewujudkan lebih banyak industri hiliran berasaskan pelancongan seperti makanan, kraf tangan dan hasil-hasil pertanian.

Jika alasan tempat-tempat menarik di luar bandar raya Melaka jauh dan tidak selesa, ia boleh disanggah kerana kemudahan awam seperti jalan raya di negeri itu antara yang terbaik di Malaysia.

Galakan, sokongan dan desakan dari kerajaan negeri amat ditagih agar seluruh rakyat Melaka dapat menikmati limpahan industri pelancongan. Selepas ini mereka bukan lagi menjadi pemerhati, malah bertindak sebagai pengusaha dan peserta industri pelancongan di negeri bersejarah itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.