saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/10/2006

Islam hadhari baiki hubungan -- Lawatan kerja Abdullah Ahmad Badawi ke Finland, Cuba, Amerika Syarikat


LAWATAN kerja Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke tiga negara iaitu Finland, Cuba dan Amerika Syarikat (AS) dari 9 hingga 21 September lalu adalah bersejarah kerana sumbangannya terhadap pengukuhan hubungan Barat-Timur, Utara-Selatan dan Islam-Barat.

Lebih-lebih lagi dalam konteks pendekatan Islam Hadhari yang dibawa oleh Perdana Menteri sebagai landasan kepada dasar luar negara untuk menyumbangkan kepada perdamaian dan keharmonian sejagat.

Konsep Islam Hadhari menekankan tentang pembangunan dan kehidupan berkualiti. Untuk melicinkan usaha pembangunan, pastinya ia memerlukan usaha ekonomi yang dinamik dan melibatkan perdagangan global. Keadaan ini pula memerlukan perdamaian dan hubungan baik antara negara; dan dalam konteks semasa kini, sudah tentu soal hubungan Barat-Timur, Utara-Selatan dan Islam-Barat adalah perkara teramat penting.

Dalam hal ini, apa yang dimaksudkan dengan Barat ialah merangkumi negara-negara maju berasaskan peradaban Barat yang meliputi Eropah dan Amerika Utara. Sementara Timur di sini merujuk kepada Asia, dengan secara khususnya ialah Asia Timur yang meliputi ASEAN.

Utara pula merujuk pada negara-negara maju yang kebanyakannya berada di Hemisfera Utara sementara Selatan adalah negara-negara membangun yang kebanyakannya berada di Hemisfera Selatan dunia, meliputi benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

Dari satu segi, negara-negara Barat dan Utara dari segi istilah politik mewakili entiti serupa. Maknanya kebanyakan negara Barat adalah negara-negara maju dan terletak di sebelah Hemisfera Utara.

Sementara dunia Islam adalah sebahagian daripada negara-negara Selatan kerana kedudukan mereka yang kurang maju. Sebahagian daripada dunia Islam terletak di Asia iaitu Timur, sebahagian lagi di benua Afrika.

Maka di Helsinki, Finland, Abdullah menyertai 25 negara Asia dan Eropah yang mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak keenam Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM).

Sidang ASEM merupakan forum yang mengukuhkan hubungan negara-negara Asia dan Eropah, dari sudut lain ia merupakan pertemuan dunia Barat dan Timur.

Apa yang lebih bermakna lagi ialah kehadiran Perdana Menteri yang bukan saja mewakili Malaysia sebagai sebuah negara Timur dan Islam tetapi beliau juga adalah Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pengerusi Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Maknanya, dalam sidang ASEM itu, Perdana Menteri turut mewakili aspirasi dunia Islam dan negara-negara Selatan.

Sesungguhnya Eropah dan Asia berkongsi tanah besar dan hubungan kedua-dua benua ini penting untuk pembangunan politik dan ekonomi dunia.

Eropah sebagai benua lama tetapi masih berkedudukan kukuh dapat menyumbang kepada pembangunan dunia dengan kerjasama erat bersama Asia yang merupakan benua dinamik dan berprospek besar.

Walaupun Eropah merupakan sebahagian daripada dunia Barat tetapi mereka mempunyai ciri tersendiri membezakannya dengan AS. Komponen umat Islam yang besar di Eropah juga memerlukan perhatian berbeza daripada AS.

Sementara Asia pula merupakan benua di mana terletaknya negara-negara Islam yang besar, termasuk pusat-pusat krisis seperti Palestin, Iraq dan Afghanistan.

Justeru, gesaan Perdana Menteri supaya usaha segera dilakukan bagi mengatasi krisis Asia Barat dalam forum yang melibatkan Eropah adalah kena pada tempatnya.

Barat sememangnya memihak kepada Israel, tetapi perspektif mereka berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Washington.

Di Helsinki ini, Perdana Menteri juga menjelaskan mengenai pendekatan Islam Hadhari sebagai kaedah islam yang mengutamakan perdamaian dan pembangunan, berbeza dengan wajah keganasan yang terterap dalam minda banyak pihak di Barat apabila disebut mengenai Islam. Beliau turut membincangkan topik berkaitan Dialog Antara Budaya dan Peradaban.

Persidangan

Di Havana pula, Perdana Menteri mengakhiri sifatnya sebagai Pengerusi NAM untuk diserahkan kepada pemimpin Cuba yang kini jawatan presidennya dipangku oleh Raul Castro.

Havana menyaksikan dua persidangan negara-negara Selatan iaitu Sidang Kemuncak NAM dan Sidang Kemuncak G-15, iaitu kumpulan teras negara-negara NAM.

NAM merupakan pertubuhan kedua terbesar dunia selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia mengukuhkan kerjasama politik dan ekonomi di kalangan negara-negara Selatan khususnya dalam menghadapi dasar-dasar negara Utara.

Dalam ucapannya di situ, Abdullah menegaskan bahawa hanya jika wujud keamanan, barulah agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan dan dapat memberi faedah kepada semua.

Selepas menghadiri Sidang Kemuncak NAM, Perdana Menteri berkunjung ke New York dan di situ terdapat dua pertemuan penting dalam usaha untuk menerapkan perdamaian dan pembangunan dunia.

Pertama adalah pertemuan dengan pihak AS yang bukan saja sebagai kuasa besar tetapi ketua kepada dunia Barat. Di satu segi, beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden George W. Bush untuk menyampaikan pandangan dunia Islam selaku Pengerusi OIC.

Ketika ini sememangnya AS sedang menumpukan perhatian kepada keganasan yang berkaitan dengan Islam. Selain daripada masalah Iraq, Washington sedang menghadapi kebangkitan semula Taliban di Afghanistan.

Cabaran besar bagi Presiden Bush adalah apabila berdepan dengan apa yang dianggap sebagai musuh utamanya, Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad. Sementara rakan utama dan penting pula ialah Presiden Pakistan, Pervez Musharraf yang disifatkan sebagai

kunci bagi menumpaskan Taliban dan juga Al-Qaeda.

Dalam keadaan ini juga, Bush mengadakan pertemuan dengan Abdullah yang sebagai Pengerusi OIC telah menyampaikan gesaan supaya krisis Asia Barat diselesaikan segera.

Selaras dengan semangat Islam Hadhari, maka ditekankan juga betapa penyelesaian masalah mesti dibuat melalui rundingan.

Malaysia mahu Palestin kembali ke meja perundingan dan jalan untuk itu ialah penubuhan kerajaan perpaduan antara Hamas yang menguasai kerajaannya dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang memegang jawatan presiden.

Dalam masalah nuklear Iran, Malaysia menekankan cara rundingan tanpa sebarang prasyarat.

Di Washington, selain pihak Bush, Perdana Menteri juga menemui bekas Presiden Bill Clinton yang boleh dianggap sebagai mewakili aliran liberal dan Parti Demokratik. Clinton mempunyai yayasannya sendiri iaitu Inisiatif Perdamaian Global yang berkhidmat membantu bahagian-bahagian dunia yang susah.

Banyak daripada kalangan ahli Parti Demokratik dan liberal menolak cara keras Bush dalam menangani keganasan. Mereka menolak perang Iraq dan aliran neokonservatif yang menunjangi Dasar Luar AS yang ada hari ini.

Di AS, Perdana menteri terus menerangkan mengenai gagasan Islam Hadhari. Maka sedikit sebanyak akan dapat difahamkan bahawa keganasan, radikalisme dan ekstremisme bukan wajah Islam arus perdana. Islam Hadhari merupakan wajah Islam sebenar yang patut diterima dan sekali gus mengelak sifat Islamofobia.

Perspektif yang boleh diperoleh dalam keadaan ini ialah kepelbagaian sifat dan sikap terhadap sesuatu pihak.

Umpamanya dunia Barat sendiri bukanlah monolitik. Cara berfikir AS berbeza daripada Eropah. Di kalangan AS pula, apa yang dipegang oleh Republikan seperti Bush berbeza daripada Demokratik seperti Clinton.

Begitu juga dengan Islam. Tentu apa yang diuar-uarkan oleh Taliban dan Al-Qaeda adalah berbeza daripada negara-negara Islam. Apa yang ditampilkan oleh Iran tentunya berbeza daripada mereka yang mengambil jalan persahabatan dengan AS. Malah di kalangan negara-negara bersikap sederhana juga berbeza. Pendekatan Malaysia tidak serupa dengan apa yang dilakukan Pakistan.

Setelah bersidang dengan pemimpin-pemimpin Eropah, NAM dan AS; kemuncaknya ialah ucapan Perdana menteri di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dan pertemuannya dengan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan.

Dalam ucapannya, beliau memberi amaran tentang kemerosotan hubungan antara Barat dan Islam. Sikap Islamofobia sudah tentu tidak dapat diterima.

Malah beliau merujuk kepada Presiden UNGA bagi sidang ke-61 adalah seorang wanita Islam dari Bahrain. Hakikatnya ialah majoriti orang islam di dunia mahu dan sedang berusaha untuk membangun dan maju. hanya segelintir yang terlibat dengan radikalisme dan ekstremisme apatah lagi keganasan. Tetapi malangnya wajah itulah yang mendominasi pihak barat lebih-lebih lagi apabila mereka menjadi sasaran serangan pengganas.

Tetapi ketika berada di Havana, timbul isu kenyataan Pope Benedict XIV yang menimbulkan kemarahan orang Islam hingga berlaku demonstrasi di beberapa negara Islam.

Apabila Pope menyatakan rasa kesal, Abdullah menerimanya dengan menekankan kepentingan usaha memperbaiki hubungan antara agama.

Penganut

Pope bukan penganut Kristian biasa tetapi adalah ketua mazhab terbesar Kristian iaitu Katolik.

Agama Katolik turut merupakan komponen penting dalam dunia Barat. Vatican terletak di tengah-tengah Eropah di mana negara-negara besar seperti Sepanyol, Portugis, Itali, Perancis, Jerman, Ireland dan Poland mempunyai masyarakat Katolik yang penting. Tetapi AS bukanlah sebuah negara Katolik.

Sungguhpun begitu Katolik bukan sepenuhnya merupakan sebahagian daripada dunia Barat. Terdapat sebilangan besar penganut Katolik yang berada di dunia bukan Barat. Amerika Selatan yang merupakan komponen penting NAM adalah penganut Katolik.

Dalam Perhimpunan Agung PBB, pemimpin dunia yang menyatakan kata-kata kasar kepada Bush bukannya dari Iran, tetapi sebaliknya datang daripada Hugo Chavez, Presiden Venezuela yang majoriti penduduknya bermazhab Katolik.

Perdana Menteri menunjukkan sikap bahawa semua pihak mesti saling hormat-menghormati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Dalam kata-katanya mengenai Islam Hadhari di Washington, beliau menyatakan rakyat Malaysia yang berlainan kaum dan agama sentiasa menjaga keharmonian dengan mengelak diri daripada meluahkan kata-kata sensitif terhadap kaum dan penganut agama lain.

Sikap menjaga sensitiviti ini penting bagi memelihara keharmonian dunia. Kewajarannya adalah supaya tumpuan diberikan kepada perdamaian dan pembangunan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.