saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/10/2006

Giliran Korea berbangga


Ban Ki-moon bersama Kofi Annan.


MENTERI Luar Korea Selatan yang kini mendahului senarai calon jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, beliau kali pertama bermimpi untuk menjadi seorang diplomat setelah berjumpa Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy di Rumah Putih pada 1962.

Petang kelmarin, mimpi beliau berganjak setapak lagi apabila Ban Ki-moon mengukuhkan kedudukannya untuk menggantikan Kofi Annan. Beliau menjadi calon tunggal terselamat daripada kusa veto dalam undian tidak rasmi Majlis Keselamatan, dengan mendapat jaminan 14 undi dan satu ‘berkecuali’ dari negara anggota yang dipilih. Sebanyak 15 negara anggota Majlis Keselamatan dijadual mengundi pengganti Annan pada 9 Oktober ini.

‘‘Adalah jelas, bermula daripada undi tidak rasmi hari ini, Menteri Ban Ki-Moon merupakan calon yang dicadangkan oleh Majlis Keselamatan untuk dipilih pada Majlis Perhimpunan Agung,’’ kata Duta China, Wang Guangya.

Perkembangan itu dengan jelas menunjukkan Ban adalah calon pilihan bagi jawatan Setiausaha Agung PBB kelapan badan dunia itu yang bakal mencapai usia 60 tahun.

Ketika berusia 18 tahun, Ban ketika itu seorang pelajar telah melawat Washington melalui satu program yang dianjurkan oleh Palang Merah Amerika. Pertemuannya dengan Kennedy telah dirakamkan dalam sekeping gambar hitam putih dengan menunjukkan Ban sedang tersenyum bersama-sama pelajar dari negara lain ketika Presiden sedang bercakap.

Penduduk di kampung halaman beliau di Chungju, tengah Korea Selatan sangat bangga ketika Ban hendak berlepas, di mana beliau telah diiringi oleh sekumpulan pelajar perempuan dari sebuah sekolah tinggi. Salah seorang pelajar terbabit menghadiahkan beliau sebuah penapis buluh iaitu simbol bernasib baik, dan pelajar itu menjadi isterinya.

Ban, 62, seorang yang lemah lembut dan menghargai persahabatan dengan orang lain. Sesetengah orang memanggilnya sebagai ‘diplomat semula jadi’ kerana mampu mengelak daripada membuat musuh. Beliau jarang sekali terlibat dalam perdebatan dengan pembuat dasar di Parlimen sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan anggota Kabinet.

Ban sedia maklum bahawa kritikan bukannya pendorong kuat untuk orang bekerja, tetapi dikenali sebagai diplomat utama Korea, beliau lebih suka menggunakan pendekatan rundingan bagi menyelesaikan isu-isu terutama di peringkat antarabangsa termasuk usaha menamatkan program senjata nuklear Korea Utara.

‘‘Tugas itu bukan mudah,’’ kata Ban kepada AP dalam satu temu ramah baru-baru ini. ‘‘Kadang-kadang saya seperti seorang pemimpin yang lemah dan lembik. Anda mungkin melihat saya seorang yang lemah lembut, tetapi saya memiliki kekuatan dalaman. Inilah yang selalunya orang luar silap dalam membuat penilaian, terutama orang Asia, apabila kita mengetepikan kemanusiaan, kesederhanaan, sebagai nilai yang sangat penting.’’

Sifat dedikasi beliau terhadap kerja sangat dikenali, dan beliau selalu berkata bahawa kerjanya melebihi kepentingan peribadi.

‘‘Saya bersimpati dengan keluarga saya, tetapi walaupun saya boleh menjaga mereka, saya perlu melaksanakan tugas saya terlebih dahulu,’’ kata beliau kepada sekumpulan pelajar sekolah tinggi tahun lalu.

‘‘Diplomat menikmati banyak keistimewaan dan imuniti ketika di luar negara, dan tanggungjawab mereka tiada batasannya.’’

Perkahwinan anak sulungnya tahun lalu kebetulan serentak dengan satu persidangan antarabangsa, dan Ban keluar sekejap daripada persidangan itu untuk menghadiri perkahwinan tersebut sebelum kembali semula ke pusat konvensyen.

Dilahirkan pada 13 Jun, 1944, Ban menuntut di sebuah universiti berprestij, Universiti Kebangsaan Seoul, dengan memperoleh ijazah dalam hubungan antarabangsa pada 1970. Beliau juga mendapat ijazah sarjana dalam pentadbiran awam daripada Universiti Harvard pada 1985.

Ban mula dihantar bertugas ke luar negara iaitu ke India, kemudian Austria, PBB dan Amerika Syarikat, selain menjawat beberapa jawatan di Seoul, sebelum dilantik sebagai Menteri Luar pada Januari 2004.

Ban dilihat dengan angkuh mengetepikan media ketika berkempen untuk jawatan di PBB. Bagaimanapun, sesetengah media mendakwa Korea Selatan telah membeli secara terancang jawatan itu melalui bantuan yang disalurkan kepada negara-negara membangun.

Menteri Luar Korea Selatan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut minggu lalu, dan menegaskan keputusan ke mana bantuan itu disalurkan telah dirancang terlebih dahulu sebelum pencalonan Ban untuk jawatan Setiausaha Agung PBB.

Keputusan undian tidak rasmi semalam bukan satu ikatan dan ia mungkin berubah, walaupun mereka secara serius mencadangkan pencalonan Ban. Semasa proses yang sama tahun 1996, Perancis telah menggunakan kuasa veto ke atas Annan, sebelum mengubah undiannya di sebalik sokongan kuat majlis.

Ban juga adalah penasihat keselamatan negara dan dasar luar kepada dua Presiden. Beliau boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan Perancis, selain Korea. Beliau mempunyai seorang anak lelaki dan dua anak perempuan. – AP

MENTERI Luar Korea, Ban Ki-moon hampir pasti menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelapan menggantikan Kofi Annan pada 31 Disember ini. Beliau setakat ini telah pun memenangi empat undian tidak rasmi di kalangan 15 anggota Majlis Keselamatan PBB.

Berikut ialah senario dan senarai pemilihan terdahulu:

1946 – Trygve Lie dari Norway dipilih selepas kesemua calon ditolak sama ada oleh Kesatuan Soviet atau Amerika Syarikat.

1950 – Perhimpunan Agung PBB mengundi untuk melanjutkan penggal Lie setelah Majlis Keselamatan menemui jalan buntu. Amerika Syarikat menyokong Lie sementara Kesatuan Soviet memveto pemilihan semula beliau.

1953 – Bangsa Sweden, Dag Hammarskjold telah dipilih selepas China memveto calon India, Vijayalakshmi Pandit dan Kesatuan Soviet pula memveto calon Kanada, Lester Pearson.

1957 – Hammarskjold dipilih semula selepas mendapat sokongan sebulat suara Majlis Keselamatan.

1961 – U Thant dari Burma (sekarang Myanmar) dilantik ke jawatan tersebut bagi meneruskan tempoh Hammarskjold yang terbunuh dalam nahas kapal terbang.

1962 – U Thant dilantik semula untuk tempoh selama empat tahun.

1966 – U Thant memenangi tempoh untuk lima tahun lagi.

1971 – Kurt Waldheim dari Austria mendapat tentangan beberapa kuasa besar yang menggunakan kuasa veto, sebelum dilantik oleh Majlis Perhimpunan Agung.

1976 – Waldheim menang untuk penggal kedua selepas pencalonannya pada mulanya diveto oleh China.

1981 – Javier Perez de Ceullar dari Peru dilantik sebagai calon kompromi selepas China menentang pelantikan Waldheim untuk penggal ketiga dan Amerika Syarikat pula memveto calon Tanzania, Salim Ahmed Salim.

1991 – Boutros Boutros-Ghali dari Mesir, dengan sokongan kuat Perancis, dilantik ke jawatan itu selepas calon-calon lain gagal mendapat sokongan mencukupi.

1996 – Kofi Annan dari Ghana menggantikan Boutros-Ghali selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto menghalang pelantikan beliau untuk penggal kedua.

2001 – Annan dilantik semula dengan sokongan sebulat suara Majlis Keselamatan.

– Reuters

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.