saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/10/2006

Nizam Laksamana serik jadi penyanyi

LAGU Gugurnya Bunga Cinta sering berkumandang di corong radio. Lagu dendangan kumpulan Laksamana yang popular sekitar tahun 1980-an itu sering dimuatkan dalam album kompilasi dan mendapat sambutan baik daripada para peminatnya.

Laksamana dianggotai oleh Mizi (bass), Lokman (gitar), Ahmad (dram) dan Nizam Arjuna (penyanyi).

Kini menerusi album Penangan Rock terbitan FMC yang telah berada di pasaran sejak beberapa minggu lalu, pendengar berpeluang mendengar lagu Gugurnya Bunga Cinta versi baru nyanyian penyanyi asal Nizam Arjuna.

Itulah lagu yang dirakamkan Nizam atau nama sebenarnya Mohd. Nizam Pechok, 40, setelah 11 tahun berhenti daripada dunia seni suara.

Sejak berhenti menyanyi pada 1995, Nizam memang tidak berminat meneruskan karier dalam bidang seni suara.

“Sebenarnya saya nekad tidak akan kembali menyanyi. Tapi baru-baru ini atas ajakan dan pujukan rakan-rakan, saya terima projek album Penangan Rock.

“Siapalah saya untuk menolak ajakan rakan-rakan. Mulanya Bagio (Damasutra) dan Alim (Kris) telefon ajak sertai program itu, saya beri tempoh sebulan untuk beri kata putus. Bila cukup sebulan saya pergi ke pejabat FMC untuk memberitahu yang saya tidak berminat tapi di situ ada Awang BPR pula.

“Dia pujuk saya dan akhirnya saya tewas dengan pujukan kawan-kawan. Kalau orang sudah bersungguh mengajak, tidak baik untuk saya menghampakan,’’ ceritanya.

Bagaimanapun, kata Nizam, dia bersetuju untuk menyertai projek Penangan Rock dengan syarat ia tidak mengganggu tugasnya sebagai pengurus di Pestconst Services Sdn. Bhd. yang terletak di Taman Kenangan, Batu 6, Gombak, Selangor.

*Makin matang

Tugasannya memerlukan dia sering keluar pejabat dan ada ketikanya dia sendiri melakukan kerja-kerja operasi.

Menjelaskan mengenai lagu yang didendangkan semula itu, kata Nizam, suaranya sekarang lebih baik berbanding dulu mungkin kerana usianya yang semakin matang.

Namun dia tetap menyanyi dengan lenggok yang sama seperti dulu dan hanya nada suaranya yang diubah.

Nizam yang pernah menghasilkan album berjudul Syukur dan Resah bersama kumpulan Laksamana sebelum tampil dengan album solo Memanah Bintang (1995) menjelaskan berulang kali bahawa dia tidak lagi teruja untuk menyanyi seperti dulu.

“Penglibatan saya dalam album Penangan Rock hanya sebagai menghormati permintaan rakan-rakan. Lagipun kontrak untuk projek ini hanya setahun,’’ katanya sambil tersenyum.

Nizam mengakui dia lebih selesa hidup sebagai orang biasa.

Berasal dari Kampung Buyau, Seri Menanti, Negeri Sembilan dan belajar sehingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Vokasional Seremban, Nizam mula bermain muzik pada majlis orang kahwin pada 1988.

Atas ajakan seorang sepupunya, Nizam kemudian terus menjinakkan diri dengan dunia nyanyian.

Pada waktu yang sama, Nizam juga menjual ayam goreng dan burger di kampungnya.

Bapa kepada empat orang anak, Muhamad Aniq Adam, 10, Muhamad Ali Shaifuddeen, 9, Nur Ellis Adeeba, 7 dan Nur Elisa Adeera, 1 tahun 8 bulan, hasil perkahwinan dengan Salwati Zulkifli sejak 30 Disember 1995 itu mempunyai alasan tersendiri untuk tidak lagi aktif dalam seni.

“Pasaran album yang tidak menentu menjadikan saya terfikir untuk undur diri daripada bidang seni suara. Bayangkan sewaktu album tengah meletup, kami mendapat undangan empat kali seminggu untuk persembahan funfair.

“Satu show boleh dapat sekurang-kurangnya RM800. Bila pasaran album kurang, pendapatan jadi tidak menentu. Mengenangkan itu semua saya ambil keputusan berhenti,’’ katanya.

Ketika mula berhenti menyanyi, kata Nizam, dia tidak memiliki sebarang harta. Malah untuk membeli sebuah peti televisyen pun dia tidak mampu ketika itu.

Semua itu menginsafkannya untuk mencari laluan membina semula hidupnya. Lalu dia bekerja di kedai makan saudaranya di Menara Promet, Kuala Lumpur.

“Tugas saya ketika itu mengambil tempahan air daripada pelanggan. Nak kata malu memanglah tak terkata, tapi apa nak buat kalau saya tidak bekerja mana nak dapat duit,’’ kata Nizam.

Selepas itu, Nizam bekerja sebagai pemandu lori dan penghantar barang sebelum ditawarkan kerja oleh isteri pak ciknya.

Setelah menunjukkan kesungguhan tanpa berbelah bagi, akhirnya Nizam diberi tanggungjawab menguruskan salah satu syarikat milik pak ciknya, Pestconst Services Sdn. Bhd..

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.