saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 30/10/2006

MT bincang jawatan Dr. M -- Sebagai penasihat agensi, syarikat milik kerajaan

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Kedudukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat beberapa agensi dan syarikat milik kerajaan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Khamis ini.

Langkah membawa isu itu ke mesyuarat MT UMNO diambil sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada perbalahan dan kritikan berterusan Dr. Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha Kerja UMNO, Brigedier Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim berkata, sebarang perkara yang membabitkan parti sudah tentu akan dibincangkan dalam mesyuarat MT UMNO.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu yang diadakan dua minggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO dari 13 hingga 17 November ini.

“Sudah semestinya sebarang perkara yang membabitkan parti termasuk perbalahan antara Pak Lah dan Tun Mahathir akan disentuh dalam mesyuarat MT UMNO pada 2 November ini,” kata Husainay kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan supaya Dr. Mahathir melepaskan jawatan penasihat di beberapa agensi dan syarikat kerajaan sekiranya mahu terus mengkritik Abdullah.

Kata Mahdzir: “Jika Tun hendak lanyak kerajaan juga, eloklah lepaskan semua jawatan itu dan jadilah individu bebas yang tidak ada kena-mengena dengan kerajaan, barulah betul. Jika tidak, apa gunanya jadi penasihat.”

Dr. Mahathir merupakan penasihat kepada beberapa agensi dan syarikat milik kerajaan seperti Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Sementara itu, Ahli MT UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju jika isu itu dibincangkan dalam mesyuarat MT.

Sudah tiba masanya UMNO dan kerajaan bertindak tegas terhadap Dr. Mahathir termasuk mengkaji semula kedudukannya sebagai penasihat beberapa agensi kerajaan, katanya.

Mohamed Khaled menegaskan, tindakan itu penting supaya Dr. Mahathir tahu bahawa perbuatan beliau terus mengkritik Abdullah tidak diterima sama sekali oleh parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, tambah beliau, keputusan sama ada untuk menamatkan perkhidmatan Dr. Mahathir sebagai penasihat agensi-agensi kerajaan terletak pada tangan Perdana Menteri.

“Biarlah MT UMNO berbincang dulu dan hasil perbincangan nanti terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya,” kata beliau.

Desakan supaya Dr. Mahathir melepaskan kedudukannya sebagai penasihat agensi dan syarikat milik kerajaan dibuat ekoran kritikan berterusan bekas Perdana Menteri itu terhadap Abdullah dan kerajaan.

Dr. Mahathir dan Abdullah mengadakan pertemuan empat mata di Sri Perdana, Putrajaya dua hari sebelum Aidilfitri tetapi selepas pertemuan itu Dr. Mahathir mengadakan dua sidang akhbar mengkritik Abdullah selain mengeluarkan sepucuk surat terbuka yang mendakwa Malaysia kini menjadi sebuah negara yang penuh ketakutan.

Beberapa orang Ahli MT UMNO yang dihubungi menjelaskan, Abdullah yang juga Presiden UMNO berhak sepenuhnya untuk menentukan kedudukan Dr. Mahathir sebagai penasihat agensi dan syarikat milik kerajaan.

Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, terpulang kepada Abdullah sendiri sama ada mahu mengekalkan jawatan Dr. Mahathir atau tidak setelah bekas Perdana Menteri itu mengecamnya.

Menurut Abdul Rahim, sebagai Perdana Menteri, Abdullah telah diberi mandat untuk mentadbir negara dan memimpin rakyat.

Justeru, katanya, Abdullah pastinya lebih bijaksana dalam soal tersebut dan memahami kesan yang mungkin timbul daripada keputusannya nanti tidak akan sama sekali menjejaskan pentadbiran negara.

“Kalau Perdana Menteri fikir peranan Dr. Mahathir bagi jawatan-jawatan penasihat itu tidak diperlukan lagi, maka beliau boleh beri arahan pada bila-bila masa kepada lembaga pengarah agensi-agensi terbabit untuk menamatkan khidmat Dr. Mahathir,” katanya.

Seorang lagi Ahli MT, Datuk Dr. Norraesah Mohamad memberitahu, sikap Abdullah yang langsung tidak menyentuh kedudukan Dr. Mahathir sebagai penasihat beberapa agensi kerajaan walaupun terus dikritik hebat membuktikan kematangan Perdana Menteri dalam memimpin negara.

Katanya: “Sungguhpun dikritik hebat, Perdana Menteri tidak sesekali menyentuh jawatan Dr. Mahathir sebagai penasihat beberapa agensi kerajaan.

“Ini menunjukkan Pak Lah merupakan pemimpin yang berwibawa dan menganggap jawatan Dr. Mahathir sebagai penasihat itu masih berguna kepada kerajaan dan negara.”

Menurutnya, apa yang penting sekarang ialah Dr. Mahathir perlu memainkan peranannya untuk menjernihkan semula keadaan politik negara yang semakin keruh ini.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:13
Asar 4:38
Maghrib 7:22
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.