saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 31/10/2006

Goodbye Boys mengimbau zaman remaja

Filem: Goodbye Boys
Arahan: Bernard Chauly
Lakon layar: Bernard Chauly
Pelakon: Nast, Razif Hashim, David Eng, Jay Eng, Daniel Henry, Tommy Kuan, Peter Farid Ramlee.

APAKAH yang lebih relevan dalam kehidupan remaja lelaki selain berbicara soal teman wanita, jerawat bagi yang mementingkan penampilan, pelajaran serta harapan masa depan dan yang lebih penting adalah hubungan sesama teman-teman dalam kumpulannya.

Tempoh remaja adalah zaman mencari identiti yang sering mengelirukan dan penuh emosi. Maka dalam pencarian dan usaha memahami persekitarannya, bukan sedikit remaja sering disalah anggap oleh generasi senior mereka.

Persoalan inilah yang mahu ditampilkan oleh pengarahnya, Bernard Chauly (sebelum ini menghasilkan filem Gol & Gincu yang membawa isu dan persoalan para gadis urban) dalam filem digital Goodbye Boys. Filem ini adalah filem remaja lelaki yang berkisah tentang dunia remaja lelaki. Bercerita mengenai apa yang mereka lakukan, apa yang mereka bualkan, pertentangan idea dan harapan masa depan.

Sungguhpun filem ini bercerita mengenai gadis yang menjadi rebutan, tentang cinta dan perasaan cemburu sesama mereka, tetapi Bernard membawa pendekatan yang berbeza daripada stereotaip dengan filem remaja tempatan.

Dalam Goodbye Boys penonton akan berkongsi pengalaman atau cerita dengan watak-wataknya, atau secara lebih tepat akan membawa kita mengimbau masa remaja kita dalam kisah yang nostalgik ini, perkongsian cerita daripada perspektif remaja lelaki tanpa perlu memberikan pesanan moral atau adanya orang tua yang memberikan nasihat dalam memilih jalan hidup.

Pendekatan naratif Goodbye Boys dalam bentuk catatan perjalanan berupaya memberikan ruang kepada Bernard yang juga menulis lakon layarnya untuk berkongsi pengalaman remaja.

Sekumpulan lapan budak-budak pengakap daripada beberapa etnik Malaysia yang diketuai oleh Gleen (NasT) dan ahli kumpulannya yang terdiri daripada Ivan (Razif Hashim), Leonard (David Eng), Jin (Jay Eng), Xiou (Daniel Henry), Aaron (Tommy Kuan), Wei Hen (Peter Khor) dan Aris (Farid Ramlee) membuat perjalanan sejauh 100 kilometer dari Sekolah St. Michael, Ipoh menuju ke selatan dengan melalui pekan Kampar, Tanjung Tualang dan Batu Gajah untuk melayakkan mereka memperoleh lencana Pengakap Diraja.

Latar masa adalah awal 1990an. Perjalanan yang memenatkan dan mencabar menempuh ragam cuaca, dari panas dan hujan dengan pelbagai bentuk rupa lanskap bumi Perak ketika melalui jalan raya, ladang, sungai, bekas lombong bijih dan hutan. Pengalaman yang dilalui sepanjang tempuh perjalanan itu telah mengubah perspektif hidup remaja ini.

Goodbye Boys mengadun genre filem remaja, jalanan dan persahabatan. Perjalanan yang dilalui oleh remaja ini menjadi wahana untuk Bernard meneroka selapis demi selapis permasalahan hidup dan dilemma remaja, soal teman wanita, permasalahan keluarga, pelajaran dan hinggalah kepada masalah jerawat di muka.

Barangkali sebahagian masalah itu kelihatan kecil tetapi bagi remaja ia sering menyulitkan. Sebagai filem dalam semangat Malaysia, filem ini juga memperlihat kompleksiti hubungan pelbagai etnik dan Bernard Chauly sebagai pengarah berjaya mengangkat lapisan persoalan secara bersahaja. Lihat sahaja bagaimana salah satu wataknya mengutarakan persoalan Dasar Ekonomi Baru dan juga kemungkinan melihat peluang di luar negara, tetapi ini adalah filem remaja yang bebas dan seharusnya membenarkan wacana tersebut berlaku dengan sewajarnya.

Dalam filem Goodbye Boys, perwatakan lanskap memainkan peranan yang penting. Lanskap Perak yang kasar dan berbagai-bagai itu bukan sahaja berjaya dipaparkan dengan cantik dan menawan tetapi sebenarnya membantu mempengaruhi tindakan para remaja tersebut.

Ini adalah elemen yang selalu muncul dalam filem-filem genre jalanan atau filem genre persahabatan (buddy movies).

Dua elemen penting dalam genre ini adalah aspek perjalanan dan hubungan persahabatan.

Perjalanan akan membawa mereka meneroka dimensi baru dalam kehidupan, meninggalkan ideologi lama kehidupan mereka (digambarkan sebagai sekolah St. Michael). Perubahan ideologi ini akan berlaku secara perlahan melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman baru yang mereka lalui bersama sepanjang perjalanan tersebut.

Apa yang penting dalam perjalanan itu juga mereka melintasi sejarah dan sosial. Segala peristiwa, dilema dan pengalaman sepanjang perjalanan itu sebenarnya telah mendedahkan mereka kepada pelbagai emosi yang dikongsi sebagai satu kumpulan dan juga sebagai individu.

Sungguhpun berlaku perselisihan faham, perasaan cemburu dan persaingan, tetapi kesukaran di perjalanan, perkongsian cerita dan perasaan simpati yang akhirnya membantu mereka saling memahami dan mengenal erti persahabatan.

Remaja mempunyai sub-budayanya sendiri dan kini semakin dikomersialkan. Dengan keadaan ekonomi hari ini yang memungkinkan remaja mempunyai pendapatan sendiri dan jumlah populasi mereka telah menyediakan ruang pasaran yang besar. Dengan itu tidak hairan jika Hollywood banyak menghasilkan filem yang dibentuk dan dilanggan buat penonton remaja - the juve trade.

Bagaimanapun kebanyakan filem yang dihasilkan lebih banyak menumpukan untuk mengisi keperluan penonton remaja.

Sedangkan usaha untuk menghasilkan filem yang bercerita tentang proses keremajaan yang cuba mengungkapkan isu dan permasalahan remaja begitu jarang dihasilkan. Ia barangkali disebabkan oleh proses keremajaan tidak semudah itu difilemkan tanpa kita benar-benar memahami kehidupan dan dunia persekitaran mereka.

Goodbye Boys tanpa perlu campur tangan golongan tua memaparkan pengalaman dunia remaja yang innocent, ceria dan kadangkala penuh emosi yang mana kita semua secara sedar atau tidak telah melaluinya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.