saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/11/2006

Tingkatkan penerbitan ilmiah

Sejak sekian lama, penerbitan ilmiah menjadi ancaman yang menakutkan dalam dunia penerbitan kita. Jumlah judul buku ilmiah yang diterbitkan setiap tahun masih terlalu sedikit.

Pada tahun 2005, jumlah buku ilmiah yang diterbitkan oleh para penerbit universiti, pusat penyelidikan, dan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menganggotai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) tidak sampai pun 500 judul. Jumlah itu tidak sampai pun lima peratus daripada jumlah keseluruhan buku yang diterbitkan di negara ini.

Angka yang kecil itu mengundang pelbagai persoalan, antaranya mengapakah para pensyarah IPT tempatan yang jumlahnya mencapai 15,000 orang itu tidak menulis? Apakah yang dilakukan oleh universiti untuk merangsang kakitangannya menulis? Tiadakah usaha dilakukan oleh para penerbit untuk membina judul? Setakat manakah judul-judul yang diterbitkan itu dapat disebarkan? Ke manakah buku-buku itu dipasarkan sehingga sukar sekali untuk mendapatkannya?

Walau apa pun jawapan yang diberikan, yang jelas penerbitan ilmiah di negara ini, yang masih bertunjangkan bahasa Melayu berhadapan dengan pelbagai hambatan. Antara masalah yang paling besar ialah kemampuan penerbitan ilmiah yang berakarkan peribumi dapat kekal bersaing dengan penerbitan ilmiah luar negara yang atas nama globalisasi kelihatan semakin menelan kewujudan penerbitan tempatan.

Sama ada disedari atau tidak, gergasi penerbit buku teks pengajian tinggi semakin ganas mencengkam pasaran buku untuk universiti. Prentice-Hall, McGraw-Hill, dan Thompson adalah tiga buah penerbit yang sejak kebelakangan ini, khususnya sejak kerajaan mengubah bahasa pengantar dalam pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris, semakin menguasai pasaran buku ilmiah tempatan.

Pada sisi yang lain, para penerbit ilmiah di negara ini pada umumnya masih mendukung dasar yang mengutamakan penerbitan karya dalam bahasa Melayu. Dari segi pasaran, buku berbahasa Melayu masih mendapat sambutan, sama dari segi jualan runcit kepada kalangan pelajar IPT atau dari segi jualan tender perpustakaan.

Segi kepengarangan karya ilmiah dan pemasarannya yang disebutkan di atas hanyalah dua persoalan daripada sekian banyak hambatan yang mencengkam dunia penerbitan ilmiah tempatan. Persoalan-persoalan yang lain-dasar penerbitan, peruntukan, ekonomi penerbitan, harga buku, hak cipta, pengiktirafan-masih menjadi ‘rentetan syaitan’ yang terus mencekik dunia penerbitan ilmiah kita.

Sejak kerajaan mengubah dasar tentang pengajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, penerbitan ilmiah tempatan menerima pukulan yang teruk. Bukan tidak ada pensyarah atau penerbit ilmiah kita yang keliru sehingga menjejaskan penghasilan karya ilmiah yang dapat membantu mereka meningkatkan diri dalam hierarki akademik masing-masing.

Persoalan yang berentetan dalam penerbitan ilmiah tempatan itu perlulah ditangani. Penerbitan ilmiah adalah nyawa kepada citra penerbitan kebangsaan-penerbitan yang menjadi pancang dalam pembinaan tamadun. Sehebat mana pun bangsa itu dalam penerbitan, tanpa penerbitan ilmiah, kehebatan itu tidak akan kekal lama. Penerbitan ilmiahlah yang akan menancapkan kehebatan bangsa itu dalam sejarah kewujudannya.

Bagi membincangkan sebahagian daripada persoalan yang dikemukakan itu, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Universiti Teknologi Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Yayasan Pembangunan Buku Negara akan menganjurkan Persidangan Kebangsaan Penerbitan Ilmiah 2007. Sudah agak lama pertemuan untuk memikirkan pencapaian dan hala tuju penerbitan ilmiah di negara ini tidak diadakan, dan persidangan yang akan diadakan pada 9-11 Januari 2007 nanti merupakan platform yang terbaik bagi kita untuk memaparkan pencapaian dan masalah yang kita hadapi dalam penerbitan ilmiah.

Pada masa yang sama, persidangan yang akan diadakan di International Convention Centre, The Puteri Pacific, Johor Bahru itu diharap dapat mencari jalan penyelesaian demi memperkasa penerbitan ilmiah kita.

Secara khusus, persidangan itu bertujuan untuk

Mengenal pasti faktor yang mampu mempercepat pembangunan perusahaan penerbitan ilmiah

Mengenal pasti kaedah baru kearah menyemarakkan iklim penerbitan ilmiah dalam semua bidang dan segmen penerbitan

Menjangka, mengenal pasti dan menaakul keperluan prasarana penerbitan ilmiah pada masa depan

Mengenal pasti bentuk program yang boleh menggiat, merangsang dan memacu kegiatan penerbitan ilmiah

Menyediakan satu perancangan tindakan bersepadu bagi memperkasa penerbitan ilmiah

Sebanyak empat kertas dasar, 16 kertas undangan, dan 32 kertas kerja akan dibentangkan dalam persidangan tersebut. Antara pembentang kertas dasar ialah Menteri Pengajian Tinggi sendiri, Datuk Mustapa Mohamed yang dijangka akan menyentuh dasar kerajaan dalam penerbitan ilmiah, khususnya dalam konteks universiti penyelidikan yang kini menjadi dasar penting kementeriannya itu.

Selain itu, kertas dasar yang lain akan dibentangkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dzulkifli Abd Razak, tokoh bahasa dan penerbitan Datuk Dr. Hassan Ahmad, dan Arselan Harahap-tokoh penerbitan ilmiah dari Indonesia.

Pembentang kertas kerja undangan antara lain ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar, Datuk Ng Tieh Chuan daripada MPH, Prof. Dr. Awang Sariyan, Prof. Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Mohamad Yusof Othman, Prof. Dr. Ibrahim Che Omar, Hj. Shaari Abdullah, dan lain-lain lagi.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai persidangan ini bolehlah berhubung dengan Penerbit UKM dengan e-mel aras@pkrisc.cc.ukm.my atau Penerbit UTM dengan e-mel khalid@utm.my. Yuran penyertaan yang ditetapkan ialah RM400 bagi mereka yang institusinya menganggotai MAPIM atau RM500 bagi yang bukan anggota MAPIM.

- PROF. MADYA DR. HAMEDI MOHD ADNAN ialah pensyarah penerbitan di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.