saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 09/11/2006

Deddy M. Borhan dipilih Tokoh Perfileman FINAS 2006?

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ditubuhkan pada 1981 dengan tujuan untuk menggalak, memelihara dan memudahkan kemajuan perusahaan berkaitan perfileman di negara ini.

Selain itu, badan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) itu juga tidak lupa memberi penghargaan menerusi Anugerah Perfileman FINAS kepada individu-individu yang telah banyak memberi sumbangan kepada perkembangan dunia perfileman tempatan.

Tahun ini FINAS sekali lagi memberi pengiktirafan dan fokus tentunya tertumpu kepada anugerah utamanya iaitu Tokoh Perfileman FINAS 2006.

Anugerah yang akan disampaikan oleh Menteri KeKKWa, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu akan diadakan pada malam esok (10 November) di Hotel J.W. Marriot, Kuala Lumpur.

Mega difahamkan beberapa persatuan penggiat filem telah mencalonkan beberapa tokoh perfileman bagi merebut anugerah yang menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 dan sijil.

Antara tokoh yang khabarnya dicalonkan untuk menerima anugerah kali ini ialah Menteri KeKKWa, Dr. Rais Yatim, Pengerusi FINAS, Senator Datuk Jins Shamsudin, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof, Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM), Syed Mohamed Benyahya serta penerbit dan pengarah filem, Deddy M. Borhan.

Bagaimanapun khabarnya pencalonan Dr. Rais Yatim dan Jins Shamsuddin digugurkan oleh panel juri dengan alasan kedua-duanya merupakan individu yang terlibat secara langsung dengan FINAS.

Daripada senarai itu, Deddy M. Borhan merupakan satu-satunya nama tokoh yang disebut-sebut bakal menerima anugerah berprestij itu.

Deddy dikatakan mampu memberi saingan yang sengit berdasarkan pengalaman luas, pembabitan serta sumbangannya dalam perkembangan industri perfileman di Malaysia.

Sumbangan Deddy itu dapat dilihat apabila beliau menubuhkan syarikat perfileman Sabah Film Productions di Kuala Lumpur pada 1975.

Menerusi syarikat tersebut, beliau muncul sebagai penyelamat dalam industri perfileman tempatan yang ketika itu sedang merudum.

Pada waktu itu, dunia perfileman Melayu dianggap sebagai sudah berkubur apabila filem-filem Indonesia lebih banyak menguasai pawagam-pawagam tempatan.

Deddy dan Sabah Film Productions dikatakan amat sinonim dengan kebangkitan semula dunia filem Melayu tahun 1970-an dan 1980-an selepas pasca kegemilangan Studio Malay Film Production dan Cathay Keris Film yang berpusat di Singapura.

Malah, Deddy juga banyak memberi semangat kepada dunia filem Melayu yang hampir berkubur ketika itu apabila Studio Merdeka di Hulu Klang, Selangor menghentikan operasinya.

Beliau muncul menerusi filem pertama terbitan Sabah Film Production berjudul Keluarga Comat pada 1975 yang diarahkan oleh Aziz Sattar.

Selepas itu, Deddy menerbitkan filem Hapuslah Air Matamu pada 1976 yang dibintangi oleh Broery Marantika, Sharifah Aini dan Latif Ibrahim.

Namun, penerbit dan pengarah filem ini membuat kejutan besar apabila filem Azura yang diarahkannya pada 1984 memecahkan rekod sebagai filem Melayu pertama mencatat kutipan tiket box-office melebihi RM1 juta.

Filem Azura yang dilakonkan oleh Jamal Abdillah, Fauziah Ahmad Daud, A. Galak dan Maria Arshad itu mengutip kutipan tiket hampir RM2 juta.

Selama beroperasi, Sabah Film Productions telah menerbitkan 17 buah filem antaranya berjudul Si Badul, Kisah Seorang Biduan, Talak, Toyol, Di Ambang Kasih dan Gila-Gila.

Dalam pada gigih menghidupkan semula dunia perfileman Melayu, Deddy juga aktif memperjuangkan nasib penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu di negara ini melalui jawatan yang disandangnya ketika itu sebagai presiden pertama Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (PAPITA) yang ditubuhkan pada 1977.

Anak seni yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini memimpin persatuan artis yang berpengaruh itu sehinggalah tahun 1982.

Selain Anugerah Tokoh Perfileman, Anugerah Perfileman FINAS turut menyediakan anugerah lain termasuk Anugerah Khidmat Setia untuk para kakitangannya, Hadiah Penulisan Skrip dan Trofi Samad Idris pula khusus untuk wartawan hiburan.

Pada 2003, Tokoh Perfileman FINAS dirangkul oleh Tan Sri Samad Idris, sementara Datuk Jamil Sulung pula mengunggulinya pada 2004, tetapi sayangnya tahun lalu tiada pencalonan untuk anugerah tersebut.

Biarpun sudah hampir 22 tahun tidak mengarah filem cereka, tetapi itu tidak bermakna Deddy M. Borhan sudah melupakan bidang pengarahan.

Sebaliknya, bapa kepada lapan anak dan enam cucu yang kini sudah menjangkau usia 60-an ini masih aktif menerbit dan mengarah filem menerusi syarikatnya, Mbrizt Production selepas Sabah Film Productions dibubarkan pada akhir tahun 1980-an.

Deddy atau nama sebenarnya Maddin Borhan kini sedang dalam proses mengarah dan menerbitkan sebuah filem dokumentari khas untuk Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut Deddy, filem dokumentari yang belum diberi judul itu akan memaparkan tentang keunikan sebuah kawasan pedalaman yang terletak antara Tawau dan Sandakan.

“Tempat itu belum tercemar dengan pembangunan, malah tempat itu juga dikatakan tidak pernah diterokai oleh mana-mana suku kaum sejak ribuan tahun yang lalu,” katanya sewaktu dihubungi dari Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Jelas Deddy, meskipun sudah lama menyepi tetapi itu tidak bermakna dia tidak mengikuti perkembangan industri perfileman tanah air.

Beliau turut menganggap pembabitannya dalam dunia perfileman tempatan sebagai suatu kenangan manis yang sukar dilupakannya.

“Selain mengarah dan menerbit, saya juga pernah mencuba nasib sebagai pelakon. Antara filem lakonan saya berjudul Keluarga Comat, Pendekar dan Sumpah Semerah Padi.

“Saya tidak dapat melupakan kenangan bekerjasama dengan mendiang Broery Marantika ketika penggambaran filem Hapuslah Air Matamu di Jakarta, Indonesia pada 1976.

“Malah, Broery adalah orang yang memberi nama Deddy M. Borhan yang saya gunakan sebagai nama komersial sehinggalah ke hari ini,” ujarnya lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.