saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 16/11/2006

Esplanade Theater sedia ditawan magis PGLM

PENTAS bertaraf antarabangsa di Singapura, Esplanade Theater yang sebelum ini banyak mementaskan karya-karya hebat dengan bangganya buat pertama kali menerima kehadiran teater muzikal Malaysia, Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) yang akan dipentaskan bermula 24 hingga 26 November ini.

Di pentas yang boleh memuatkan kapasiti seramai 2,000 orang itu juga buat pertama kalinya akan menjadi saksi cinta agung antara Laksamana Hang Tuah dengan Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumillah.

Sudah pasti perkembangan terbaru ini menggembirakan seluruh produksi dan penerbit eksekutifnya, Datin Seri Tiara Jacquelina. Mana tidaknya, PGLM merupakan teater tempatan pertama yang dijemput mengadakan persembahan di pentas bertaraf antarabangsa itu. Seharusnya berita gembira itu juga dikongsi bersama dengan rakyat Malaysia kerana bukan mudah menembusi pintu Esplanade yang dipercayai sukar untuk menerima pementasan yang bukan sembarangan.

Apa yang membanggakan, kesemua tiket untuk persembahan tersebut yang berharga S$35 (RM81.70) dan S$98 (RM228.70) habis dijual dalam tempoh sebulan sahaja. Bukan setakat tiket laris dijual, malah pihak Enfiniti Productions Sdn. Bhd., juga mendapat permintaan menambah satu lagi persembahan menjadikannya tiga persembahan di pentas itu.

Berkat sambutan hangat yang diberikan terhadap PGLM di Istana Budaya sebelum ini, dilihat berjaya 'meracuni' pemikiran rakyat Kota Singa untuk sama-sama menikmati kesaktian PGLM.

*Keistimewaan PGLM

Apa istimewanya PGLM sehingga ditawarkan masuk ke Esplanade? Mungkin ramai yang akan mempersoalkan mengapa dalam banyak karya teater tempatan, PGLM juga yang dipilih oleh Esplanade. Yang pasti, semuanya itu bukan mudah untuk direalisasikan. Semuanya bermula dengan idea dan seterusnya menzahirkan idea tersebut lalu menjadikannya sebagai satu produk yang boleh dibanggakan.

Untuk menjadikan mimpi itu suatu realiti, bukanlah hanya dengan angan-angan kosong tetapi tenaga dan wang ringgit. Senang cakap, pengorbanan dan keyakinan yang tinggi amat diperlukan dalam melahirkan cerita cinta agung itu di pentas. Usaha Tiara wajar dipuji kerana tanpa keberanian, mimpi itu tidak akan bermakna.

Tanpa krew produksi yang berdedikasi dan terbaik, juga tidak mungkin akan menjadikan PGLM satu karya hebat sehingga mendapat sambutan hangat daripada rakyat Malaysia sendiri. Tiara sememangnya bijak kerana dia tahu untuk menghasilkan satu produk yang baik, dia memerlukan satu pasukan yang sememangnya terbaik dan mahir dalam bidang kepakaran masing-masing.

PGLM sememangnya merupakan gabungan sentuhan daripada mereka yang tahu bagaimana hendak mewujudkan `kuasa sakti’ yang mampu memukau penonton sehingga mencatat rekod menjadi teater paling lama dipentaskan di Istana Budaya. Bayangkan! Dalam tempoh enam bulan sahaja PGLM dipentaskan sebanyak dua musim.

Dengan menampilkan pengarah dan aktivis teater terkenal, Zahim Al-Bakri dan Adlin Aman Ramlie, PGLM berjaya meyakinkan penonton dengan lakonan berkesan daripada Tiara dan Stephen Rahman-Hughes yang memegang watak sebagai Hang Tuah.

Ditambah pula dengan barisan pemuzik handalan, antaranya Steve Thornton dan Zahid Ahmad dan di bawah pimpinan Mac Chew, PGLM juga berjaya menyuntik perasaan penonton yang disulami dengan alunan muzik yang cukup indah dan membuai perasaan penonton. Malah, ia juga mampu membangkitkan perasaan penonton.

Sesebuah pementasan teater tidak akan hidup jika tiada rekaan set yang berkesan dan mampu membuatkan penonton berasa teruja, terus melekat di kerusi untuk tidak berganjak menontonnya.

Keistimewaan set PGLM yang direka khas oleh Raja Malek juga menjadi kekuatan kepada PGLM dalam menjadikan ia sebagai sebuah teater muzikal yang gah.

Malah, rekaan kostum, koreografi dan permainan lampu juga antara penyumbang kepada kehebatan dan kejayaan PGLM. Faktor-faktor yang disebutkan itu turut menjadi daya penarik kepada pihak Esplanade, menjemput PGLM dipentaskan di negara itu.

Kita seharusnya berasa bangga apabila teater tempatan diberi peluang mengadakan persembahan di tempat gah seperti Esplanade.

*Penghargaan

Apabila difikirkan, bukan mudah sebenarnya untuk membawa PGLM ke Singapura. Bayangkan! Tujuh kontena peralatan perlu dibawa sama. Betapa besarnya pengorbanan dan kegigihan yang dilakukan Tiara demi memastikan hasil produknya dapat memberikan yang terbaik dan berkualiti kepada penonton Singapura.

Satu persoalan yang timbul kini ialah adakah kegigihan dan kesungguhan Tiara untuk membawa PGLM ke arena antarabangsa dihargai sewajarnya? Seharusnya krew dan mereka yang terlibat menghidupkan cerita cinta agung itu di pentas persembahan, dihargai kerana bukan mudah untuk merealisasikannya.

Mungkin selepas ini ada anugerah yang akan diterima oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam produksi ini. Siapa tahu, mungkin berkat kesungguhan pengarahnya, Zahim Al-Bakri akan diiktiraf oleh pihak tertentu. Mungkin juga rekaan set indah oleh Raja Malek akan dipandang dan dihargai kerana tanpa rekaan set yang sempurna, belum mampu juga untuk menghidupkan PGLM sehingga penonton terpegun dan teruja menyaksikannya.

Kerana dalam setiap pementasan teater, semua perkara harus diambil kira bermula dengan lakonan, skrip, muzik, rekaan set dan seterusnya kepada penggunaan cahaya. Semuanya penting bagi menghidupkan sebuah pementasan.

Jika hanya bersandarkan kepada lakonan tanpa dihidupkan dengan muzik untuk membangkitkan mood, pementasan itu tidak akan berjaya. Jika ada penghargaan untuk mereka yang banyak bertungkus-lumus dalam menghidupkan sesuatu pementasan teater itu, maka ia akan menjadi pembakar semangat kepada penggiat teater untuk terus menghasilkan karya terbaik.

*Sejarah PGL

Setiap karya hebat pasti akan bermula dengan satu titik permulaan. Semuanya bermula sekitar tahun 2002, apabila khalayak diberitahu akan muncul Puteri Gunung Ledang (PGL), sebuah filem yang dikatakan akan menggegarkan industri perfileman Melayu. Malah, filem tersebut masih memegang rekod sebagai filem termahal yang pernah diterbitkan dengan kos keseluruhannya sebanyak RM20 juta. Barisan pelakon yang membintangi filem cinta agung itu juga bukan calang-calang orang. Membariskan pelakon Indonesia dan Malaysia menjadikan filem tersebut cukup hebat.

Selain itu, ia juga mencipta rekod tersendiri apabila menjadi filem pertama yang berjaya memasuki acara anugerah filem berprestij dan tertua di dunia iaitu Festival Filem Venice. Tambahan pula, runut bunyi untuk filem tersebut juga mendapat sambutan apabila lagu Asmaradana nyanyian Tiara sendiri dan Bagaikan Sakti hasil paduan suara Datuk Siti Nurhaliza dan M. Nasir menjadi siulan ramai.

Selepas mencipta rekod dan meraih pelbagai anugerah baik di negara sendiri mahupun di luar negara, penerbitnya, Tiara ingin mencipta sesuatu yang baru bagi mempelbagaikan lagi produk PGL. Akhir tahun lalu, naskhah filem tersebut mula direalisasikan menjadi sebuah teater muzikal yang dipentaskan di pentas seni bertaraf dunia iaitu Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Peringkat awal PGL dihebahkan untuk dijadikan sebuah teater muzikal, ramai pihak yang mempersoalkan dan ada juga yang memperlekehkan usaha itu.

Pelbagai cabaran diharungi Tiara dalam memastikan Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) menjadi kenyataan. Salah satunya ialah mencari watak Hang Tuah. Umum sudah sedia maklum dengan watak tersebut yang telah dipegang oleh M. Nasir dalam versi filem. Setelah puas mencari, akhirnya jejaka kacukan Melayu-Inggeris dipilih untuk memegang watak Hang Tuah dalam PGLM.

Pemilihan Stephen Rahman-Hughes yang terkenal di pentas teater West End, London menerusi pementasan Bombay Dreams juga dipertikaikan. Soal mereka, mampukah jejaka yang sudah lama menetap di London itu bertutur dalam bahasa ibunda dengan baik? Tetapi itu bukan menjadi kudis bagi Tiara untuk meneruskan niatnya meletakkan teater Malaysia ke satu aras yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia.

*Antara yang terbaik

Dalam pada itu, demi memastikan PGLM menjadi satu produk yang boleh dibanggakan, Tiara telah berjaya mengumpulkan satu pasukan yang terdiri daripada mereka yang cukup berpengalaman dan ada di antara mereka merupakan antara yang terbaik dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Hasilnya, tanggal 7 Februari 2006, PGLM membuka tirainya kepada penonton. Bagaikan sakti, siapa sangka, PGLM mendapat sambutan hangat dan luar biasa daripada rakyat Malaysia sendiri.

Dipentaskan selama 20 hari, sambutan yang diberikan memang di luar dugaan. Sudah semestinya, bagi pihak penerbit dan keseluruhan produksi PGLM terkejut dengan respons yang telah diberikan. Siapa sangka, pada mulanya impian yang diperlekeh dan dipandang sinis, akhirnya berjaya menjadi satu fenomena!

Di mana-mana sahaja, orang memperkatakan tentang kehebatan PGLM. Untuk setiap persembahan, semua tiket habis dijual dalam masa yang cukup singkat sekali. Tidak pernah terjadi dalam sejarah teater Malaysia lebih-lebih lagi sebuah teater muzikal, berjaya mendapat sambutan seperti mana yang diberikan kepada PGLM.

Disebabkan sambutan yang hebat itu, PGLM telah disambung untuk musim kedua pada 6 Ogos lalu. Begitulah hebatnya penangan PGLM. Dipentaskan selama 16 hari, sambutan yang diberikan juga teramat hebat dan tiket juga berjaya habis dijual dalam masa yang singkat.

Sudah pasti orang yang paling bangga dengan kejayaan ini adalah Tiara. Dia sendiri mungkin tidak pernah menyangka dengan sambutan dan sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap PGLM begitu hebat sekali.

Masakan tidak, Tiara telah berjaya meletakkan PGLM ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Bayangkan, sebelum ini, tidak ramai di antara kita yang gemar menonton teater muzikal, tapi PGLM telah merubah senario itu apabila mencatatkan jumlah penonton sebanyak 56,000 orang sepanjang dua musim dipentaskan.

Kejayaan Tiara bukan datang bergolek. Banyak pengorbanan yang telah dilakukannya baik dari segi tenaga mahupun wang ringgit. Semuanya kerana dia mahu menaikkan martabat dan memastikan teater Malaysia juga mampu menghasilkan yang terbaik dan tidak mustahil untuk dipentaskan ke luar negara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:27
Maghrib 7:01
Isyak 8:15



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.