saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 16/11/2006

Cinta filem terbaik tahun ini?


SENTUHAN pasangan suami isteri, Khabir Bhatia dan Mira Mustaffa turut menjadi faktor kejayaan filem Cinta.


BANYAK faktor yang perlu diambil kira apabila ingin menerbitkan sesebuah filem demi memastikan filem yang diterbitkan itu mencapai tahap kualiti yang boleh dibanggakan.

Jika filem tersebut hanya bersandarkan kepada nama-nama gah pelakon yang membintangi filem tersebut tetapi lakon layarnya pula mengelirukan, maka susah juga untuk filem itu diterima dengan baik.

Malah ada juga filem tempatan yang menampilkan banyak sub plot dalam satu plot dan tidak dikembangkan dengan sebaiknya sehingga mengelirukan penonton.

Justeru apabila filem Cinta arahan Khabir Bhatia, diuar-uarkan menampilkan lima kisah cinta di dalam sebuah filem, hati penulis mula diselubungi kerisauan. Masakan tidak, bimbang filem ini akan menjadi bercelaru dan kacau-bilau sehingga menjejaskan keseluruhan jalan cerita.

Namun, sangkaan itu meleset sama sekali setelah menyaksikan tayangan prebiunya baru-baru ini. Tidak keterlaluan kalau dikatakan Cinta boleh dianggap salah sebuah filem terbaik sepanjang tahun ini.

Skrip dan lakon layarnya digarap dengan begitu baik sekali. Malah, setiap wataknya juga telah dikembangkan dengan baik sehingga menjadikan Cinta sebuah filem yang mengasyikkan. Lakonan 10 bintang di dalam filem itu, begitu mantap dan penuh penghayatan. Percaturan Grand Brilliance Sdn. Bhd., (GBSB) dan Alternate Studio mempertaruhkan konsep sebegini sewajarnya dipuji kerana berjaya menghidupkan Cinta.

*Skrip idea penerbit

Menurut penulis skrip Cinta, Mira Mustaffa, idea untuk menghasilkan Cinta datang daripada penerbitnya yang mahukan sesuatu kelainan dalam filem Melayu.

“Pihak penerbit mahu nenampilkan sesuatu kelainan dan dengan itu, saya cuba menghasilkan lima buah cerita dalam satu filem.

“Idea untuk menghasilkan skripnya pula saya ambil daripada pengalaman saya sendiri dan juga rakan-rakan yang banyak menceritakan tentang pengalaman hidup mereka. Jadi, gabungan itu memberikan saya ilham untuk menghasilkan Cinta,” cerita Mira yang juga isteri kepada pengarah filem ini, Khabir Bhatia.

Menurut Mira lagi, pada awal perbincangan, pihak penerbit mahukan 10 cerita dalam satu filem tetapi kemudian merasa bimbang jalan ceritanya akan terjejas. Lalu hanya lima sahaja kisah cinta yang terbaik dipilih untuk dipaparkan dalam filem itu.

Apabila ditanya mengenai ilham untuk menghasilkan skrip yang begitu menyentuh jiwa, Mira berkata, semuanya hadir dengan sepintas lalu sahaja.

“Ketika saya sedang membuat skrip itu, seolah-olah ada suara di dalam kepala saya yang memberikan kata-kata yang begitu indah untuk saya jadikan skrip filem ini,” jelasnya tersenyum.

Penerbitnya, Ahmad Puad Onah pula berkata, pihaknya yakin filem ini akan membawa satu perubahan dalam industri perfileman negara.

“Jalan cerita yang ditampilkan mampu menarik perhatian penonton di samping keindahan sinematografi dan permainan warna yang ditampilkan. Bagi saya ia membawa satu perubahan dalam filem Melayu yang berbeza sebelum ini,” ujarnya.

Cinta akan menemui penonton pada 30 November ini dan dibintangi antaranya oleh Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Eizlan Yusuff dan Sharifah Amani.

*Apa kata pelakon Cinta

Que Haidar sebagai Dhani:

“Pengalaman berlakon dalam Cinta memberikan saya satu pengalaman baru. Saya bertuah kerana dapat berlakon di samping Nanu yang banyak memberikan tunjuk ajar. Ternyata, dia seorang pelakon yang hebat dan kami mempunyai keserasian. Khabir Bhatia juga banyak memberikan peluang kepada kami untuk menampilkan idea sendiri untuk mewarnai Cinta.”

*Rashidi Ishak sebagai Harris:

“Pertama kali mendapat skrip saya sudah jatuh cinta. Ia berbeza dengan watak yang saya bawakan sebelum ini iaitu sebagai suami yang kehilangan cinta isterinya yang telah menjadikannya hilang arah. Mengenai adegan mencium pipi Rita itu, saya sudah maklumkan kepada isteri saya (Vanidah Imran). Ternyata dia tidak melatah dan faham dengan kehendak skrip.”

*Pierre Andre sebagai Taufiq:

“Sebelum ini, pasangan saya merupakan pelakon Indonesia iaitu Dian Sastrowardoyo, Nirina Zubir dan Dessy Florita. Tetapi disebabkan kesibukan mereka, maka saya digandingkan dengan Sharifah Amani. Saya sukakan watak Taufiq yang memerlukan saya menjiwai watak seorang lelaki yang sukar meluahkan perasaan cinta kepada wanita yang pertama kali ditemuinya.”

*Nanu Baharudin sebagai Dyan:

“Dalam filem ini, saya pegang watak seorang kakak yang menghadapi konflik dengan seorang adik, Dhani (Que Haidar). Pada masa sama, saya juga menghadapi masalah dalam percintaan kerana bercinta dengan suami orang. Saya seronok berlakon dalam produksi ini kerana semuanya tidak terlalu terikat dan kami bebas untuk memberikan pandangan dan idea masing-masing.”

*Rita Rudaini sebagai Airin

“Saya sukakan watak saya dalam Cinta kerana ia banyak bermain dengan emosi. Itu amat mencabar dan saya suka pada cabaran. Mula dapat skrip, risau juga memikirkan kalau filem ini tidak dapat digarap dengan baik kerana terdapat lima cerita. Akhirnya, saya akur bahawa Cinta berjaya dihasilkan dengan baik.”

*Fasha Sandha sebagai Azura

“Watak Azura tidak ada kena-mengena dengan hidup saya. Walaupun begitu saya tidak rasa sukar untuk membawakan watak Azura cuma yang sukar bagi saya ialah untuk memberikan emosi dan penghayatan yang mendalam. Ini merupakan pengalaman baru bagi saya kerana jarang ada filem Melayu yang begini.”

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.