saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 19/11/2006

Pendekatan formalistik dalam kritikan

KALAU dekad 1960-an popular dengan pendekatan formalistik di samping pendekatan-pendekatan sosiologi serta moral, dekad 1970-an hingga kini masih lagi memanfaatkan ketiga-tiga pendekatan itu selain beberapa pendekatan baru yang lain.

Sejak 15 tahun lalu kita telah diperkenalkan dengan pendekatan-pendekatan yang dibawa masuk daripada tradisi kritikan Barat seperti psikologi, sejarah, stilistik, bandingan, semiotik serta resepsi.

Pendekatan (metodologi) baru ini (dalam konteks sastera Malaysia) telah diperkenalkan serta dimanfaatkan dalam karya-karya sastera. Beberapa pengkritik yang merasakan sesuai dengan pembawaan pendekatan itu ialah Hashim Awang yang masih unggul dengan pendekatan psikoanalisisnya. Begitu juga keteguhan Sahlan Mohd. Saman dengan pendekatan bandingan serta Umar Junus dengan teori serta pendekatan resepsi.

Dari aspek perkembangan persuratan Melayu, keagamaan pendekatan adalah antara petanda baik bagi kemajuan serta cara berfikir, begitu juga penerimaan ilmu dari luar lingkungan kita asalkan boleh dimanfaatkan dan tidak bercanggah dengan akidah, nilai serta norma kita. Dalam hal ini Baha Zain pernah menulis, bahawa kritikan sastera kita telah melewati perkembangan yang agak lambat:

“Melepaskan kita dari banyak proses dasar dan eksperimental yang pernah dilalui orang seperti mencari bentuk tulisan ilmiah, teknik dan metode pengumpulan dan penganalisisan bahan, serta penciptaan istilah. Perlu banyak sarjana sastera yang menemukan teori serta metologi yang asli dan cocok bagi kesusasteraan nasional.’’

Atas alasan kekurangan tersebutlah, pada pandangan Yahaya Ismail, “kekurangan dalam bidang teori sastera telah menyebabkan timbulnya kebanalan dalam segi kritik sastera dewasa itu,” (dimaksudkan dekad 1960-an), setiap teori yang dibawa masuk sememangnya mengemukakan sesuatu yang baru sama ada dalam bentuk pendekatan, penghayatan, pemikiran dan pembawaan atau adicita (ideologi).

Pertambahan teori bermakna pertambahan khazanah. Kepintaran cendiakawan sastera mengambil, menapis serta memanfaatkan sesuatu teori itu adalah faktor utama yang harus diberikan pertimbangan.

Dalam proses mengemukakan teori baru itu penerimaan serta penolakan sememangnya berlaku, tetapi setelah cukup meyakinkan barulah diterima secara total.

Contohnya, pendekatan formalistik telah berakar umbi dalam kalangan pengkritik kita sejak tahun-tahun 1950-an lagi, tetapi pendekatan psikologi (khususnya psikoanalisis) yang cuba dipopularkan oleh Hashim Awang sejak tahun 1970-an belum mendapat penerimaan sepenuhnya. Dalam hubungan ini, kemungkinan ada hal yang boleh diterima dan ada pula yang disanggah daripada pembawaan Freud sebagai pengasasnya.

Lazim

Setiap pendekatan juga sudah tentu ingin mengutarakan beberapa pandangan dan pemikiran baru, selain daripada yang begitu lazim serta diamalkan lama sebelum ini. Hal peribadi dan pemikiran subjektif yang tidak bersandarkan kepada teori, pendekatan atau nilai tertentu adalah tidak wajar dihubungkan dalam sebuah karya kesusasteraan. Natijahnya adalah kebaikan kepada karya, karyawan serta perkembangan persuratan itu sendiri.

Pada awal dekad 1970-an, pendekatan ini masih mendapat tempat di arena kritikan kesusasteraan Malaysia, dengan Yahaya Ismail - tokoh dekad 1960-an masih lagi menerajui teman-teman seangkatannya.

Akhbar Mingguan adalah media penampung paling popular bagi mereka dan karya-karya formalistik mereka tidaklah sama tahap kritis serta ilmiahnya jika dibandingkan dengan karya yang tersiar dalam majalah-majalah Dewan Bahasa dan Dewan Sastera.

Akhbar pada masa itu, misalnya Utusan Zaman, Mingguan Malaysia serta Berita Minggu hanya memperuntukkan setengah atau seperempat halaman sahaja untuk kritikan kesusasteraan sama ada dalam bentuk teori atau praktis serta genre paling popular diperkatakan adalah cerpen serta novel.

Apa yang sering diberikan hanyalah sinopsis cerita dan sedikit ulasan dan akhirnya kritikan itu lebih merupakan kupasan, resensi atau reviu sahaja. Tulisan bersifat kritikan di akhbar amat ketara cenderung kepada pendekatan formalistik dan tidak kritis dalam membentangkan sesuatu aspek atau unsur yang dibicarakan.

Mungkin kerana faktor ruang yang terhad Yahya Ismail tidak memperincikan kritikannya seperti yang dilakukannya dalam majalah Dewan Bahasa apabila beliau menulis tentang Syed Syeikh al-Hadi dan Ahmad Rahsid Talu. Struktur formalistik yang dibincangkan oleh Yahya Ismail dalam Dewan Bahasa itu ternyata lebih kukuh, meyakinkan serta ketelitiannya memanglah menepati tuntutan kritikan formalistik.

Begitu juga halnya dengan tokoh-tokoh lain seperti Ramli Isin yang mendekati karya sastera dalam genre cerpen, novel dan puisi dengan perspektif ini.

Tokoh-tokoh lain termasuklah Ilias Zaidi, Anwar Ridhwan, Mohd. Yusuf Hassan, Hashim Awang dan Mana Sikana. Yang membezakan kritikan formalistik mutakhir dengan pendekatan yang sama pada dekad-dekad sebelumnya hanyalah aspek ketelitian dan penggunaan teori sandaran.

Karya

Akhir-akhir ini pengkritik kita telah memiliki perspektif yang lebih kritis berpandangan jauh dan terbuka walaupun yang diimport dari Barat, melalui buku atau ukurtara yang diasaskan oleh Hippolytype Taine, Plato, Aristotle, Rene Wellek dan Austin Warren, David Daiches, Marlies Danzinger dan lain-lain.

Bagi golongan formalis, sastera terhasil daripada suatu proses yang bebas daripada rantaian kehidupan lain, maka itu pendedahan karya tidak mementingkan perkaitannya dengan faktor kehidupan yang lain, memadai dengan melihat antaranya, tema, plot, perwatakan, gaya bahasa dan simbol-simbol yang digunakan dalam karya.

Pendekatan ini percaya bahawa karya sastera dijadikan fokus kritikan dan tidak menghubungkaitkan karya itu dengan biografi pengarang, psikologi masyarakat, faktor sosial, falsafah masyarakat dan sebagainya.

Penumpuan perhatian adalah terhadap karya sebuah tuntutan paling objektif dan formal. Hal-hal di luar karya, sewajarnya tidak disentuh.

Hingga ke penghujung dekad 1970-an, pendekatan formalistik masih menjadi anutan utama kritikan kesusasteraan Malaysia dan ini termasuklah kritikan-kritikan yang ditulis dalam majalah-majalah bulanan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zuhur 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:45



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.