saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 23/11/2006

Anugerah Seni Negara pengiktirafan kepada penggiat seni

SETIAP kerja seni yang dilakukan oleh penggiat seni di negara ini bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran, tetapi bagi memartabatkan kesenian negara.

Justeru itu, usaha penggiat seni berbaloi apabila kerajaan terutama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) memberikan pengiktirafan kepada ketokohan, kepimpinan dan intelektual yang cemerlang dalam meningkat dan mengembangkan mana-mana bidang seni menerusi Anugerah Seni Negara yang berprestij tahun ini.

Anugerah dua tahun sekali itu membuktikan industri seni mampu mengangkat budaya berbilang kaum di negara ini.

Pelukis tersohor negara, Datuk Mohd. Noor Khalid berkata, pengiktirafan oleh KeKKWa ini membuktikan kesenian negara mampu dimartabatkan.

Beliau yang juga dikenali sebagai Lat berkata, ini kerana seni mempunyai ruang lingkup yang luas dan ia boleh dimajukan pada masa depan.

“Saya percaya pengiktirafan yang diberikan kepada saya ini memberikan keyakinan kepada penggiat seni tampak untuk meneroka bidang seni dengan gigihnya.

“Pengiktirafan ini bukan kepada diri saya sahaja tetapi kepada seluruh penggiat seni. Ini kerana seni mempunyai nilai yang tinggi dan kerana itu penggiat seni boleh memajukan industri seni,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Seni Negara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamallulail.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM221,500 kepada 32 penerima Anugerah Seni Negara tahun ini.

Lat berharap generasi muda lebih gigih meneroka bidang seni dengan serius.

“Seni kita boleh maju kerana kerajaan sentiasa memberikan galakan kepada penggiat seni yang aktif dalam memajukan kesenian negara,” tambahnya yang merupakan karikatur tersohor di Malaysia. Dia menerima hadiah bagi Anugerah Karyawan Seni Tampak (Seni Lukis) berjumlah RM10,000, sijil penghargaan dan trofi.

Lukisan beliau sering disamakan dengan karikatur bertaraf dunia seperti William Hogarth, Francisco Jose de Goya Lucientes, Honore Daumier, Thomas Nast, Sir Max Beerholm dan Sir David Low.

Lat dilahirkan pada 5 Mac 1951 di Ipoh, Perak. Dia gemar melukis dan sering memerhatikan gelagat manusia sejak di peringkat awal persekolahan.

Beliau pernah menghasilkan kartun untuk penerbitan Utusan Melayu (1970an) dan Berita Harian. Siri karya Lat yang terkenal seperti Keluarga Si Mamat dan The Kampung Boy.

Beliau menerbitkan lebih 12 koleksi kartunnya. Tema kartunnya meliputi isu politik, ekonomi dan persekitaran masyarakat. Sebanyak 26 siri animasi Kampung Boy telah dihasilkan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Sementara itu, penggiat teater dan pelakon, Khalid Salleh berkata, anugerah ini membuktikan penggiat seni mampu memajukan perkembangan seni tanah air.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan pengiktirafan kepada kerja seni saya di negara ini.

“Walaupun setiap insan seni itu tidak mengharapkan pengiktirafan, tetapi ia memberikan ruang dalam memartabatkan kesenian negara,” katanya yang menerima wang tunai RM10,000.

Khalid berharap generasi muda dapat memajukan seni negara kerana seni akan malap tanpa pejuang seni yang gigih.

“Seni itu mempunyai nilai yang indah dan mempunyai daya tarikan yang tersendiri,” katanya yang menerima Anugerah Karyawan Seni Teater (Pelakon) kerana aktif mengarah teater.

Khalid dilahirkan pada 29 Februari 1948 di Kampung Jalan Sungai Kantan, Kajang, Selangor.

Dia bergiat aktif sebagai pengarah teater, pelakon, penyair dan penulis.

Antara produksi teater yang mendapat sentuhan beliau ialah Kubur Tak Bertanda (1963), Moyang-Moyang (1975), Pemburu Perkasa (1976), Bukan Bunuh Diri (1977), Desa Ria (1978), Si Kebayan (1980), Bertam Bukan Semambu (1982), Umbut Mayang Mengurai (1984, 2001), Mat Cincai (1985), Hang Tak Tuah (1987), Si Bereng-Bereng (1989, 1991, 2001), Gong Gedombak (1990), Kena Main (1992, 1998), Brang..Brengg..Brongg... (1996), Bakai (1997), Teh Tarik (2003), Bangsat (2005, 2006) dan Benda Sulit pada 2006.

Khalid bercadang untuk mementaskan teater Ninggg pada tahun depan.

Zahim AlBakri yang memenangi Anugerah Karyawan Seni Teater (Pengarah) merupakan seorang pengarah yang gigih mengarahkan pelbagai teater di negara ini.

Beliau merupakan pengarah Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Februari dan Ogos lalu.

“Anugerah ini memberikan keyakinan bahawa bidang yang diceburi mampu memberikan sumbangan ke arah memajukan seni teater,” kata Zahim.

Penulis Mohd. Faisal Musa (Faisal Tehrani) merupakan karyawan seni yang tidak asing di negara ini.

Dia begitu cemerlang dalam bidang penulisan dan pernah memenangi beberapa anugerah seperti Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Faisal aktif menulis dalam genre novel, drama pentas, cerpen, puisi dan esei. Dia menerima hadiah bagi Anugerah Bakat Muda Seni Teater (Penulis Skrip).

Senarai penerima Anugerah Seni Negara

A. Anugerah Seniman Negara - Datuk Ahmad Nawab

B. Anugerah Karyawan Seni (RM10,000)

1. Seni Tampak (Seni Lukis) - Datuk Mohd. Noor Khalid (Lat)

2. Seni Arca - Ramlan Abdullah

3. Koreografer - Ramli Ibrahim

4. Penari - Umest Shetty

C. Anugerah Karyawan Seni Muzik

1. Pencipta Muzik -Suhaimi Mohd. Zain

2. Penggubah Muzik - Ooi Eow Jin

3. Pengarah Muzik - Woon Wen Kin

4. Pemuzik-Rahim @ Mohd. Noh Jantan.

D. Anugerah Karyawan Seni Teater

1. Penulis Skrip) -Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan

2. Pengarah - Zahim Albakri.

3. Pelakon - Khalid Salleh.

4. Penata Cahaya -Mac Chan Ban Hing.

5. Pereka Set - Raja Khalid Raja Mohamad.

E. Anugerah Bakat Muda (RM5,000)

1. Seni Tampak (Seni Lukis) - Chuah Chong Yong

2. Seni Arca - Mohd. Faizal Ramli

3. Koreografer - Shariful Azmi Suhaimi

4. Penari - Zamzuriah Zahari

5. Pencipta Muzik - Azlan Abu Hassan

6. Penggubah Muzik - Jason Voo

7. Pengarah Muzik - Lee Yin Fah @ Eric

8. Pemuzik - Prakash a/l Kandasamy

9. Penulis Skrip - Mohd. Faisal Musa

10. Pengarah - Gavin Yap Kon Tong

11. Pelakon - Juhara Ayob

12. Penata Cahaya - Ee Chee Wei

F. Anugerah Pendukung Seni (RM5,000)

1. Wartawan/Media - Klasik Nasional

2. Swasta/badan berkanun-Bahagaian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran.

3. Sektor Korporat - DiGi Telecommunications Sdn. Bhd.

4. Swasta (Seni) - The Actors Studio

5. Individu

- Datuk Mohd. Yaman Ahmad Mus

- Goh Eng Boon.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.