saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 26/11/2006

Selamat tinggal dunia sepi - Sherie Merlis


SHERIE MERLIS.


LAMA, terlalu lama untuk menjejaki wanita yang satu ini. Terasa sudah setengah dekad juga dia tidak pernah muncul di dada mana-mana media. Kalau ada pun hanya sesekali dan kita seperti terlupa akan dirinya begitu saja.

Sedangkan saya tahu dia seorang pelakon berbakat hebat suatu ketika dulu. Tetapi kerana satu peristiwa malang yang menimpa, Sherie tersisih. Tersisih atau sengaja menyisihkan diri?

Kedua-duanya. Seorang teman menawarkan peluang kepada saya untuk menemui Sherie yang katanya kini sudah bersedia untuk melupakan dunia sedihnya.

Sherie mahu menjadi Sherie Merlis yang baru, yang tidak segan, tidak silu untuk bertemu media.

Biarpun bukan untuk bercerita tentang hal-hal yang terlalu peribadi, sekurang-kurangnya dia tidak lagi terkurung dalam dunia sepinya.

“Sherie masih cantik, macam model!,“. Ya, itu yang lahir dari bibir jurugambar senior kami, Zakaria kala membelek wajah Sherie melalui lensa kameranya.

Saya dan rakan jurusolek, Deq Sha juga mengakui akan hakikat itu dan yang penting, wajahnya asli tanpa secalit pun sentuhan teknik kecantikan terkini.

Botox? Mungkin tidak. Atau kolegen? Tidak juga.

Wajah yang asli itu memukau ‘selera’ kami untuk terus menjadikan sesi fotografi ini cukup berseri dan aura wanita berusia 36 tahun ini benar-benar menyerlah.

Sherie bagai diberi suntikan baru yang berbeza sama sekali berbanding dengan langkah pertamanya menjejakkan kaki ke studio kami, kurus, kering tidak bermaya dan saya tertanya-tanya apa sudah jadi ni? Mana Sherie yang manis dan jelita dulu?

*Batin menanggung rindu

Mungkin benar bagai yang dikata banyak teman artis saya, Sherie seperti orang kurang sihat akhir-akhir ini. Pembawaan dirinya yang kurang ceria dan lesu menceritakan batinnya.

Kata orang kalau sakit rindu, begitulah padahnya, tetapi maaf saja. Sherie tidak mahu terus bercerita tentang rasa rindu itu kepada kita meskipun ada yang dapat meneka.

Kala ditanya tentang dua puteranya yang kini dalam jagaan bekas suami yang juga pelakon kacak Isma Daniel, kata Sherie biarlah perihal itu dia pendam sendirian sebagai rahsia peribadi.

Derita perasaan seorang ibu yang sehingga kini jarang-jarang sekali berpeluang bermanja dengan anak yang pernah berkongsi nafas dan denyut jantungnya, biarlah dia saja yang tahu.

“Saya tak mahu bercerita tentang itu. Duka dan pahit biar saja saya yang tahu. Saya tak mahu kelak nanti kenyataan saya boleh mengguris hati mana-mana pihak dalam soal itu.

“Tetapi satu yang saya tahu, Allah tahu betapa tinggi cinta dan sayang saya kepada Habib dan Hariss, betapa agungnya cinta seorang ibu,’’ katanya cuba mengelak.

Dua anak itu kini sudah mencecah usia 15 dan 14 tahun dan terpisah dari Sherie dalam usia terlalu kecil. Semenjak itu masing-masing dengan dunia sendiri dan Isma sudah mendirikan rumah tangga cukup bahagia dengan wanita lain beberapa tahun lalu.

“Mereka yang terdekat dengan kehidupan kami saja yang tahu akan kebenarannya. Biar kami saja simpan kisah itu untuk diri kami, bukan untuk pengetahuan orang lain.

“Pada saya cukuplah dengan mempunyai kenangan bersama Habib dan Hariss. Masa bersalin dan masa kecil mereka bersama saya, sentiasa ada dalam gambaran mata saya.

“Dalam kenangan saya, mereka sentiasa ada bersama sampai bila-bila. Demi Tuhan, Demi Allah kalaulah nyawa boleh saya gadaikan, saya akan gadaikan untuk anak-anak saya itu,“ katanya dengan mata berlinangan. Kami terpaku seketika sedang Sherie terus diam lagi, tidak menyambung kata.

Parah benar hati wanitanya, tetapi dalam keadaan itu saya melihat Sherie mempunyai banyak kekuatan sehinggakan dia masih boleh bertahan. Dia tidak memburukkan sesiapa, tidak juga menjadikan nasib ini sebagai kifarah kepada dirinya.

Sherie juga berharap selepas ini tidak akan ada yang mahu bertanya lagi. Dia sudah terlalu letih untuk menjawab lagi.

Mungkin juga dia tidak mahu mengeruhkan keadaan dan biarlah saja kisah itu disimpan sendirian.

Biarlah Sherie, mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut manusia apalah daya kita. Biarlah orang terus berbicara dan mengata asalkan diri sendiri tahu hakikat kebenarannya.

* Tidak mahu digasak hal peribadi

Sherie akui hilangnya dia dari lensa kamera dan tinta tulisan media kerana tidak mahu terus digasak dengan soalan peribadi yang tidak bertepi.

Adakalanya dia boleh jadi trauma dengan keadaan. Dalam pemikirannya setiap kali bertemu dengan pihak media tidak akan ada soalan lain yang bakal diajukan, pastinya tentang soal masa lalu yang suram.

Padanya, lebih baik dia berdiam diri dan menguruskan kerjaya lakonan dengan hati yang lebih tenang tanpa memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk mencipta ruang bermusuhan dengannya.

Kisah lalu sudah cukup untuk dijadikan pengajaran apabila tutur dan katanya diberi tambahan cukup `berperisa' oleh pihak media menjadikan ada yang salah anggap dan kemudian dirinya yang menerima padah.

Rasa serik itu dibawa bertahun-tahun lamanya, maka tidak hairan kenapa dia seperti mengelak daripada media. Menghadiri majlis kesenian seperti Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin atau apa saja majlis juga dia cukup segan.

“Mungkin sebab itulah saya serik untuk bertemu orang seperti anda. Saya tidak mahu lagi kes yang kecil sengaja diperbesarkan dan saya menjadi mangsa keadaan.

“Hanya kerana satu ‘tulisan' saya menerima hukuman yang sangat hebat sehingga saya menderita sampai ke hari ini.

“Dan saya tidak sanggup lagi. Sebab itu lama saya mengelak dari bertemu dengan pihak media sedangkan saya tahu kerjaya saya memerlukan kita saling berhubungan,” katanya mengakui rasa kurang selesa itu.

Bagaimanapun jelas Sherie, masa membawa banyak perkara baru tentang kehidupan. Dan hatinya juga semakin terbuka dalam soal itu di mana dia sedar yang selamanya dia tidak mungkin mampu mengelak daripada pihak media.

Dengan kerjaya lakonan yang masih bertahan, dia mengakui perlu untuk mencipta hubungan yang mesra dengan pihak media.

‘’Sekarang masa untuk saya mendapatkan semula kekuatan dengan membina hubungan baru dengan anggota media,” katanya berterus terang.

* Doa bertemu jodoh

Hidup sepi dan sunyi. Segala-galanya ditanggung sendiri. Sherie akui dalam hatinya kadangkala selalu mengharapkan dapat bertemu jodoh buat kali kedua dengan lelaki yang baik.

''Harapnya kalaulah ada jodoh saya lagi dengan lelaki, biarlah kami kekal dan bahagia sampai ke mati. Siapa tak mahu kahwin? Saya selalu berdoa supaya dapat jodoh yang bagus dan kekal sepanjang hayat bersama, berdua dan mencipta bahagia,'' katanya.

Dua belas tahun hidup sendiri selepas berpisah dengan Isma Daniel, Sherie akui dia bertemu dengan beberapa lelaki yang baik dalam kehidupannya.

Tetapi mungkin tiada jodoh di kamus pertemuan, mereka berpisah jua dari alam percintaan.

Kifarah dari kehidupan solo itu kata Sherie dia sering berasa kesunyian. Sunyi yang sepi itu menjadikan dirinya hanya memikirkan hal-hal berkaitan dengan diri sendiri sahaja.

Bertambah malang lagi apabila segala kisah suka ataupun duka tidak boleh dikongsi dengan pihak lain. Kekosongan semakin terasa apabila diri ditimpa walang yang panjang.

''Menangis seorang diri saja. Sukarnya memang terlalu bila kita hidup sendiri. Saya menanggungnya selama 12 tahun dan rasanya cukup sunyi. Kesunyian yang sukar diceritakan kepada orang lain, hanya wanita yang pernah duduk dalam keadaan yang sama akan faham,'' kata Sherie lagi.

Dan saya difahamkan pada saat ini, hati Sherie kembali berbunga dengan kehadiran orang baru yang mudah-mudahan boleh melengkapkan semula kehidupannya.

Sherie tidak menafikan hal itu dan lelaki itu juga yang membawanya ke Jalan Chan Sow Lin untuk fotografi ini.

“Ya, saya sedang mengenali hati seseorang pada saat ini. Kami rapat dan dia lelaki yang baik. Saya berharap suatu hari nanti saya diberi peluang untuk hidup bahagia macam wanita lain.

‘’Berkahwin, hidup macam dalam istana dan ada anak-anak lagi, besarkan mereka dalam keluarga yang sangat bahagia, insya-Allah,'' katanya dengan dua tangan rapat bertaut menadah doa dan kami yang berada di sisi dengan pantas meng‘amin’kannya.

Ketika ditanya mengenai impiannya di hari tua nanti, Sherie mempunyai impian tersendiri. Sudah pasti berkenaan dengan dua puteranya yang kini semakin membesar dalam alam keremajaan.

‘’Jika selama ini saya hidup dengan mempunyai kenangan cukup manis bersama mereka, di masa depan, saya berdoa mudah-mudahan mereka pula membesar bersama dengan kenangan dan ingatan abadi tentang seorang ibu,” katanya dengan makna yang cukup mendalam serta senyuman cukup bersemangat. Sungguh manis.

Biarkan luka itu pergi bersama dengan hari-hari yang berlalu. Semoga masih ada peluang untuk seorang Sherie Merlis merasai apa yang menjadi miliknya dan doa saya agar Sherie tidak terus dibayang oleh kisah-kisah yang suram.

Ya Sherie, anda perlu keluar dan lupakan semua yang hitam dan suram. Berlari terus di pentas kebahagiaan. Kerana dunia di luar amat indah dan berseri untuk seorang yang bernama Sherie Merlis.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.