saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 05/12/2006

Kenduri kahwin katering atau gotong-royong?


PROF. MADYA DR. NORIAH MOHAMED.


KERIUHAN dan kemeriahan keluarga dan jiran tetangga yang datang berkumpul membantu menjayakan majlis perkahwinan kini kian malap dan hilang. Begitu juga dengan senario wanita menghiris bawang dan kaum lelaki melapah kerbau atau lembu sudah jarang kita temui hari ini.

Senario sebegini amat kurang dalam kalangan warga kota dan hanya masih berlaku kepada warga desa.

Begitu juga dengan kesibukan anak-anak muda memasang khemah sambil bergurau senda adalah panorama yang jarang dilihat dalam majlis perkahwinan zaman sekarang.

Kini, kebanyakan warga kota lebih sibuk dengan kegiatan masing-masing sehingga kalau mengadakan kenduri perkahwinan, lebih senang dibuat di dewan atau hotel (bagi mereka yang mampu). Mereka mempunyai alasan tersendiri kerana ia lebih praktis dan menghematkan.

“Peruntukan yang disediakan hanya perlu untuk berapa jumlah tetamu yang diundang dan makanan yang dihidangkan pula lebih secara bufet dengan menggunakan khidmat katering.

“Dengan cara ini, ia tidak memenatkan tuan rumah dan boleh bersama-sama melayan tetamu. Inilah senario kini, para tetamu melayan diri sendiri kerana tidak ada makanan yang terhidang sebagaimana yang lazim dalam budaya Melayu,” ujar Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Noriah Mohamed.

Di desa-desa pula, kebanyakan penduduknya masih mengekalkan tradisi memasak secara bergotong-royong. Selama seminggu, rumah akan dikunjungi saudara mara dan jiran tetangga yang menolong membuat kuih muih atau mengacau dodol.

Kemudiannya mereka turut serta memasak untuk kenduri dan bergotong-royong membasuh periuk kawah, belanga dan pinggan mangkuk. Keadaan ini amat menarik sekali kerana ia sudah jarang dilakukan terutamanya bagi penduduk di bandar.

Noriah berkata, gotong-royong dalam kenduri yang sering diadakan di desa sebenarnya mempunyai rasa ikatan mesra yang lebih mendalam. Mereka sama-sama merasakan penat dan puas dalam mengendalikan sesuatu kenduri. Keadaan ini berterusan dalam kalangan warga desa.

Ada juga pendapat mengatakan sukar mengawal perbelanjaan sekiranya masak secara bergotong-royong berbanding khidmat katering. Kadang-kadang ia turut mengundang kepada pembaziran dari segi penggunaan bahan mentah dan lauk-pauknya dimasak berlebihan.

Walaupun makanan tersebut boleh diberikan kepada saudara mara dan jiran yang menolong, namun ia tetap membazir dan meningkatkan kos secara tidak langsung.

“Katering atau masak sendiri ada kelebihan dan kekurangannya termasuklah mengadakan majlis kenduri di dewan atau hotel. Kesemua elemen ini menyumbang kepada kemudahan tuan rumah yang tidak perlu gusar untuk mengemas rumah selepas selesai kenduri.

“Lagipun, kehidupan harian yang sering dibebani waktu, susah untuk mencari orang menolong. Terpulanglah kepada kehendak individu asal ia tidak lari daripada matlamat asal perkahwinan seperti mana yang dituntut oleh agama,” katanya.

Selain itu, perubahan zaman turut mengubah nilai tradisi dalam perkahwinan orang Melayu termasuklah soal pemilihan pasangan dan perancangan perkahwinan. Dulu, kesemuanya diuruskan oleh ibu bapa.

Kini, anak-anak lebih suka menguruskan sendiri perkahwinan mereka manakala ibu bapa hanya mengikut sahaja. Pilihan ibu bapa selalunya berlandaskan kepada faktor nilai yang ada pada calon lelaki atau perempuan.

“Apabila pilihan jodoh dibuat sendiri, ini menyebabkan mereka meletakkan rupa paras sebagai syarat utama berbanding ciri-ciri lain yang digariskan dalam Islam iaitu beragama, keturunan yang baik dan kekayaan. Nilai ini yang berubah sedangkan Islam menekankan pemilihan jodoh bersandarkan kepada agama,” ujar beliau.

Apabila peranan orang tua ditolak, majlis perkahwinan diadakan dengan cukup meriah hingga kadang kala ia dilihat seolah-olah melanggar norma-norma dalam masyarakat Melayu. Malangnya, kebahagiaan yang dibina tidak semeriah majlis perkahwinan. Akhirnya, haluan yang tidak sefahaman membawa kepada perceraian. Beginilah situasi yang sering berlaku kepada anak muda sekarang.

“Dulu hebahan untuk berkenduri selalunya dilakukan oleh ibu bapa tetapi kini kadangkala dilakukan oleh pasangan yang akan berkahwin. Gadis yang akan dijodohkan akan tunduk bila ditanya sama ada setuju atau tidak untuk dijodohkan dengan bakal suaminya tetapi kini segalanya berubah, si gadis yang kadang kala menghebahkannya kepada orang lain.

“Agar nilai warisan kekal, biarlah kita berpegang kepada prinsip, yang tua dihormati dan yang muda disayangi. Sebaiknya pasangan yang akan berkahwin walaupun atas dasar pilihan sendiri, restu kedua orang tua adalah suatu yang amat perlu untuk kebahagiaan rumahtangga agar berkekalan,” nasihat Noriah.

*Ridzuan Ahmad, 33, Pembantu Kanan Stor

Guna katering atau gotong royong - apa kata anak muda zaman sekarang?

Baru mendirikan rumah tangga lima bulan lalu, kenduri yang diadakan cukup meriah apabila sanak saudara dan orang kampung sama-sama memasak menyediakan hidangan untuk majlis perkahwinan. Bahkan suasana demikian sudah menjadi tradisi di Kampung RPSB, Bukit Kening, Chenong, Maran, Pahang.

“Kalau memilih untuk hidangan bufet dan katering, keadaan ini kurang selesa bagi orang di kampung saya kerana kami sudah biasa bergotong royong memasak untuk kenduri.

“Saya kurang bersetuju jika ada yang mengatakan masak sendiri memerlukan belanja yang lebih kerana ahli keluarga akan bermesyuarat terlebih dahulu untuk menentukan bajet dan jumlah tetamu yang hadir,” katanya yang merupakan anak keempat.

*Maziah Mokhtar, 28, Pereka Grafik.

“Saya lebih suka katering sebab ia lebih mudah, selesa dan tidak meletihkan. Ibu bapa dan ahli keluarga boleh menumpukan perhatian untuk melayan tetamu tanpa memikirkan perkara-perkara lain.

“Bagi yang berkemampuan, boleh buat kenduri di dewan atau hotel kerana ia lebih tersusun dan rumah tidak berselerak,” ujarnya.

*Sani Jiran, 30, Pegawai Perhubungan Awam.

“Katering memang memudahkan kerja tuan rumah tetapi kurang nilai kekitaan dan semangat kejiranan. Ia sama seperti seorang kanak-kanak yang duduk di rumah bermain permainan video komputer dengan kanak-kanak yang bercampur gaul dengan rakan sebayanya di luar rumah.

“Tentulah nilai-nilai yang berada di sekeliling mereka jauh berbeza. Kesibukan dan tidak cukup masa bukanlah alasan untuk tidak mengadakan majlis kenduri secara gotong-royong,” katanya.

*ADAT-ADAT PERKAHWINAN

ADAT perkahwinan tradisional masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa proses iaitu merisik, meminang, menghantar tanda, hantaran belanja, menjemput, akad nikah, berinai besar, bersanding dan jemput menantu.

*Merisik

Permulaan proses perkahwinan ialah merisik atau meninjau. Biasanya dilaksanakan oleh keluarga pihak lelaki, khususnya ibu bapa. Setelah teruna dan keluarganya berkenan dengan gadis yang dipilih, usaha merisik dijalankan untuk mengetahui sama ada gadis itu sudah berpunya atau tidak. Hasil merisik ini akan dibuat rundingan dengan keluarga si teruna. Apabila diketahui si gadis belum berpunya upacara peminangan diaturkan.

*Meminang

Ia hanya dilakukan bila keluarga si gadis menyatakan persetujuannya. Tugas meminang biasanya dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak, biasanya ketua-ketua adat dan syarak. Semasa meminang akan ditetapkan tarikh menghantar tanda.

Perkara-perkara yang dibincangkan semasa upacara peminangan ialah hantaran belanja, persalinan dan tempoh bertunang. Sesetengah tempat, berita pertunangan diberitahu kepada seisi kampung oleh Ketua Kampung di masjid ketika mengadakan sembahyang Jumaat.

*Menghantar tanda

Semasa upacara menghantar tanda, kebiasaannya sebentuk cincin akan dihantar oleh pihak teruna untuk disarungkan ke jari tunangnya. Menyampai dan menerima cincin itu dilakukan dalam majlis di rumah perempuan. Cincin ini disebut sebagai ‘cincin tanda’.

Ia biasanya diiringi juga dengan sebahagian wang hantaran belanja. Tarikh perkahwinan juga dibincangkan bersama.

*Hantaran belanja

Pada tarikh yang dijanjikan upacara menghantar belanja dijalankan. Kedua-dua belah pihak diketuai oleh Ketua Kampung atau Ketua Syarak. Wang hantaran itu biasanya diiringi dengan persalinan untuk perempuan. Ia digubah dalam berbagai bentuk atau dibungkus dalam kain sahaja mengikut adat daerah masing-masing.

Iringan lain termasuk bunga rampai, sirih junjung atau tepak sirih sahaja, pahar telor merah dan nasi semangat, alat solek, buah-buah dan lain-lain.

*Menjemput

Waris bakal pengantin (ayah atau ibu, atau orang yang wajib dan diwakilkan) akan berkunjung ke rumah orang tua-tua di kampung itu untuk memberitahu tentang hari perkahwinan tersebut. Mereka akan membawa tepak sirih dan menjemput sanak saudara serta sahabat handai datang ke rumah bagi mengelolakan majlis itu. Majlis kenduri kahwin dimulakan di rumah pengantin perempuan.

*Akad nikah

Akad nikah dijalankan sebelum upacara berinai besar dan bersanding. Imam mewakili wali perempuan menjadi juru nikah. Dalam upacara ini, juga disahkan hantaran dan lain-lain. Mas kahwin disebut sama ada hutang atau tunai.

Mas kahwin akan diserahkan kepada pengantin perempuan dan menjadi haknya. Dari saat ini sahlah mereka menjadi suami isteri.

*Berinai besar

Kedua-dua pengantin memakai pakaian yang cantik. Pengantin lelaki datang ke rumah pengantin perempuan dengan iringan rebana. Upacara berinai didahului oleh pengantin lelaki yang duduk di pelamin. Ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara itu. Pengantin perempuan akan mengambil tempat selepas pengantin lelaki.

*Bersanding

Pada hari persandingan, jamuan diadakan secara besar-besaran di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki serta rombongannya akan diarak dan diiringi dengan selawat dan pukulan rebana dari rumahnya atau tempat persinggahannya ke rumah pengantin perempuan. Hantaran akan dibawa bersama jika ia belum dihantar terlebih dahulu.

*Jemput menantu

Majlis jemput menantu atau ‘menyambut menantu’ diadakan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan dijemput datang ke rumah pengantin lelaki biasanya dibuat pada hari ketiga, kelima atau seminggu selepas diadakan majlis persandingan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:44
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.