saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/12/2006

Cicak-Man waraskan saya – Yusry

Tayangan hari pertama mengutip RM350,000 sekali gus mencatatkan rekod dalam sejarah filem tempatan. Hari kedua mengutip RM300,000 dan hari ketiga RM500,000, kemudian RM460,000 pada hari keempat.

Cicak-Man memang buat duit apabila kutipan mencecah RM2 juta dalam masa lima hari.

Filem superhero Malaysia pertama ini mencatat sejarahnya tersendiri. Menariknya apabila Cicak-Man mampu menarik perhatian masyarakat pelbagai kaum ke pawagam. Itu bukan kerja senang untuk dilakukan oleh mana-mana pengarah atau penerbit. Populariti pelakon juga tidak menjanjikan semua itu, jadi apa yang istimewa sangat tentang Cicak-Man ini?

Saya menemu bual Yusry Abdul Halim sebagai pengarah Cicak-Man untuk berkongsi rasa bangga itu. Di hujung bicara kami, Yusry mengakui Cicak-Man dihasilkan pada masa dia berada dalam tekanan yang cukup hebat.

Hari pertama memulakan sesi penggambaran Cicak-Man dia memilih untuk berpisah bumbung dengan bekas isteri, Erra Fazira. Tetapi hari ini Yusry merasakan kerana filem ini diladeni dengan hati besar dan terbuka, apa yang diinginkan mampu diterjemahkan dengan baik dalam filem berkenaan.

Melihat kepada sambutan budak-budak kecil, anak-anak jiran saya mengenai Cicak-Man, tidak mustahil satu rekod baru akan dicipta melalui Cicak-Man untuk industri filem kita. Ayuh, kita sama-sama ke pawagam membawa anak dan keluarga untuk berkongsi kehebatan itu.

Sebagai pengarah di mana sebenarnya kekuatan sebenar Cicak-Man?

Elemen Imej Janaan Komputer (CGI) dan tema superhero itu sendiri. Pelakon kita pun banyak main peranan juga. Kalau CGI bagus tapi tak kena dengan masa tayangannya pun tak berjaya juga. Pada saya, filem ini memilih satu genre baru yang sangat menarik. Pun begitu saya tak sangka yang ia akan diterima sehingga sebaik ini.

Dengan kutipan RM2 juta, nampaknya Cicak-Man berjaya menarik lebih 300,000 penonton dalam masa lima hari tayangan, apakah ini rekod terhebat filem tempatan?

Mungkin juga. Saya ada jawapannya kenapa jadi macam itu. Sebab orang yang tak tengok filem Melayu sebelum ini ada pergi tengok. Bukan saja Melayu yang pergi, kanak-kanak Cina, India semua datang tengok. Bukan satu atau dua orang dalam satu keluarga, ramai. Saya juga sudah buat pemerhatian di luar sana, memang pelbagai bangsa dan lapisan umur yang datang. Ini bermakna kaum lain pergi pawagam memang sebab hendak tengok Cicak-Man.

Kenapa cicak?

Pada saya cicak ialah binatang yang kelakar, yang hari-hari kita tengok. Cicak dekat dengan famili kita orang Melayu, orang Cina dan India pun tahu juga apa itu cicak. Cicak ada dalam hidup kita tapi dia tak kacau kita dan ia binatang paling lawak bagi saya. Sebab cicak selalu kena buli, kena lastik dek budak-budak. Jadi dari situ saya dapat idea.

Kenapa tidak Badang misalnya? Bukankah kita ada lagi hero tempatan yang boleh ditonjolkan?

Memang superhero Melayu ada, kita membesar bersama ceritanya. Tetapi saya hendak cipta watak superhero yang orang boleh serasi tanpa mengira apa bangsa. Saya hendak superhero yang cuba boleh melekat di dinding, boleh buat macam-macam, tetapi dalam masa yang sama dia ada kekurangannya. Itu saja. Asalnya ia cerita komedi. Saya suka buat lawak bila tengok filem tentang superhero yang pernah ada. Superhero mereka mesti kuat, selalu selamatkan orang, tak pernah kalah, tak boleh mati. Tetapi Cicak-Man tidak begitu. Lembek juga. (ketawa)

Bagaimana pula dengan tanggapan Cicak-Man diterima sebab bernasib baik dapat tayangan musim cuti sekolah?

Ada juga filem lain ditayangkan cuti sekolah tak boleh jalan juga. Saya percaya pada hasil kerja. Kalau okey, ia akan diterima tak kiralah bila sekalipun waktu tayangannya. Keluar hari raya pun tak janjikan apa-apa kejayaan kalau orang tak hendak tengok filem kita. Saya tak mahu mengguris hati mana-mana pihak tapi banyak yang kita tengok filem tayang cuti sekolah pun tak boleh jalan juga. Sebab apa? Orang tak minat dengan cerita. Idea saya masa awal buat filem ini bukan kira soal untung rugi sangat. Cuma saya hendak keluarkan segala apa yang ada dalam kepala saya ni. Saya tahu fasal CGI, tahu komputer jadi saya hendak buat sesuatu.

Adakah Yusry bersetuju dengan pandangan filem popular tak semestinya filem yang baik?

Popular tu bonus sebenarnya. tapi kalau ada yang pandangan macam itu, mereka ada hak untuk fikir macam itu. Cicak-Man hasil terbaik saya setakat ini, itu pandangan saya. Tetapi kalau orang lain anggap lain, terpulanglah. Saya tak salahkan. Setiap orang ada pandangan sendiri. Kalau pada saya rasa madu, orang lain anggap macam racun, saya tak boleh cakap apalah. Filem ini bercakap sendiri. Kalau orang tak suka, tak kisah. Tapi kena adillah. Tengok dulu baru komen.

Cicak-Man juga dikatakan seperti memperbodoh-bodohkan penonton. Banyak adegan tak logik juga ditonjolkan, apa komen?

Agenda untuk memperbodohkan penonton tak pernah timbul. Macam saya kata, saya buat filem ini untuk puaskan hati dulu, apa di kepala saya terjemah ke filem. Saya suka bila orang enjoy. Kalau kata hendak perbodohkan juga, apa saya boleh buat. Itu pandangan masing-masing. Untuk saya, saya tahu sudah buat yang sehabis baik pada masa itu dan hasilnya saya tidak memalukan nama saya sendiri. Banyak orang suka, okeylah tu. Saya tak boleh puaskan orang lain. Buat dengan ikhlas. Buat atas dasar minat, prihatin dan cinta saya kepada genre ini.

Ini termasuk komen yang kurang baik daripada pihak media. Apa yang ingin Yusry jelaskan?

Komen pelbagai daripada media ini saya terima. Ada yang kata filem ini bakal menukarkan persepsi filem Melayu. Ada yang kata macam tu. Pada saya masing-masing berhak bersuara. Dan saya tak kecil hati kalau kata tak enjoy tengok filem saya. Tetapi saya buat dengan teliti. Orang tengok filem bergerak, tetapi saya tengok dari satu ke satu sudut. Perlahan-lahan. Ada yang komen kenapa di negara sejuk, badan Cicak-Man berpeluh? Kata saya tak teliti dalam soal konti. Sebenarnya memang babak Cicak-Man berpeluh tu kita sengaja buat, saya sendiri spray muka Apek dengan air. Biar nampak ada peluh. Memang tak logik orang berpeluh di negara sejuk, tetapi itu memang kita buat.

Apa rasionalnya?

Perubahan dari darah sejuk ke darah panas Cicak-Man. Jangan salah faham, itu saya buat dengan cukup rapi, bagi tahu mereka, adegan Cicak-Man berpeluh itu disengajakan, bukan saya tersasar.

Banyak adegan Cicakman juga tidak logik?

Saya sangat setuju. Memang ia filem yang tak logik di akal. Banyak watak superhero yang diadaptasi komik. Cicak-Man juga sama itu. Saya mahu orang tengok filem macam membaca buku. Tak ada sempadan pada kreativiti bila kita buat cerita komik ni. Kalau benda realiti, kreativiti terbatas. Manusia melekat di dinding mana ada logik? Memang hanya untuk hiburan – semata. Kalau hendak realiti tengoklah AF (Akademi Fantasia). Filem Hollywood, berapa banyak filem yang logik? Ada juga yang tanya saya kenapa baju Cicak-Man warna merah. Kenapa merah? Jawapannya, kenapa ada Spiderman warna biru dan merah? Itu tak tanya pula?

Berapa sasaran sebenar untuk filem ini?

Kami tak sasarkan dalam bentuk ringgit, tapi penonton. Hasrat saya lebih 500,000 orang akan tengok Cicak-Man. Awak bayangkan, saya buat kerja praproduksi lebih 9 bulan. Kalau tak sampai jumlah penonton seramai itu, saya memang akan kecewa sangat. Saya kerja keras semata-mata hendak orang tengok filem ini.

Selain mengarah, Yusry berlakon sama, tak percaya orang lain boleh bawa watak tu ke?

Masa cipta karakter lain, dalam kepala saya sudah nampak ada Aznil, Apek, Fasha dan AC. Tapi watak Danny tu tak ada sesiapa. Akhirnya saya sendiri ambil. Tapi tak jejas apa-apa sebab kerja praproduksi saya sudah buat awal lagi. Kita memang ikut story board, tak ubah apa-apa langsung. Lagipun senang sikit hendak buat promosi filem ni. Senang pergi sendiri saja kalau pelakon lain tak boleh pergi.

Selepas Cicak-Man, apakah Yusry akan kekal dengan filem genre ini?

Ikut cerita dalam kepala saya, banyak. Tetapi selepas Cicak-Man banyak tawaran saya dapat daripada penerbit lain supaya kami buat filem mereka. Baru pagi tadi, satu syarikat dari Thailand minta buat untuk filem mereka. Kalau saya dapat bajet besar untuk buat, saya akan buat lagi. Tapi kalau bajet kurang dari Cicak-Man ini, tak payahlah.

Apakah akan ada sambungannya, Cicak-Man II barangkali?

Kita tengok dulu kutipan seterusnya. Kalau kutipannya banyak, kita akan buat dengan lebih banyak. Setakat ini modal dah balik semula dah. Kita kena duduk dan fikir dulu apa lagi selepas ini. Buat filem bukan mudah. Ini kerja setahun, tapi orang tentukan dalam masa seminggu berjaya atau tidak. Macam pilihan raya juga. Pemimpin memerintah lima tahun, tetapi keputusan yang dibuat oleh rakyat ialah pada satu hari saja iaitu masa pilihan raya.

Dengarnya antara punca utama masalah rumah tangga Yusry juga angkara terlalu sibuk dengan Cicak-Man, apakah dengan kejayaan ini Yusry rasa semua itu berbaloi?

Saya buat dengan ikhlas. Bukan fasal wang ringgit, tapi memang ikhlas hendak uji diri sendiri. Tak adil orang hendak cakap macam itu. Sebelum shooting hari pertama Cicak-Man lagi, kami sudah tinggal asing, hubungan kami sudah goyah. Tapi kalau kata punca perceraian sebab kerja kami yang tak menentu, ada kemungkinannya. Maklum saja dua-dua sibuk macam tu jadinya. Jangan salahkan Cicak-Man sebagai punca perceraian kami.

Bukan kerana Yusry terlalu obses dengan Cicak-Man?

Saya terlalu obses dengan Cicak-Man, sampai terabai rumah tangga? (ketawa). Salah tu. Tak percaya tanyalah Erra, dia akan jawab benda yang sama. Sebenarnya Cicak-Man yang mewaraskan saya. Memang masa itu kami berhadapan dengan masalah yang serius, tetapi kerja untuk filem ini buat saya jadi kuat. Cicak-Man menyelamatkan saya dari jadi tak waras sebab masalah rumah tangga.

Maknanya Cicak-Man dilahirkan dalam keadaan pergolakan jiwa Yusry?

Masalah macam ini kita tak boleh cakap tak mengganggu. Apatah lagi masalah membabitkan rumah tangga, saya akui tertekan. Tetapi prihatin saya jadikan saya hendak menzahirkan benda ini dengan sebaik mungkin. Mental memang terganggu tetapi saya kena teruskan kerja. Cicak-Man dihasilkan pada masa saya tengah ‘teruk’. Trouble. Banyak yang terjadi dalam masa satu setengah tahun itu masa saya mahu menyiapkan filem ini. Masalah saya dan Erra, perceraian kami dan kemudian sampaikan kepada masa sekarang, kami berbaik semula atas dasar kawan. Antara masalah-masalah itu, Cicak-Man ada di tengahnya. Itu yang buat saya rasa saya seorang lelaki yang hebat, sekurang-kurangnya bagi diri saya sendiri. Yes!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.