saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/01/2007

Malaysia sokong kerajaan Hamas

KEMENTERIAN Luar Negeri merujuk kepada laporan bertajuk “Hamas-Fatah perlu berunding” yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada 24 Disember 2006. Beberapa fakta yang dibangkitkan oleh Profesor Dr. Mohammad Redzuan Othman semasa wawancaranya bersama wartawan Noor Azam Shairi adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan pembaca.

Semasa wawancara tersebut, Dr. Redzuan antaranya ada menyatakan bahawa: Kesilapan terbesar kita (merujuk kepada Malaysia) ialah kegagalan mengiktiraf dengan segera kerajaan Hamas ketika ia ditubuhkan.”

Ingin dimaklumkan bahawa kemenangan Hamas di dalam pilihan raya Majlis Perundangan Palestin (PLC) telah disambut baik oleh Malaysia, di mana Perdana Menteri dan Menteri Luar telah mengeluarkan kenyataan pada 27 Januari 2006 mengucapkan tahniah kepada Hamas ke atas kemenangan mereka yang mencerminkan kehendak dan kemahuan penduduk Palestin di dalam pilihan raya yang demokratik sebaik sahaja Hamas memenangi pilihan raya pada 25 Januari 2006.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri itu juga turut menggesa agar masyarakat antarabangsa menerima keputusan pilihan raya tersebut kerana kemenangan Hamas adalah gambaran sebenar hasrat dan kehendak rakyat Palestin.

Malaysia juga sentiasa konsisten dalam menyatakan pendirian berhubung sokongan kepada kerajaan Palestin yang diterajui oleh Hamas yang dipilih melalui proses demokrasi di mesyuarat-mesyuarat antarabangsa.

Pendirian ini telah dinyatakan dengan jelas oleh Malaysia sewaktu sesi debat umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-61 di New York pada 20 September 2006 yang menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati keputusan pilihan raya rakyat Palestin yang adil.

Pada masa yang sama, sokongan Malaysia ini sebelumnya telah ditekankan oleh Perdana Menteri ketika pertemuan dengan Presiden Bush pada 18 September 2006 di New York.

Menteri Luar Negeri turut memainkan peranan mendesak agar PBB dan masyarakat antarabangsa memberikan sokongan kepada kerajaan pilihan rakyat Palestin itu ketika Mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Peringkat Asia Berhubung Sokongan Ke Atas Hak Rakyat Palestin yang diadakan pada 15-17 Disember 2006 di Kuala Lumpur.

Dalam wawancara tersebut, Dr. Redzuan juga telah merujuk kepada kekeliruan kehadiran pemimpin Fatah dan Hamas semasa Mesyuarat Menteri- Menteri Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NM-CoB).

Kenyataan Dr. Redzuan bahawa Kementerian Luar Negeri menjemput Farouk Kaddoumi (Fatah) dan Mahmoud Zahar (Hamas) ke mesyuarat tersebut adalah tidak tepat. Ini adalah kerana Kementerian Luar Negeri memanjangkan jemputan kepada kerajaan Palestin ke mesyuarat tersebut, dan kerajaan Palestin bertanggungjawab menetapkan siapa yang akan mewakili mereka pada masa itu.

Kita perlu akur akan siapa jua yang diputuskan oleh pimpinan Palestin kerana senarai delegasi Palestin ke mesyuarat tersebut diterima melalui saluran rasmi kerajaan Palestin, iaitu kedutaan besarnya di Kuala Lumpur.

Malaysia tetap menerima kehadiran kedua-dua wakil Hamas dan Fatah yang telah hadir ke mesyuarat ini dan menyokong penglibatan kedua-duanya sebagai mewakili Palestin.

Kenyataan Dr. Redzuan bahawa Malaysia “mengkategorikan Hamas sebagai pertubuhan pengganas” juga merupakan kenyataan yang tidak tepat. Malaysia tidak pernah menganggap pertubuhan Hamas sebagai pertubuhan pengganas, tetapi Malaysia sentiasa merujuk kepada Hamas sebagai kumpulan pejuang Palestin.

Ia selaras dengan usaha berterusan Malaysia yang mahukan agar PBB dan masyarakat antarabangsa berusaha mencari takrif dan definisi “keganasan” yang boleh diterima secara global, di mana kita menekankan bahawa definisi keganasan atau terorisme tersebut perlu mengecualikan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan kebebasan tanah air mereka dari pendudukan dan penjajahan kuasa asing.

Isu berhubung konflik Israel-Palestin merupakan salah satu tonggak utama yang diperjuangkan Malaysia melalui dasar luar negara kita.

Kerajaan Malaysia sentiasa dan akan terus memberikan perhatian istimewa kepada isu Palestin.

Pucuk pimpinan negara juga sentiasa membangkitkan persoalan Palestin dan menegaskan kepentingan penyelesaian isu tersebut terhadap keamanan dunia. Pihak Palestin sendiri mengakui bahawa Malaysia merupakan negara yang sentiasa memberi sokongan padu kepada rakyat Palestin dengan menghulurkan pelbagai bantuan kewangan dan material; melibatkan diri secara aktif dalam semua perbincangan mengenai isu tersebut serta berusaha menggesa masyarakat antarabangsa mencari penyelesaian yang kekal.

- ZAINAL ABIDIN BAKAR ialah Setiausaha Bahagian Penerangan Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra, Putrajaya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.