saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 05/01/2007

Penamaan calon Batu Talam 16 Jan., mengundi 28 Jan.


AB. Rashid Ab. Rahman (kiri) menyerahkan writ pilihan raya kepada Abdul Kadir Awang Bakar sambil diperhatikan oleh Setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd. Noor (tengah) selepas mesyuarat penetapan tarikh untuk pilihan raya kawasan Batu Talam di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 4 Jan. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Januari ini sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam, Pahang dan pengundian akan berlangsung pada 28 Januari sekiranya terdapat pertandingan.

Pengerusi SPR Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, sebanyak 10,525 pemilih termasuk 14 pengundi pos layak mengundi berdasarkan daftar pemilih terakhir yang diwartakan pada 30 November tahun lalu dan diperakui semula hari ini.

Beliau berkata, writ dikeluarkan hari ini dengan disusuli oleh notis pilihan raya kecil pada Jumaat ini.

Serentak dengan itu beliau berkata, SPR telah melantik Pegawai Daerah Raub, Abdul Kadir Awang Bakar sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil N.06 itu.

‘‘SPR telah dimaklumkan secara rasmi tentang kekosongan kerusi Batu Talam oleh Speaker DUN Pahang semalam.

‘‘Dengan penetapan tarikh pengundian itu, setiap parti atau calon yang bertanding mempunyai masa selama 12 hari untuk berkempen, satu tempoh yang panjang, jadi jangan ada sesiapa yang merungut,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat penetapan tarikh pilihan raya kecil N.06 Batu Talam dan penyerahan writ kepada pegawai pengurus di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Tengku Paris Tengku Razlan daripada Barisan Nasional (BN) pada 27 Disember lalu kerana barah paru-paru dan usus.

Pada pilihan raya umum 2004, Tengku Paris menang selepas mendapat 5,414 undi menewaskan calon Pas Dr. Mohamed Nilam Abdul Manap yang meraih 2,653 undi. Tengku Paris memperoleh kelebihan undi 2,761 undi.

Ab. Rashid berkata, SPR menetapkan sebanyak 143 kakitangan akan bertugas dalam pilihan raya kecil berkenaan yang melibatkan 12 pusat mengundi dan 23 saluran mengundi.

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa keputusan pilihan raya kecil itu akan dapat diketahui dengan cepat dan paling lewat ialah pada pukul 10 malam hari tersebut.

Bagi mengurus pilihan raya kecil tersebut, beliau berkata, SPR telah menyediakan bajet sebanyak RM100,000 dan jumlah tersebut dianggap mencukupi memandangkan kawasan berkenaan tidak mempunyai masalah dari segi logistik.

‘‘Jalan raya baik, boleh dimasuki kenderaan tanpa kesukaran. Kita tak jangka apa-apa masalah dari segi pengurusan pilihan raya,” katanya.

Beliau menyatakan, SPR meletakkan sasaran jumlah turun mengundi akan meningkat kepada 80 peratus memandangkan ia berlangsung pada hari Ahad sekali gus membolehkan lebih ramai pengundi pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Dalam pada itu, kata beliau, SPR menubuhkan sebuah pasukan penguat kuasa bagi melakukan tugas pemantauan dan penguatkuasaan peraturan pilihan raya yang turut akan dianggotai oleh wakil-wakil parti yang bertanding.

SPR juga akan mengeluarkan kod etika yang dipersetujui parti-parti politik untuk diguna pakai oleh pihak yang bertanding bagi memastikan pilihan raya kecil itu berlangsung dengan teratur, katanya.

Beliau berkata, setiap calon dibenarkan berbelanja sehingga RM100,000 tetapi peraturan pilihan raya tidak memperuntukkan pasukan pemantau SPR meneliti bagaimana wang itu dibelanjakan.

Mengenai jumlah pemilih berdaftar yang didapati menurun berbanding pada pilihan raya umum lalu berjumlah 10,866 orang, Ab. Rashid berkata, ia disebabkan, SPR telah bertindak membersihkan senarai pemilih itu dengan memotong nama mereka yang telah meninggal dunia berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berhubung dakwaan mengenai wujudnya pengundi hantu yang sering kali timbul dalam pilihan raya, beliau menegaskan, setakat ini perkara itu tidak dapat dibuktikan.

‘‘Kalau ada kami pun nak tahu juga. Kita harap orang tak ganggu proses pilihan raya ini. Jangan pergi tahan bas, misalnya, kerana takut (ia membawa) pengundi hantu,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.