saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 14/01/2007

Kembali kepada kebenaran

Tulisan Prof. Rahman Shaari, Anjakan makna si Tanggang (Mingguan Malaysia, 24 September 2006) penting kerana sikapnya yang terbuka kepada kritikan, walaupun beliau menolak terdapat kekeliruan dalam pandangannya tentang sastera.

Saya mulai dengan yang positif. Kata beliau: “Perbahasan tentang si Tanggang elok dibuka luas kepada seluruh masyarakat yang mengambil berat akan sastera dan budaya.” Cadangan ini sangat baik dan perlu disambut positif oleh para sasterawan dan sarjana.

Apakah yang perlu kita bincangkan? Saya melihatnya dalam kekeliruan tentang konsep ilmu, iaitu apabila konsep ilmu yang benar tidak diterima oleh golongan “arus perdana” dalam sastera Melayu moden. Di sinilah mereka keliru, dan agak degil mempertahankan kekeliruan mereka walaupun hujah yang mereka kemukakan sangat lemah, malah tidak boleh dianggap hujah sama sekali.

Hanya tidak lebih daripada sejenis alasan yang dibungkus dalam istilah yang kelihatan “akademik”, padahal sangat ketara kekeliruannya bagi yang tahu menilainya dengan kritis.

Prof. Rahman Shaari, mungkin tanpa pilihan beliau yang disedari secara ilmiah (walaupun sudah meneliti sastera lebih 30 tahun), terbawa-bawa dalam kumpulan “arus perdana” yang keliru ini. Mari kita lihat bagaimana ini terjadi.

Kata Prof. Rahman Shaari dengan tegas: “Tanggang hanyalah watak fiksyen Melayu purba, jauh sekali untuk kita anggap wajib dikekalkan begitu. Tanggang bukanlah watak daripada kitab suci untuk dikekalkan sifat dan keperibadiannya.”

Di sinilah terjadi kekeliruan beliau yang saya maksudkan. Dalam budaya Melayu, Tanggang adalah lambang kepada anak derhaka kepada ibunya. Adakah makna ini tidak difahami lagi? Kalau kita pakai istilah “anjakan makna” Prof. Rahman Shaari, yang terjadi ialah makna derhaka itu sudah berubah dengan wujudnya Tanggang II yang bukan watak fiksyen, tapi wujud bersama kita sebagai penulis sajak termaklum.

Sekarang timbul masalah yang sangat besar. Adakah kita diwajibkan mentafsirkan sajak itu dalam konteks penulisnya? Tidak boleh, kerana menyentuh peribadi penulis, walaupun penulis sajak ini sangat menyanjung Derrida (dan lain-lain tokoh, terutamanya Roland Barthes) yang digesa supaya dicontohi di Malaysia.

Kedua-dua mereka telah mengisytiharkan pengarang sudah mati, oleh itu boleh ditafsir dengan kritis oleh pembaca, dan boleh menentukan maknanya. Jika saranan penulis sajak ini diterima oleh beliau sendiri, maka seorang pembaca yang kritis boleh saja mentafsirkan sajak itu berasaskan teksnya, bukan tujuan dan matlamat penulisnya.

Tetapi penulis sajak ini dan Prof. Rahman Shaari sendiri tidak menerima sebarang tafsiran yang tidak disenangi oleh penulis sajak atau orang-orang yang memuji penulis sajak. Buktinya, mereka tidak dapat menerima landasan berasaskan konsep ilmu yang benar, yang saya pakai jika saya ingin memahami sajak ini dan meletakkannya pada tempat yang layak dalam sastera Melayu moden.

Mengapa saya tidak boleh melakukan “anjakan makna”, padahal penulis sajak ini diberi kebebasan begitu luas untuk melakukannya? Pertanyaan ini hanya dapat dijawab jika orang tidak keliru tentang konsep ilmu dan menerima pandangan lain yang bertentangan dengannya. Bila terjadi perselisihan dan perbezaan pendapat dalam soal sepenting ini, kita gunakan ukuran yang berteraskan ilmu untuk menentukannya, bukan perasaan peribadi berasaskan hawa nafsu.

Cabaran

Sasterawan “arus perdana” tidak boleh menerima cabaran ilmiah ini, oleh itu mereka memaksakan pandangan mereka yang keliru. Sebenarnya, apakah “makna” anjakan makna itu? Adakah sama dengan perubahan makna? Khusus dalam konteks Tanggang ini, makna “derhaka” tidak berubah. Yang berubah ialah konteks, tafsiran, dan sikap terhadap konsep “derhaka”.

Tiga aspek itulah yang menerima anjakan. Sebagai contoh: Selepas terjadi krisis Perlembagaan di Malaysia, sultan dan raja-raja Melayu boleh “diderhakai” dalam konteks tertentu, khususnya dalam konteks politik dan perundangan. Nampaknya inilah pendirian Prof. Rahman Shaari, bila beliau memberitahu “memarahi” bermaksud “merajuk”.

Adakah ini anjakan makna? Saya kira tidak, sebab jelas sekali yang terjadi ialah hanya sejenis tafsiran. Dalam konteks ini, tafsiran siapa yang benar dan tafsiran siapa pula yang salah, akan ditentukan oleh konsep ilmu yang dipakainya. Kita tidak boleh lari daripada aspek epistemologi ini.

Oleh itu, sesiapa juga yang tidak beres konsep ilmunya, akan terus keliru dan mungkin juga boleh menyesatkan dirinya sendiri dan orang lain yang terpengaruh dengannya, terutama sekali jika orang itu menjadi guru atau menjalankan tugas seperti guru.

Supaya masalah “anjakan makna” boleh difahami (yang sebenarnya sangat kabur dan tidak jelas asas epistemologinya), kita lihat contoh ini. Selepas wafatnya Nabi Isa, agama Kristian diwujudkan oleh para paderi; dan konsep tauhid yang dibawa Nabi Isa ditukar menjadi Trinity. Adakah ini maksud “anjakan makna” Prof. Rahman Shaari?

Dalam epistemologi Islam, Nabi Isa membawa faham tauhid, bukan Trinity. Contoh ini memberitahu kita bahawa tidak perlu diadakan “anjakan makna” dalam banyak konsep yang menjadi teras ajaran Islam. Oleh itu konsep “anjakan makna” hanya mengelirukan perkara yang sudah jelas dan established.

Dalam konteks Tanggang ini pun demikian juga, kerana makna derhaka kepada ibu itu sudah jelas, tidak perlu dikelirukan lagi dengan mengemukakan Tanggang Baru untuk mengelirukan budak-budak sekolah dan guru-guru mereka yang cetek ilmunya. Di sini pun konsep anjakan makna itu tidak boleh dipakai, kecuali untuk mengelirukan perkara yang sudah jelas.

Bukti kekeliruan itu ialah pemilihan tokoh Tanggang yang ingin dicontohi. Kata Prof. Rahman Shaari, penulis sajak kagum dengan “kehebatan watak itu mencari rezeki dan kekayaan.” Ini hanyalah satu tafsiran yang dipilih oleh penulis sajak, daripada sekian banyak tafsiran pembaca lain atau penutur cerita lisan itu.

Adakah pemilihan watak itu dan tafsirannya sesuatu yang terbaik, atau hanya pilihan peribadi yang tidak cocok dengan nilai-nilai budaya Melayu yang kononnya dipegang oleh penulis? Hakikat bahawa penulis tersilap pilih dibuktikan daripada kekeliruan yang berpanjangan yang tercetus daripada pilihan yang tidak bijak itu.

Lebih tidak bijaksana apabila ungkapan “aku sudah belajar/jadi kurang ajar” dipertahankan oleh Prof. Rahman Shaari untuk kononnya “perlu dipelajari dengan sikap, pandangan dan penemuan baru”. Kesimpulan ini sangat penting, perlu dijelaskan, tidak boleh dibiarkan tergantung begitu saja. Mengapa kita perlu belajar jadi kurang ajar? Tentulah sangat aneh dan tidak masuk akal apabila nasihat ini datangnya daripada bekas guru dan profesor terkenal pula, baik penulis sajak mahupun pengulasnya.

Ditolak

Pendeknya, Prof. Rahman Shaari tidak menjelaskan apa-apa dalam tulisannya, kecuali hanya membuat andaian yang tidak dihuraikan dan tidak dibuktikan. Beliau lebih mengelirukan lagi dalam percubaannya membuat penjelasan itu. Gambaran beliau adalah gambaran yang berlaku dalam sastera Barat, yang menerima kejahatan sebagai salah satu tema agung.

Kalau itulah maksud Prof. Rahman Shaari dengan anjakan makna, maka malang sekalilah sastera Melayu moden. Oleh itu harus ditolak dengan tegas. Jika faham Prof. Rahman Shaari diterima, kita akan melahirkan beratus-ratus Salman Rushdie dalam sastera Melayu. Mungkin pengalaman berbentuk jenaka intelektual yang terjadi dalam kongres bahasa 1956 di Johor Bahru boleh dijadikan iktibar. Dalam kongres itu, wakil dari Indonesia yang pekat pengaruh Jawanya, menggunakan perkataan “butuh” untuk maksud “perlu”, yang menggelisahkan wakil-wakil Malaysia, terutama wakil-wakil wanita.

Prof. Amin Singgih dan Prof. Prijono, ketika diberitahu “anjakan makna” belum terjadi di Malaysia (ketika itu Malaya), tersipu-sipu meminta maaf. Walaupun “butuh” memang “perlu”, tetapi tempatnya bukan di kongres bahasa. Dalam konteks ini, kekeliruan dan kejahilan (daripada dua orang profesor terkenal, tentang bahasa pula) memahami konteks sosial dan bahasa yang asing bagi mereka membuat mereka sangat lucu walaupun yang mereka sebut itu betul. Ada contoh lain?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.