saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/01/2007

Boikot: Isyarat kepada SPR


Nasharuddin Mat Isa.


TIMBALAN Presiden Pas, Nasharuddin Md. Isa pada sidang akhbar di pejabat Harakah, Jalan Pahang, Rabu lalu terdiam sejenak ketika ditanya pemberita apakah tindakan Pas memulau pilihan raya kecil Batu Talam yang dijadual 28 Januari ini suatu langkah bijak?

Beliau terdiam beberapa minit sebelum disampuk oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali bahawa keputusan yang diambil Pas dan Keadilan itu ada ‘bijaknya’ dalam usaha menyedarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai apa yang didakwa mereka ‘wujud kepincangan dalam sistem pilihan raya’ negara ini.

Ketika ada pihak menganggap pilihan raya kecil Batu Talam ini platform dan masa terbaik menguji sokongan rakyat kepada mereka (Pas dan PKR) dan di kala umum sibuk memperkatakan pilihan raya umum ke-12 dalam waktu terdekat, pendirian boikot oleh Pas ini jelas amat membingungkan.

Umum maklum jika Pas menyertai pilihan raya Batu Talam nanti, ia adalah percubaan ketiga Pas untuk menundukkan BN dalam siri pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum Mac 2004.

Pas tewas di tangan BN di Kuala Berang, Terengganu (Ogos 2004) dan Pengkalan Pasir, Disember 2005. Satu lagi pilihan raya kecil di Ba’Kelalan, Sarawak pada September 2004 menyaksikan kegagalan calon bebas kepada parti pemerintah.

Jelas – pendirian Pas dan PKR dalam pilihan raya kecil Batu Talam mengelirukan. Ada andaian menyatakan Pas khuatir bertanding kerana Batu Talam kubu kuat BN. Di pihak SPR pula, badan itu menolak sama sekali dakwaan daftar pemilih yang digunakan bagi pilihan raya kecil itu nanti dicemari pengundi hantu.

Menurut jurucakap badan itu, dakwaan berkenaan tidak sepatutnya tidak timbul kerana semua pihak telah diberi peluang untuk mengemukakan bantahan semasa urusan proses pendaftaran pemilih sebelum ini.

Katanya, sekalipun ada nama serupa dalam daftar pemilih, ia tidak bermakna berlaku ‘nama berganda atau berulang’.

‘‘Ada orang mempunyai nama yang sama tetapi nombor kad pengenalannya berbeza.

‘‘Jika ada pemilih yang telah meninggal dunia, kita akan mengeluarkannya dari senarai setelah semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

‘‘SPR juga tidak mempunyai kuasa untuk memindahkan pemilih ke bahagian tertentu melainkan ia dibuat oleh pemilih sendiri,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia kelmarin.

Pada sidang akhbar Rabu lalu yang dihadiri media tempatan dan agensi asing, Nasharuddin menjawab soalan-soalan berhubung pemboikotan Pas itu.

Mengapa tiba-tiba sahaja Pas mahu memulaukan pilihan raya kecil Batu Talam?

NASHARUDDIN: Tindakan ini bertujuan mendedahkan kepincangan yang berlaku selama ini dalam proses pilihan raya dan SPR.

Mengapa pembangkang tidak menjadikan pilihan raya kecil ini sebagai platform untuk membawa isu kepincangan sistem pilihan raya. Mengapa perlu diboikot pula?

NASHARUDDIN: Tujuan kita berbuat demikian adalah untuk memberi satu isyarat kepada SPR bahawa kita serius tentang perkara ini. Sebelum ini kita pernah mengadakan perjumpaan dengan SPR dan pelbagai bentuk cadangan telah disampaikan tetapi SPR tidak memberi respons. Oleh itu kami merasakan langkah memboikot pilihan raya kecil Batu Talam cara terbaik untuk mendapatkan respons daripada SPR.

Ada pihak berpendapat tindakan memboikot ini disebabkan Pas sebenarnya tidak ada peluang untuk memenangi pilihan raya kecil ini, Pas takut menghadapinya?

NASHARUDDIN: Kalau hendak kata takut untuk bertanding, Pas pernah bertanding di Sarawak dan Pas pernah bertanding di Sabah termasuk Johor iaitu negeri paling kuat pengaruh UMNO.

Kita hilang wang pertaruhan tetapi kita terus melibatkan diri dalam pilihan raya. Ini bukan masalah takut atau tidak tetapi tujuannya adalah untuk kita menghantar satu ‘strong signal’ kepada SPR bahawa Pas serta pembangkang serius.

Adakah pembangkang akan membatalkan boikot ini jika tuntutan yang dibuat kepada SPR dipenuhi?

NASHARUDDIN: Perkara yang kita tuntut ini banyak dan kita tidak nampak SPR akan memenuhi setiap tuntutan tersebut.

Ekoran pendirian memboikot ini, ada kemungkinan muncul calon bebas tampil untuk bertanding.

NASHARUDDIN: Itu kita tidak tahu tetapi bagi pihak Barisan Alternatif (BA) (pakatan pembangkang disertai Pas) kita tidak letak calon. Kalau orang lain meletakkan calon itu hak mereka dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Sekiranya terdapat calon bebas bertanding pada pilihan raya kecil itu, adakah Pas akan membantu calon tersebut?

NASHARUDDIN: Kita tetap memboikot pilihan raya ini dan jika ada calon bebas hendak bertanding itu hak mereka.

Tujuan boikot ini adalah untuk memberi mesej kepada SPR mengenai kepincangan yang berlaku. Bagaimana pula dengan pilihan raya umum akan datang?

NASHARUDDIN: Kita tunggu tarikhnya nanti bila ia diumumkan dan sehingga tarikh itu sebagaimana disebutkan tadi kita telah mengatur program untuk mendesak supaya reformasi kepada pentadbiran dan pengurusan pilihan raya dibuat.

Pada pilihan raya umum 1999, Pas berjaya menawan Kelantan, Terengganu dan hampir menawan Kedah. Sistem pilihan raya yang sama digunakan SPR. Persoalannya, mengapa sekarang perkara ini ditimbulkan?

NASHARUDDIN: Kalau dilihat kepada apa yang berlaku pada tahun 2004, ia tidak sama dengan 1999. Pertamanya apa yang kami adu kepada SPR ialah mengenai persempadanan semula pada pilihan raya umum 2004. Pada pilihan raya itu, kita lihat bagaimana persempadanan semula ini dengan beberapa permintaan yang kita minta, contohnya kita minta tambahan kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan kerana komposisi-komposisi penduduk dan sebagainya. ia tidak dilayan.

Jadi, kenapa pembangkang tidak mahu terus sekali umumkan pendirian untuk memboikot pilihan raya umum?

NASHARUDDIN: Kita beri SPR tempoh masa untuk memperbaiki ‘kepincangan’ yang wujud. Maknanya, kami dalam perancangan untuk menghantar cadangan-cadangan baru kepada SPR untuk mereka beri respons. Dan setidak-tidaknya sebelum pilihan raya umum akan datang, akan berlaku perubahan.

Ramai menganggap pilihan raya kecil Batu Talam ini peluang kepada Pas untuk mengemukakan pelbagai isu yang mungkin menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai seperti kenaikan harga minyak dan tol. Bukankah ini peluang terbaik Pas?

NASHARUDDIN: Tidak semestinya ia dilakukan dalam (kempen) pilihan raya, kita juga boleh cuba buat demonstrasi.

Barangkali dalam keadaan sekarang, mungkin jumlah pengundi untuk menyokong pembangkang akan meningkat?

NASHARUDDIN: Kita tidak menolak kemungkinan pembangkang boleh menang kawasan ini (Batu Talam) tetapi isunya sekarang, SPR berada dalam satu kedudukan yang perlu diperbaiki. Sebab itu kita gunakan kaedah ini.

Adakah ini kali pertama Pas boikot pilihan raya?

NASHARUDDIN: Ini bukan kali pertama. Pas pernah melakukannya pada sekitar tahun 1960-an dan 70- an.

Apa pun pendirian dan alasan Pas dan PKR berhubung pemboikotan pilihan raya kecil Batu Talam, kemungkinan ada sebab lain yang mungkin tersirat tidak boleh ditolak termasuk kekuatan BN yang sukar digugat di situ.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.