saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/01/2007

Ubah mekanisme beri bantuan

BENCANA banjir yang melanda negara terutamanya di Johor dilabel sebagai yang paling buruk dalam abad ini. Jauh dari lensa kamera, komuniti asli di Endau Rompin serta masyarakat Kayan dan Penan di Ulu Baram, Sarawak sebenarnya turut mengalami tragedi yang sama.

Negara kita yang secara umumnya lebih bernasib baik daripada negara-negara jiran, kini dilanda musibah banjir serta ribut taufan.

Kami di Mercy Malaysia, berasa terpanggil apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil merayu kepada rakyat Malaysia supaya mengambil ‘kampung angkat’ bagi membantu mangsa banjir di daerah-daerah yang ditenggelami air di Johor.

Maka secara tidak langsung Mercy Malaysia telah memikul tanggungjawab untuk memelihara kebajikan sebilangan rakyat Malaysia di bahu kami.

Sebagai seorang pekerja kemanusiaan, saya berasa agak ‘bertuah’ kerana berpeluang menjalankan kerja-kerja pengurusan bencana pada skala yang besar di dalam dan luar negara. Saya yakin dengan kerjasama yang utuh, kita dapat mengharungi segala jenis rintangan dan kesukaran. Setiap kejadian bencana sebenarnya mengajar kita banyak nilai-nilai yang positif. Kita cuma perlu belajar daripada malapetaka yang telah melanda negara-negara jiran dan kita perlu mengkajinya secara lebih mendalam.

Perkara utama yang dipelajari daripada bencana-bencana yang lepas adalah kepentingan penilaian yang cukup dan tepat serta keperluan mekanisme penyelarasan. Malaysia sangat bertuah kerana mempunyai protokol MKN 20 yang memastikan keselamatan ketika berlakunya bencana, namun dokumen-dokumen serta garis panduan ini perlulah selalu disemak dan diulang kaji bagi memastikan ia sentiasa dikemas kini.

Sejak lima tahun yang lalu, kita telah menyaksikan lebih banyak penglibatan dari sektor korporat dan awam di dalam bantuan bencana. Malah bukan sesuatu yang luar biasa bagi sesebuah parti politik untuk mempunyai satu badan kemanusiaan. Ini adalah satu perkembangan yang sihat, namun kerja-kerja kemanusiaan yang dijalankan perlulah diselaraskan berdasarkan kepada satu piawaian yang tertentu.

Mercy Malaysia telah berada di Johor dan Melaka sejak kejadian banjir mula berlaku. Berpangkalan di Muar, Mercy Malaysia telah bekerja pada cuti Hari Natal serta tahun baru 2007. Sepanjang berada di Johor, saya berasa lebih banyak boleh dilakukan sekiranya mekanisme penyelarasan diperbaiki dan perkongsian penilaian di kalangan badan-badan yang terlibat diadakan. Pengurusan informasi adalah kurang memuaskan justeru sebilangan perbincangan dan keputusan dibuat tanpa kehadiran wakil dari sesetengah pihak.

Sebagai contoh, di dalam pengurusan bencana di luar negara, mesyuarat penyelarasan dijalankan pada jadual yang tetap yang melibatkan badan-badan bukan kerajaan, Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, kumpulan masyarakat awam, ketua-ketua komuniti serta agensi kerajaan. Maklumat dikongsi secara terbuka serta keperluan dan bantahan disuarakan.

Melalui perkongsian ini, pertindihan bantuan dapat dielakkan. Apa yang paling penting adalah ia dapat memastikan tiada kawasan yang terabai dari menerima bantuan kemanusiaan.

Pengurusan informasi yang optimum dapat menjamin keperluan diutarakan serta rancangan bantuan diatur dengan rapi. Ia juga mewujudkan satu sistem yang telus dan berintegriti yang memberi manfaat kepada pelaksana, penderma serta penerima bantuan.

Dengan proses ‘pengambilan kampung angkat’ yang disarankan oleh kerajaan, Mercy Malaysia berharap agar pihak berkuasa dapat mewujudkan satu garis panduan bagi menentukan ‘piawaian’ serta keselarasan bantuan yang dihulurkan.

Ini dapat memastikan Kampung A menerima bantuan pemulihan dan pembinaan semula yang sama seperti yang diperoleh oleh Kampung B, C dan D, walaupun kemampuan ‘agensi angkat’ adalah berlainan.

Kesilapan yang paling besar berlaku sewaktu kejadian tsunami di Aceh. Pada ketika itu, tiada strategi penyelarasan dibuat yang telah mengakibatkan pembaziran bantuan serta pembangunan semula yang tidak mematuhi keperluan minimum. Ketidakkeberkesanan ini akhirnya telah mewujudkan konflik di kalangan komuniti penerima.

Beberapa mekanisme boleh digunakan dalam membentuk piawai bantuan kemanusiaan. Di antaranya ialah Sphere Standard yang menjelaskan penentu keperluan minimum mangsa bencana. Piawaian ini boleh dijadikan panduan kepada agensi- agensi kemanusiaan di dalam pelbagai sektor termasuk kesihatan, nutrisi, air, kebersihan serta tempat tinggal.

Sphere Standard bukanlah satu-satunya garisan panduan yang ada, namun ia boleh diselaraskan mengikut keperluan dan sensitiviti masyarakat setempat. Piawaian ini telah dikenal pasti sebagai antara yang terbaik dan diamalkan oleh lebih 60 agensi kemanusiaan sejak 10 tahun yang lalu.

Selain daripada itu, terdapat juga kaedah-kaedah penilaian lain yang dibentuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah serta badan-badan bukan kerajaan.

Kita perlu memanfaatkan piawaian-piawaian ini dan membina satu set protokol yang boleh diguna pakai di negara kita.

Saya berasa bangga dengan insentif kerajaan dalam melibatkan sektor korporat, dermawan dan kumpulan awam di dalam proses pemulihan.

- DATUK DR. JEMILAH MAHMOOD ialah Presiden Mercy Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.