saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 19/01/2007

Terlalu Istimewa apa misi Adibah Noor?


ADIBAH Noor memerhatikan guru vokal, Fadlita Mohd. Taib memberi tunjuk ajar kepada kumpulan koir kanak-kanak yang akan mengiringi persembahannya di pentas AJL21, di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad ini.


PERJALANAN seni insan yang bernama Adibah Noor bukanlah semudah kebanyakan artis zaman sekarang ini. Selama hampir 13 tahun dalam dunia seni, terlalu banyak ranjau berduri yang ditempuhinya. Tidak mudah untuknya memastikan bakatnya dipandang masyarakat.

Meskipun memegang gelaran juara sebuah pertandingan nyanyian anjuran RTM awal tahun 1990-an dahulu, namun itu bukanlah tiket untuknya merakamkan album. Terlalu banyak kerenah birokrasi yang terpaksa dihadapinya hanya kerana dia tiada rupa dan tidak dikurniakan tubuh badan yang `menarik’.

Namun, dia tidak mempedulikan itu semua kerana dia tahu dia mampu melakukannya jika dia terus berusaha. Dengan berbekalkan modal sebanyak RM100,000, dia menerbitkan album sendiri pada tahun 2005, berjudul Terlalu Istimewa.

Siapa sangka, berkat kesabaran dan kesungguhan penyanyi bersuara mantap ini membuahkan hasil apabila lagu Terlalu Istimewa, ciptaan komposer handalan, Azlan Abu Hassan dan lirik Adibah sendiri berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-21 (AJL21) bagi kategori Balada yang akan berlangsung Ahad ini.

“Saya amat bersyukur kerana lagu ini berjaya ke peringkat akhir. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gementarnya saya sewaktu menyanyikan lagu ini di peringkat separuh akhir dulu. Jujurnya, waktu itu debarannya lebih kuat berbanding untuk beraksi pada malam akhir nanti,” cerita penyanyi ‘comel’ ini dalam satu pertemuan sewaktu raptai AJL di Hotel Istana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persoalannya mampukah Terlalu Istimewa membawa pulang anugerah utama Juara Lagu?

Sambil menghela nafas, kata Adibah: “Saya memang mengharapkan lagu Terlalu Istimewa membawa tuah kepada saya pada malam itu nanti. Bukan untuk membangga diri tetapi saya mahu menyempurnakan misi saya; membuktikan dan menyedarkan mereka yang pernah memperlekehkan saya. Saya ingin katakan, bahawa Adibah Noor mampu ‘hidup’ dalam industri muzik negara,” katanya penuh yakin.

Mampukah Terlalu Istimewa memikat juri?

“Lagu ini sebenarnya sebuah lagu yang ringkas tetapi dalam masa yang sama, ia mampu memberi kesan kepada pendengar.

“Pernah pada satu persembahan tertutup, sekumpulan penyanyi dari Australia menyifatkan lagu Terlalu Istimewa mempunyai keunikan tersendiri yang berbeza daripada lagu-lagu Melayu lain selepas mendengar saya mempersembahkannya.

“Saya sendiri pun menitiskan air mata pertama kali mendengar melodi yang dibuat oleh Azlan Abu Hassan. Sebab itu saya terus menerimanya. Liriknya pula, diilhamkan daripada kisah yang berlaku pada Allahyarham Nurul Huda Abdul Ghani yang mati dirogol dan dibunuh dengan kejam pada awal Januari 2004,” ceritanya.

Namun pun begitu, katanya, Terlalu Istimewa ditujukan kepada semua kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa rogol dan bunuh oleh insan yang tidak berhati perut.

“Saya bersyukur dan berterima kasih jika orang meramalkan Terlalu Istimewa akan menang. Namun, bagi saya, lagu Mungkir Bahagia ciptaan Hazami pun mampu memberikan kejutan kerana lagunya yang cukup kuat. Saya percaya Hazami mampu melakukan sesuatu yang luar biasa seperti mana dia melakukannya menerusi lagu Kata pada AJL tahun lepas,” katanya yang memperkatakan tentang saingan hebatnya bagi kategori Balada.

Selain kategori Balada, Adibah juga akan beraksi bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif menerusi lagu Zapin Cinta SMS bersama kumpulan Senario.

Terlalu Istimewa akan dipersembahkan di pentas AJL21 di Stadium Putra, Bukit Jalil secara sederhana namun mampu untuk membangkitkan emosi penonton. Begitu azam Adibah.

“Persembahan saya akan diiringi 17 kanak-kanak perempuan dari Koir Little Marguerites dari Persatuan Murid-Murid Lama dan Bekas Guru Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (2). Untuk memperindahkan lagi susunan muziknya, saya serahkan kepada kebijaksanaan Jenny Chin. Hasilnya nanti, semua kena tunggu malam akhir nanti,” ujarnya tersenyum lebar.

Komposer lagu Terlalu Istimewa, Azlan Abu Hassan ketika dihubungi berkata, dia tidak mahu terlalu mengharap daripada AJL.

“Ini kali keenam lagu saya terpilih ke peringkat akhir AJL. Saya sifatkan AJL ini umpama lucky draw. Semuanya adalah tuah. Namun, saya percaya dan optimis dengan persembahan bertenaga Adibah Noor yang mampu membawa satu keajaiban pada malam itu nanti,” ujar adik kepada komposer terkenal, Adnan Abu Hassan ini.

Bagaimanapun, kata Azlan lagu ciptaan Zul Mahat iaitu Secebis Harapan nyanyian Nora mempunyai keunikan sendiri yang mampu membangkitkan aura di Stadium Putra nanti.

Info menarik

*Ketika mempersembahkan lagu Terlalu Istimewa, busana Adibah Noor dan 17 orang kanak-kanak perempuan yang mengiringinya akan ditaja oleh Calvin Thoo.

*Seorang guru vokal profesional iaitu Fadlita Mohd. Taib dari Dellynn Studio of Music telah diupah oleh Adibah Noor untuk melatih vokal kanak-kanak tersebut.

*Sepanjang 21 tahun AJL diadakan, sebanyak enam buah lagu ciptaan Azlan Abu Hassan telah berjaya ke peringkat akhir. Ada lagunya yang pernah menang Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) namun gagal di pentas AJL. Lagu-lagunya yang pernah beraksi di peringkat akhir AJL adalah: Satu Cinta Dua Jiwa dinyanyikan Datuk Siti Nurhaliza (1999), Menyemai Cinta Bersamamu - Nora (2001), Keabadian Cinta - Anuar Zain (2003), Hanya Di Mata - Erra Fazira (2003), Elegi Sepi - Azharina Azhar (2006) dan Terlalu Istimewa - Adibah Noor (2007).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.