saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 25/01/2007

Muneer anggap diri kembali Muslim


MUNEER A. Rasheed bersemangat memberi ceramah di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor Ahad lalu.


PENGARAH Urusan, Asia Source Consulting Sdn. Bhd, Muneer A. Rasheed, 50, dilahirkan di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat. Anak ketiga daripada lima adik-beradik ini memeluk Islam kira-kira 10 tahun lalu iaitu pada 1997 di Taiwan.

Pertemuan yang diatur di sebuah coffee house berhampiran kediamannya yang terletak di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini membongkar latar belakang dan kisah penghijrahan akidah beliau.

Ikuti temu bual wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurugambar RASHID MAHFOF bersama beliau yang kini sudah menetap di Malaysia. Sungguhpun sibuk dengan urusan syarikat, beliau tetap menerima jemputan mana-mana pihak untuk berkongsi sekali gus berdakwah.

SEJARAH saya mendekati agama bermula pada 1961 apabila kami sekeluarga buat pertama kalinya menghadiri kelas Katolik di kawasan kediaman. Pada masa itu, perkhidmatan dakwah agama Katolik dikendalikan dalam bahasa Latin. Jadi kami tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh paderi dalam kelas tersebut.

Ia bertahan kira-kira dua tahun, kemudian ibu membuat keputusan tidak mahu lagi ke gereja Katolik kerana dua sebab. Pertama, kerana masalah bahasa dan kedua, terpaksa melakukan pengakuan di atas dosa dan kesalahan yang dilakukan.

Sejak itu, ibu memberi kebebasan kepada kami lima beradik, sama ada meneruskannya atau mencari haluan kepercayaan sendiri. Lantaran itu, beberapa tahun kami tidak mempraktikkan mana-mana pegangan agama.

Hinggalah pada 1975, yang mana pada masa itu saya menggelarkan diri ‘dilahirkan semula Kristian’. Kumpulan kami ini bergerak menyampaikan dakyah agama Kristian terutamanya di institusi-institusi pendidikan. Saya bergiat aktif sebelum berhijrah ke Taiwan pada 1987. Pada masa itu, tujuan saya ke sana ialah untuk mempelajari bidang bahasa terutamanya bahasa Cina.

Selepas tiga bulan, saya kembali ke Amerika Syarikat (AS) namun setahun kemudian saya kembali semula ke Taiwan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran. Sejak itu, saya menetap di sana selama 18 tahun.

Sepanjang tempoh itulah saya terlibat dengan kerja-kerja mubaligh di samping melakukan tugas hakiki iaitu perunding cara. Saya mengajar Injil dan ada ketikanya menyampaikan ceramah.

Namun pada 1996, berlaku satu perubahan besar dalam diari kehidupan saya. Apa yang berlaku, semasa saya sedang mentelaah kitab Injil, terpacul satu persoalan di minda tentang memakan daging babi.

Saya mula tertanya adakah Nabi Isa makan babi atau tidak? Jadi saya mula mencarinya di dalam kitab Injil dan diperkukuhkan dalam Old Testiment di mana Allah mengharamkan pemakanan daging itu. Sejak itu, saya tidak lagi ‘menyentuh’nya. Perubahan saya ini mengejutkan ramai pihak terutamanya ahli gereja.

Pada masa yang sama timbul persoalan tentang konsep Triniti. Sekali lagi, saya berusaha untuk mencari kebenaran dan kesahihannya. Melalui Old Testament dan New Testament, akhirnya saya menyedari bahawa apa yang dilakukan selama ini hanyalah mengulangi semula maklumat yang diterima dari dulu hingga sekarang daripada orang yang mahukan konsep sedemikian. Sejak itu saya tidak lagi bercakap tentangnya.

Saya mulai mencari ketelusan perihal dosa semula jadi di mana di dalam kitab Injil menyebutkan bahawa setiap manusia dilahirkan dalam dosa. Penyelidikan saya membawa kepada kebenaran yang begitu mengejutkan. Hakikatnya setiap individu itu bertanggungjawab ke atas diri masing-masing.

Timbul pula dilema kerana saya masih terlibat secara aktif dengan kerja-kerja di gereja sedangkan keimaman saya kepada agama tersebut mula goyah. Jauh di sudut hati, ada sesuatu di dalam agama Islam yang mula menarik perhatian saya.

Pada 1997, saya menziarahi seorang teman di Taiwan. Dia mempunyai rakaman video yang satu daripadanya mewakili Elijah Muhammad, Ketua The Nation of Islam di Amerika Syarikat. Pada awalnya saya tidak berminat kerana terlalu banyak perkara negatif tentang umat Islam Amerika yang didengari.

Saya mula tertanya di dalam diri, mengapa perlu takut? Saya memberanikan diri mendengar dan menonton video itu sehingga tamat. Akhirnya, saya mula mengakui setiap butiran yang diperkatakan.

Mulai dari situ, semangat saya untuk mendalami Islam berkobar-kobar. Kebetulan dalam satu urusan perniagaan di AS, saya berkenalan dengan seorang anggota The Nation of Islam, yang menguasai kitab Injil dan al-Quran bernama Terry Mohammad. Perkenalan itu berlarutan tanpa mengira batasan masa, tempat dan medium. Menariknya Terry tidak pernah memaksa saya untuk menerima ataupun memeluk Islam.

Saya ke AS sekali lagi dan perasaan saya terhadap Islam terlalu kuat. Saya menghubungi Terry dan mempelawanya bersarapan bersama. Belum pun sempat meluahkan hasrat untuk memeluk Islam, Terry lebih dahulu mengetahuinya kerana melihat keghairahan saya tentang Islam.

Ketika di Taiwan, saya akan berlari ke masjid selepas menghadiri khidmat di gereja. Pada masa itu, topik kami tertumpu kepada soal akidah Islam, praktikal solat, wuduk dan bermacam-macam perkara dengan Imam Ishak.

Kesungguhan Imam Ishak melayan segala pertanyaan dan permintaan saya jelas terpancar di wajahnya. Ini kerana beliau seronok melihat satu-satunya orang Kristian yang berminat dengan Islam apatah lagi saya seorang Amerika di masjid Taiwan. Ditambah pula dengan kepetahan saya berbahasa Mandarin. Akhirnya saya mengucap dua kalimah syahadah.

Sungguhpun telah bergelar muslim, saya masih meneruskan aktiviti di gereja tapi yang pasti, lidah saya kelu untuk menyanyikan lagu-lagu yang menjadi kebiasaan bagi pengikut Kristian.

Semakin lama, saya tidak mampu lagi menyembunyikan pengislaman diri, lalu saya membuat pengakuan kepada seorang teman baik bahawa saya telah memeluk Islam. Dia terkejut besar.

Saya akui semenjak itu, orang yang rapat sebelum ini dengan saya, sudah mula menjauhkan diri. Tidak kurang juga yang datang bertemu dan bertanyakan keadaan saya kerana mereka lihat perubahan mendadak saya terutamanya dalam menyampaikan dakwah.

Akhirnya saya sedar, tukul itu boleh berfungsi dua hala. Ia boleh memusnahkan atau membinasakan sesuatu. Lantaran itu, nasihat saya agar maklumat yang dimiliki umat Islam jangan disalahgunakan tetapi gunakanlah ia secara membina untuk membantu mereka memahami kebenaran Islam. Insya-Allah.

Kesan daripada perubahan ketara itu, ketua paderi di situ menyuruh saya agar tidak kembali semula ke gereja.

Memandangkan latar belakang saya yang jauh berbeza dengan penduduk setempat serta fasih berbahasa Mandarin, maka saya diundang beberapa masjid dan pertubuhan di Taiwan untuk berkongsi pengalaman pengislaman.

Perhubungan baik dengan Elijah Muhammad dan Zair Muhammad menambah gambaran yang jelas tentang Islam di AS dan ibadat-ibadat bagi seorang Muslim. Di samping itu baru saya tersedar, sejarah membuktikan nenek moyang kami dahulunya adalah beragama Islam tetapi disebabkan perhambaan, latar belakang agama Islam yang dianuti sebelum itu hilang begitu sahaja. Lantaran itu, saya lebih suka menggunakan perkataan `kembali menjadi Islam’ berbanding masuk atau peluk Islam.

Sebenarnya, saya bukanlah yang pertama memeluk Islam di dalam keluarga kami. Abang saya adalah orang yang pertama, cumanya saya yang pertama menjadi Kristian. Sayangnya, abang tidak pernah membincangkan tentang Islam dengan saya. Insya-Allah, berkat perbincangan secara terbuka dan pembacaan menerusi bahan daripada The Nation of Islam, saya berharap benar mereka juga kembali menjadi Islam.

Alhamdulillah, apabila saya memeluk Islam, keluarga terutamanya ibu tidak terkejut kerana beliau memahami bahawa apa juga keputusan yang saya buat ia adalah melalui proses penyelidikan dan bukannya suka-suka.

Kekesalan saya yang teramat, apabila menyedari bahawa sayalah yang bertanggungjawab menyebabkan ahli keluarga kembali menghadiri kuliah Ahad di gereja. Kini saya terpaksa melakukannya semula agar mereka kembali kepada nur Islam.

Bagaimana saya berada di Malaysia? Dua tahun lalu, seorang perwakilan dari Malaysia datang ke Taiwan, Datuk Abdul Rahim Bakri (kini Ahli Parlimen Kudat, Sabah).

Beliau ternampak kisah saya tersiar di sebuah majalah terbitan tempatan dan menemui saya di masjid. Beliau menganjurkan adakah saya akan menimbangkan untuk ke Malaysia?

Secara jujur, saya langsung tidak terlintas mengenainya. Saya dipelawa datang ke Malaysia, kebetulan pada masa itu sedang berlangsung Perhimpunan Agung UMNO di mana menyaksikan ucapan terakhir bekas Presidennya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Apabila berada di sini dan melihat keharmonian kehidupan berbilang bangsa rakyat Malaysia, saya terus jatuh cinta dan bertekad inilah destinasi pilihan terbaik untuk saya menetap

Pada Oktober tahun lalu, saya berpindah ke Malaysia dan meraikan Ramadan pertama. Alhamdulillah, hubungan mesra dengan beberapa kenalan baik seperti mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh Tun Said sekurang-kurangnya mencambahkan lagi usaha ke arah penyebaran syiar Islam.

Berkongsi pengalaman manis sepanjang berada di Malaysia, akui Muneer, perkara pertama yang mententeramkan jiwa apabila melihat saudara sesama Islam di negara ini. Masjidnya masih kuat berkumandang laungan azan. Malah eluang untuk mendapatkan ilmu Islam itu mudah, terpulang kepada individu itu sendiri.

Terlalu banyak perkara yang menyentuh hati saya sepanjang berada di sini. Ahad lepas sewaktu menyampaikan ceramah di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, saya diperdengarkan dengan bacaan al-Quran oleh kanak-kanak berusia 10 tahun. Sungguhpun saya tidak faham tetapi ia menyentuh naluri kecil saya. Senario itu menyegarkan kembali aspek kerohanian dan minda.

Biarpun apa yang dialami begitu mudah seperti melihat anak-anak sekolah bertudung, ini adalah bukti atau testimoni nyata tentang siapakah diri mereka.

Dalam berdakwah, saya menggunakan kaedah yang sama sewaktu masih beragama Kristian. Kita tidak perlu menceritakan tentang sejarah Islam, penerangan al-Quran, hadis atau apa yang Islam boleh dan tidak kerana cara sebegini sukar sampai kepada orang bukan Islam.

Apa yang penting, kita perlu berbincang dengan mereka dalam situasi yang ada sekarang. Kita perlu ubah cara berdakwah secara tradisional tetapi perlu mendekati golongan sebegini serapat boleh seperti membantu dan mengutamakan nilai kasih sayang dan tolong menolong. Hakikatnya untuk melaksanakannya tidaklah susah kerana ia terlalu asas dalam kehidupan seharian setiap manusia.

Saya tidak melihat usaha untuk berdakwah kepada pelbagai golongan dari sudut mencari kepuasan kerana hakikatnya itulah tanggungjawab setiap khalifah di muka bumi ini.

Saya gembira dapat membantu organisasi dalam melaksanakan sesuatu perkara atau berbicara dengan individu tentang pelbagai topik semasa yang membawa kebaikan kepada mereka. Biarpun ia sekadar menjawab soal remeh temeh, ia sudah cukup menggembirakan.

Saya masih ingat ungkapan kata-kata Elijah Muhammad, sekiranya kita menerima Islam kita akan memperoleh duit, rumah kediaman dan persahabatan. Setelah sekian lama, barulah kini saya sedar akan kebenaran kata-katanya itu.

Semakin saya muhasabah diri semakin banyak nikmat dan rahmat-Nya. Malah segala perjalanan kehidupan saya sehingga bergelar Muslim adalah kehendak-Nya Yang Maha Esa, katanya mengakhiri perbualan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.