saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 28/01/2007

Nasib Batu Talam ditentukan hari ini

HARI ini, Batu Talam menjadi tumpuan seluruh negara apabila seramai 10,525 pengundi termasuk 14 undi pos menjalankan hak dan kewajiban masing-masing sebagai pengundi untuk membuang undi bagi memilih wakil rakyat mereka.

Pengundi-pengundi akan membuang undi di 23 saluran peti undi di 12 daerah mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Batu Talam.

Daerah mengundi tersebut ialah Ulu Atok, Kuala Atok, Sega, Chenua, Batu Malim, Tersang 1, Tersang 2, Hulu Sungai, Batu Talam, Kundang Patah, Cheroh dan Tersang 3.

Calon Barisan Nasional (BN), Abd. Aziz Mat Kiram, 47, anak jati Batu Malim dicabar oleh calon bebas yang berasal dari Mengkarak, Bera, Ng Chee Pang, 22, bagi kerusi DUN Batu Talam.

Sedia maklum, tanggungjawab pengundi untuk membuang undi adalah sesuatu yang amat penting kerana keputusannya boleh memberi impak terhadap masa depan kawasan tersebut.

Namun, apa yang menjadi perhatian, nasib Batu Talam terletak di tangan pengundi yang pastinya mahu membuat pilihan bijak dan tepat bagi memilih wakil rakyat yang benar-benar berkewibawaan, layak dan boleh memberi khidmat terbaik kepada mereka.

Kriterianya mudah dan jelas – calon yang dipilih adalah yang mempunyai ciri-ciri daya kepimpinan, berkeupayaan dan komited menyelesaikan masalah penduduk setempat serta membela nasib penduduk Batu Talam dengan lebih terjamin.

Calon itu juga adalah mereka yang benar-benar mengambil tahu segala masalah penduduk, mudah didekati, sebaliknya bukan orang luar yang dilihat janggal oleh mereka.

Sememangnya, dari segi logik, seseorang calon yang sudah begitu dikenali oleh penduduk pelbagai kaum di Batu Talam dianggap lebih mudah untuk berurusan tanpa sebarang masalah.

Sebaliknya, keupayaan calon luar akan diragui kerana mereka bukan sahaja dianggap ‘orang yang tidak dikenali’, malah sudah pasti tidak biasa dengan suasana dan keadaan semasa di kawasan tersebut.

Selain itu, wakil rakyat yang menjadi pilihan pengundi ialah mereka yang boleh membawa penduduk ke tahap kehidupan yang lebih baik, terjamin dan gemilang.

Dengan pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan yang sedang rancak berjalan pada masa ini, Batu Talam tidak terkecuali daripada menerima perubahan itu.

Penduduk Batu Talam pasti juga sudah mengenali mana satu ‘intan dan batu’ yang boleh memberi sinar serta harapan baru kepada mereka, sebaliknya bukan dibuai dengan ‘janji-janji indah dan kosong’ belaka.

Mereka juga sudah tentu dahagakan pembangunan dan tidak mahu segala projek di kawasan itu terbantut gara-gara tersalah memilih calon.

Justeru, bagi memastikan kesinambungan perancangan wakil rakyat terdahulu yang membawa mesej pembangunan dapat direalisasikan, para pengundi harus bijak menilai apa yang perlu mereka putuskan pada hari ini.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang sedang berjalan pada masa ini, projek-projek pembangunan khususnya di Batu Talam sama ada telah berjalan dan sedang berada dalam perancangan.

Bagaimanapun, kematian wakil rakyat sebelum ini, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada Disember tahun lalu, perancangan pembangunan itu terhenti buat sementara.

Dengan adanya wakil rakyat baru yang boleh meneruskan kesinambungan perjuangan Tengku Paris, semua projek pembangunan itu dijangka akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan licin.

Sepanjang tempoh berkempen selama 12 hari yang berakhir pada pukul 12 tengah malam tadi, masyarakat Batu Talam sewajarnya sudah membuat keputusan untuk memilih calon yang benar-benar mereka kehendaki.

Yang pastinya, para pengundi sudah memikirkan semasak-masaknya dan secara rasional apa yang boleh dilakukan oleh calon BN atau calon bebas bagi memperjuangkan pembangunan di kawasan Batu Talam.

Walau apa pun, pengundi sekarang ini sudah bijak membuat keputusan dan kuasa memilih wakil rakyat yang sedia berkhidmat dan bersedia ‘turun padang’ terletak sepenuhnya kepada mereka.

Jadi, ibarat ‘pisau di tangan kiri dan mentimun di tangan kanan’, kuasa memilih di tangan mereka, terpulang kepada penduduk Batu Talam dalam membuat pilihan sewajarnya bagi menentukan siapa wakil rakyat baru yang akan mewakili mereka di kawasan tersebut. Selamat mengundi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.