saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/02/2007

Menghalang agenda negatif FTA

PADA 1 Januari 1994, tiga buah negara iaitu Kanada, Amerika Syarikat (AS) bersama Mexico telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA ).

Antara kandungan perjanjian ini termasuk penghapusan cukai terhadap barang-barang AS ke Mexico dan juga penghapusan tarif secara berperingkat oleh Mexico selama 14 tahun.

Namun kini, 12 tahun kemudian, ramai penduduk Mexico berasa kesal terhadap perjanjian perdagangan bebas yang jelas memihak kepada negara-negara seperjanjian ini yang jauh lebih maju.

Dalam Bab 11 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ini memberikan kuasa kepada ‘individu ataupun syarikat korporat untuk menyaman kerajaan Mexico, AS atau Kanada bagi menuntut pampasan ganti rugi.’

Contoh kes-kes saman seperti ini adalah melibatkan syarikat Methanex, sebuah syarikat penghasil bahan-bahan kimia dari Kanada, terhadap kerajaan AS dengan tuntutan sebanyak AS$970 juta (RM3.39 bilion).

Dalam kes ini syarikat Methanex mendakwa bahawa pengharaman negeri California ke atas bahan MTBE, bahan kimia yang ditemui di dalam perigi-perigi bekalan air negeri California, telah merosakkan eksport negara Kanada untuk bahan metanol.

Saman syarikat Methanex akhirnya ditolak di mana Methanex terpaksa membayar kos sebanyak AS$3 juta (RM10.5 juta) kepada kerajaan AS iaitu pampasan litigasi yang berlaku pada tarikh 9 Ogos 2005.

Ramai pihak yang menganggap bahawa syarat kandungan Bab 11 perjanjian NAFTA ini dengan jelasnya memihak lebih kepada syarikat- syarikat korporat besar di AS dan Kanada berbanding dengan syarikat-syarikat di Mexico yang terlalu kecil dan tidak mampu secara kewangan untuk mengambil tindakan perundangan terhadap negara-negara seperjanjian ini.

Kerajaan Mexico mempunyai insentif yang dipanggil projek ‘mequila’ bagi menarik para pelabur asing bagi tujuan perkilangan eksport.

Di bawah program ini, sebuah syarikat yang digelar ‘mequiladora’ yang diiktiraf oleh bahagian Setiausaha Pembangunan Perindustrian dan Komersal Mexico (SECOFI), pelabur asing boleh memiliki sebanyak 100 peratus pegangan dalam syarikat ini ataupun dalam pelaburan dana secara terus. Syarikat-syarikat ‘mequiladora’ ini diberikan kebebasan daripada tarif serta cukai oleh kastam bagi kemasukan barang-barang dengan mengenakan bon ke atas barang-barangan tersebut bagi memastikan kemasukan barang-barangan yang dibawa hanyalah untuk tujuan eksport semula.

Warga asing serta pelabur asing syarikat-syarikat program ‘mequila’ ini juga di- benarkan membeli serta memilik tanah di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan oleh pihak SECOFI.

Insentif projek ‘mequila’ kerajaan Mexico ini tidak begitu jauh bezanya dengan syarikat-syarikat yang mendapat taraf perintis di bawah Akta Penggalakan Pelaburan Malaysia 1986 ataupun keistimewaan yang diberikan kepada syarikat-syarikat atau pelaburan asing di bawah projek Koridor Multimedia Raya (MSC) di Malaysia.

Namun hanya setelah persetujuan perjanjian NAFTA, kerajaan Mexico telah sedar bahawa negaranya kekurangan tenaga kepakaran dan jumlah tenaga kerja yang berpendidikan sewajarnya bagi menarik minat kehendak para pelabur syarikat-syarikat AS serta Kanada.

Walaupun Mexico telah mendapat keuntungan sedikit pada awal perjanjian NAFTA, namun keuntungan daripada pelaburan asing yang masuk hanya telah berpihak kepada golongan kelas menengah atasan dan yang kaya di Mexico yang berpendidikan dalam bahasa Inggeris. Pada masa yang sama perjanjian NAFTA telah menambahkan jurang kemiskinan di antara golongan rakyat yang berpendidikan rendah serta terpencil di kawasan-kawasan pedalaman.

Keadaan ini bertambah sukar bagi Mexico apabila pada September tahun 2001, negara China memasuki Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Mexico telah menghadapi persaingan hebat dari segi jumlah serta kos tenaga buruh yang jauh lebih rendah yang ditawarkan oleh China dan juga daripada jumlah kos tenaga buruh serta kepakaran dalam industri perkhidmatan yang ditawarkan oleh India, di mana kedua-kedua negara ini memberikan saingan hebat untuk menarik minat para pelabur asing seluruh dunia.

Ekonomi Mexico dan juga ekonomi negara-negara membangun serta ekonomi negara dunia ke-3 telah bertambah mudarat apabila pada Mei 2002, Kongres AS di bawah kepimpinan Presiden George W. Bush telah meluluskan Akta Pemeliharaan dan Pelaburan Kawasan Pedalaman AS 2002.

Di bawah akta yang berkuat kuasa selama 10 tahun ini, Jabatan Pertanian AS memperuntukkan subsidi yang mewah sebanyak AS$200 bilion (RM700 bilion) kepada para petani serta pengusaha ladang tempatan AS bagi penghasilan tanaman komoditi.

Subsidi mewah kepada para petani dan pengusaha ladang AS ini telah memberikan tamparan hebat kepada nilai pasaran komoditi dunia.

Subsidi mewah ini telah menerima kritikan hebat daripada badan-badan di AS sendiri seperti, Kesatuan Para Saintis Prihatin (Union of Concerned Scientist), Persatuan Penanam Jagung Negeri Iowa ( Iowa Corn Growers Association ) dan juga Oxfam Amerika.

Oxfam Amerika merupakan sebuah badan bertindak badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Oxfam International yang mempunyai kerjasama dengan 100 buah negara dan mempunyai pejabat di 13 buah negara.

Ketiga-tiga badan ini mengulas bahawa subsidi terhadap bahan-bahan makanan ternakan tempatan AS membawa kepada produksi secara berlebihan yang berbahaya kepada para petani serta orang ramai.

Mereka menjelaskan bahawa subsidi mewah ini menjatuhkan nilai-nilai pasaran dengan sekali gus menaikkan nilai harga tanah. Ini kerana kebanyakan para petani serta pengusaha ladang AS tidak memiliki tanah mereka sendiri, dengan itu subsidi yang mereka terima dipajaknilaikan pada harga tanah yang mereka usahakan.

Ini tidak mendatangkan banyak faedah kepada para petani serta pengusaha ladang di AS sendiri pada jangka masa panjang.

Sementara itu antara kesan hasil daripada dasar AS merangkumi subsidi beras padi AS.

Pada 11 April 2005, pihak Oxfam melaporkan bahawa AS merupakan pengeksport beras ke-3 terbesar di dunia yang mengeksport beras sebanyak negara Vietnam.

Beras hasilan AS mempunyai kos purata sebanyak AS$415 dolar ( RM1,452.50 ) bagi penghasilan satu tan beras, namun kini sedang dijual di negara-negara membangun seperti Haiti, Ghana dan juga Honduras pada harga AS$274 (RM959) satu tan iaitu hanya satu pertiga daripada kos sebenar akibat subsidi mewah kerajaan AS.

Kebanyakan negara-negara miskin di dunia terpaksa menurunkan kadar tarif yang telah melindungi para petani beras tempatan akibat tekanan oleh pihak Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan juga perjanjian dua hala bersama AS.

Negara Haiti merupakan antara negara termiskin di Hemisfera barat di mana separuh daripada kanak-kanaknya mengalami kekurangan zat makanan.

Pada tahun 1995, IMF telah menggalakkan kerajaan Haiti menurunkan tarif import mereka daripada 35 peratus kepada hanya 3 peratus. Pemotongan ini telah melipatgandakan importnya di mana 95 peratus berasnya kini diimport dari AS. Oleh kerana harga beras AS yang sangat murah akibat subsidinya, sebanyak 50,000 petani beras padi tempatan Haiti kehilangan kuasa pasaran tempatan mereka.

AS kini melonggokkan sebanyak 3.8 juta tan beras padi subsidinya ke pasaran dunia.

Dengan kesan akibat subsidi AS terhadap pasaran komoditi pertanian dunia, serta aduan daripada pelbagai pihak negara kepada WTO sifat berkepentingan sehala AS dapat dilihat melalui laporan oleh AP yang disiarkan dalam akhbar Boston Globe apabila AS yang berkepentingan sendiri mencabar pihak WTO.

Dalam laporan tersebut, Duta Perdagangan AS, Robert Zoellick berkata kepada pihak media AS : “Anda dijamin bahawa kami akan terus membuat rayuan.” Zoellick terus berhujah bahawa melalui kaedah taktik rayuan oleh pihak AS “Ia boleh mengambil masa berbulan atau kemungkinan setahun ataupun juga bertahun-tahun.”

Manakala sifat polisi AS yang berat sebelah terhadap rakan seperjanjian perdagangan bebasnya sendiri dapat dilihat dalam laporan California Trade bertarikh 12 Ogos 2005 apabila Duta Perdagangan AS, Rob Portman serta Setiausaha Komersal AS, Carlos Guiterrez di Washington mengecam Kanada apabila kerajaan negara berkenaan memberikan subsidi sebanyak AS$1.28 bilion (RM4.48 bilion) kepada industri pembalakan serta perkayuan Kanada sendiri.

Kedua-dua wakil AS itu berkata kepada pihak media bahawa industri tempatan Kanada merupakan penerima subsidi yang mewujudkan sebuah pasaran perdagangan yang tidak sekata yang juga menyakiti pasaran industri AS.

Hanya setahun selepas aduan dibuat oleh Brazil, pada Mac 2005, pihak WTO telah memutuskan bahawa subsidi tanaman kapas AS menyalahi undang-undang persetujuan antarabangsa dan sekiranya AS tidak menghentikan subsidi kapasnya, Brazil mempunyai hak mengenakan sekatan perdagangan terhadap AS.

Pada 24 Januari 2007, Australia, Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Argentina dan juga Brazil sama-sama telah membuat aduan kepada WTO mengenai AS terhadap subsidi tanaman jagung mereka. AS merupakan pengeksport tanaman jagung terbesar di dunia dan pada tahun lepas sahaja ia telah mengeksport sebanyak 50 juta tan jagung.

Menurut laporan pihak NGO: Yayasan Amanah Perdamaian Antarabangsa (Carnegie Endowment of International Peace - CEIP) di Washington, Mexico telah kehilangan sebanyak 1.3 juta pekerjaan di kalangan para petani kecil sejak tahun 1993.

Jika dilihat secara teliti, antara syarat-syarat memeteraikan sebuah perjanjian, kedua-dua pihak mestilah mempunyai persefahaman dan kedudukan saksama dalam perihal yang dijanjikan, sebarang kepentingan peribadi yang mungkin menyebabkan percanggahan atau pertelingkahan di masa-masa akan datang haruslah diambil kira serta diketengahkan.

Pengenalan diri dari segi kekuatan serta kelemahan masing-masing atau ‘muhasabah diri’ antara kedua-dua belah pihak, dan juga tatasusila serta etika dalam menunaikan isi kandungan setiap perjanjian juga harus dipersetujui sama-sama.

Sekadar memeterai sesebuah perjanjian hanya kerana kedua-dua pihak mempunyai harapan yang sama tidak akan mencukupi. Ini kerana kedua-dua pihak mungkin mempunyai niat dasar tujuan yang berbeza.

Sekiranya dilihat secara kasar, sememangnya AS dan Malaysia jauh berbeza. Dari segi Perlembagaan Persekutuan sahaja, Islam merupakan agama rasmi Malaysia, manakala perlembagaan AS pula termaktub bahawa Kongres tidak akan menggubal sebarang perundangan yang mengiktiraf secara rasmi sebarang jenis agama.

Manakala Malaysia pula berteraskan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.

Namun nilai-nilai yang termaktub inilah yang mempengaruhi pengamalan sistem kapitalis sepenuhnya dan juga nilai-nilai sosial AS manakala Perlembagaan Malaysia masih mengambil kira nilai-nilai kebudayaan, kepercayaan dan agama sesama kaum.

Sekiranya sebarang jenis kemajuan serta persetujuan dengan mana-mana pihak luar ingin dicapai bagi masa depan negara Malaysia, maka nilai-nilai ini haruslah dihormati dan diambil kira dari setiap sudut terlebih dahulu.

Pindaan 2 di dalam Perlembagaan AS pula termaktubnya hak untuk memiliki dan membawa senjata. Malah kerana prinsip nilai-nilai inilah juga.

AS merupakan pembikin serta pengeksport senjata api dan peperangan yang terbesar di dunia. Persoalannya, adakah FTA ini termasuk juga hak istimewa kepada AS bagi pembekalan senjata api dan perang kepada Malaysia? Dan adakah ini akan menjejaskan perhubungan Malaysia bersama Rusia yang juga merupakan pembekal senjata api dan perang kepada Malaysia, malah juga antara pasaran terbesar bagi minyak sawit Malaysia?

- WAN IMRAN WAN CHIK ialah pakar runding pemasaran antarabangsa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.