saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 04/02/2007

Nada sinis puisi era 60-an

PENYAIR adalah perakam fenomena masyarakat dan dirinya sendiri. Sekitar tahun 60-an, fenomena sama dapat diperhatikan dalam perkembangan puisi di negara ini. Dr. Ali Ahmad menyebut sekitar tahun itu sebagai zaman yang “tidak pernah terlihat sebelum ini” baik dalam puisi mahupun prosa.

Penyair dan bahasa memang tidak dapat dipisahkan, kerana bahasa adalah alat pengucapan untuk puisi (dan prosa) yang menjadi penyambung di antara penyair dan masyarakat. Penyairlah yang mencipta kesusasteraan sebagai refleksi realiti massa itu sendiri.

Pergolakan politik dengan pelbagai isu – isu bahasa kebangsaan, isu politik – rakyat dengan penerokaan tanah haram, penderitaan, penindasan, ketidakadilan dan pertentangan politik antarabangsa sangat menyentuh sensitiviti penyair yang mengungkapkan rasa kemanusiaan dan kepenyairannya menerusi sajak-sajak mereka pada sekitar tahun 60-an.

Tahun 1960-an dengan pergolakan politik dan juga sosial mengajak penyair mendekati realiti, khususnya masyarakat tertindas yang sangat memerlukan pembelaan. Mengikut Kassim Ahmad, “aku menghadapi kenyataan” dan menurut beliau lagi:

aku memikirkan anakku yang lahir

dalam dosa,

hidupnya telah dijamin kebuluran

aku menghadapi kenyataan

(Penyairmu)

Pernyataan sikap penyair terhadap fenomena politik dan sosial dalam masyarakat terserlah dalam beberapa buah puisi seperti Telok Gong (1967), Suara Tujuh (1973), Kemarau Di Lembah (1967) dan Keranda 152. Kebanyakan puisi dalam antologi tersebut berupakan protes dan sindiran kepada Artikel 152 dalam Perlembagaan Malaysia.

Para penyair yang memprotes itu antara lain ialah Usman Awang, Baha Zain, Kassim Ahmad, Kemala, Ali Ahmad, Nik Mohammad Zain, Alis Murni, Yahya Ismail, Mohd. Affandi Hassan dan A. Ghafar Ibrahim.

Sikap dan slogan para penyair 1960-an adalah lanjutan daripada kesan atau pengaruh konsep “seni untuk masyarakat” yang diperjuangkan oleh Asas 50.

Walaupun para penyair 60-an datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan, tetapi paling menarik pergolakan sosiopolitik mempertalikan mereka dalam satu hasrat iaitu membela nasib rakyat dan bahasa kebangsaan.

Oleh kerana “suara” para penyair itu berupa kritikan terhadap pihak yang bertanggungjawab, maka sajak-sajak dalam antologi yang diperkatakan ini memperlihat nada yang cukup sinis.

Pengucapan puisi dalam nada sebegini semacam dipersetujui ramai oleh penyair tahun 60-an hingga kita berasa ada keseragamannya.

Berkenaan peristiwa Telok Gong, di mana pembukaan tanah secara haram oleh Hamid Tuah dan rakan-rakannya menarik perhatian golongan penyair. Mereka secara penuh kesinisan mengkritik dan mengecam pihak tertentu, lihat stanza ini:

Marilah turun, hai pak menteri kita bertemu sebentar di pinggir kantormu kami mengajakmu mengharung lembah derita kami telah ke sana melihat keringat maka inilah untukmu ada bingkisan keramat terimalah, rakyat telah mengirimkannya beberapa titisan air mata cuma!

(Telok Gong, m.s 12).

Petikan daripada sajak karya Rustam A. Sani bertajuk “Lidah Kami Lidah Keramat” memperlihat penderitaan rakyat yang “kemaruk” tanah. Harapan rakyat marhaen mendapat simpati daripada pihak berkenaan tidak disahut secara berkesan oleh pihak yang berwajib.

Bagi penyair penerokaan tanah secara haram di Telok Gong itu adalah manifestasi kecuaian pihak tertentu dalam membela nasib rakyat marhaen.

Usman Awang dalam sajaknya “Penerokaan Abad Dua Puluh” seolah-olah menyerang golongan “establisment” yang selalu mementingkan “formality” dalam segala urusan, termasuk dengan rakyat yang buta huruf.

Dalam hal itu juga, Kemala lebih sinis menerusi sajaknya yang berjudul “Telok Gong” dengan mempersoal kemerdekaan dan kebebasan yang diperoleh tidak menjanjikan “kemerdekaan yang manis” sebab “kita diamuk derita.”

Kemerdekaan yang perlu diisi dengan keadilan untuk rakyat yang selama ini persis “nafas-nafas yang menggelepar di tanah bonda,” menggambarkan bagaimana sinisnya Kemala apabila menghadapi situasi tersebut.

Kassim Ahmad pula memerhati Parlimen sebagai institusi kurang berfungsi kecuali dipenuhi oleh “orang-orang yang berbicara ke pinggir malam.” Nada sinis Kassim timbul daripada pengucapannya mengenai “kesonderaan” Parlimen serta anggotanya yang kurang bertanggungjawab dalam membela nasib rakyat marhaen. Nada penuh sinis ini betapa kuat terasa pada sajak “Jalan Ke Parlimen”.

Nada sinis Kassim jela dalam dan penuh kehalusan di belakang simbol-simbol yang digunakan seperti “kisah sputnik,” “anak dara,” “Hang Tuah,” “bidadari” yang dikatakan untuk dihadiahkan kepada Sultan.

Stanza yang memperlihat penentangan Kassim Ahmad kepada feudalisme yang sedia wujud. Kassim juga menegur tentang sikap masyarakat yang terlalu menyerah kepada nasib dan takdir.

Apabila Parlimen meluluskan Artikel 152, menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, isu ini disambut dengan perasaan tidak senang hati kalangan para penyair tanah air. Kedaulatan bahasa dan maruah bangsa, diketepikan.

Lantas para penyair berpadu tenaga melalui Keranda 152, antologi yang diassosiasikan dengan kemusnahan maruah bahasa dan orang Melayu!

Dan puisi yang dapat dipetik daripada buku tulisan Ali Ahmad sudah cukup mengesankan nada sinis dua penyair iaitu Ayub Yasin dan Baha Zain.

runtuhnya sebuah tugu

ya, runtuhnya sebuah tugu

di antara tangan lembut dewa-dewa Parlimen

dengan jemari halus anak-anak dalam harapan

adalah degup terakhir di tebing maut

yang terdedah

kan berlaku, ya! kan berlaku

tanpa nisan di atas pusara

kerana tangan-tangan para dewa

sudah mengembang

kerana tangan anak-anak tanpa tenaga

untuk memanjang

tetapi percayalah dan mengertilah

dan hati ini “udah luka

darahnya kan kerap meleleh menghiba

(buku Tema Sajak-Sajak Melayu)

Dua antologi yang dibicarakan di atas memperlihat hubungan erat penyair dengan masyarakatnya dalam segala isu sosiopolitik. Keseluruhannya dilahirkan menerusi institusi penyair menerusi nada sinis. Dalam antologi Suara Tujuh, Baha Zain melihat jauh kepada permasalahan sosial wanita Asia, yang diperalatkan oleh kaum “penjajah’ dari Barat.

Sajak beliau “Rayuan Wanita Asia” menggambarkan penganiayaan Barat ke atas Timur hingga kata Baha Zain “wanita rahimnya telah kau isi/dengan dolar/dengan V.D, pelacur yang mewarisi kuman peninggalan manusia Barat.

Kepekaan terhadap permasalahan antarabangsa berupakan satu ciri yang khusus kepada para penyair 1960-an.

Kepongahan terhadap kuasa imperialis seperti Amerika terdapat dalam sajak Kassim Ahmad bertajuk “Lamumba Mati”. Sindiran sinis Kassim jelas pada baris-baris di bawah:

hari ini Lamumba mati

dan kau satu Amerika membisu

mendukung Kasvubu

kerana Lamumba orang hitam Afrika

tidak sesuai dengan ususmu!

(Kemarah Di Lembah, m.s. 112)

Hal sama juga telah diprotes oleh Usman Awang dalam sajak yang berjudul “Kemanusiaan.” Bagi Usman apabila ada kemanusiaan pada seseorang manusia maka tidak ada lagi sempadan warna kulit, bangsa, jurang ekonomi, budaya dan politik. Beginilah kata Usman:

jika menyesali kematian atas seseorang hati tak berdenyut untuk kematian yang lainmaka kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran sebab bukanlah kemanusiaan apabila ada perbatasan.

(Duri dan Api, m.s 19)

Menurut Dr. Ali Ahmad, sajak Usman Awang itu adalah sebuah sajak yang berjaya di antara sajak yang membawa tema kemanusiaan. Jika diperhatikan secara menyeluruh sajak-sajak yang diperkatakan jelas para penyair gemar berbicara dengan nada sinis.

Dalam beberapa hal tampaknya penyair- penyair terlalu membebaskan emosi mereka dalam mengkritik, namun tidak pula kepada teknik secara keseluruhan.

Bentuk sajak diketepikan dan secara nyatanya sajak-sajak masih memperlihat konvensi-konvensi puisi tahun 1950-an, kecuali dari segi tema dan cara pengucapan.

Penyair juga tidak mempertimbang idea- idea objektif dalam sajak-sajak mereka. Hingga timbul adalah imej-imej yang bertentangan seperti segala imej negatif adalah bagi pihak tertentu dan segala imej positif adalah untuk rakyat yang perlu dibela!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.