saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 12/02/2007

Raja Lawak Astro dua peserta berumur tersingkir

HASRAT Mail atau Razali Yusoff untuk merebut gelaran raja lawak berkubur apabila dia dan pasangannya, Pokde tersingkir daripada Gelanggang Raja Lawak Astro minggu keempat yang berlangsung di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, Selangor malam kelmarin.

Mail, 52, dan Pokde atau Azmi Mamat, 43, yang digandingkan dalam kumpulan duo, Duek merupakan peserta program realiti TV itu yang paling berumur berbanding lapan peserta lain.

Dua peserta itu yang masing-masing berasal dari Kelantan dan Terengganu tersingkir selepas menerima undian khidmat pesanan ringkas (SMS) paling rendah daripada para penonton.

Mail yang menaruh harapan tinggi mahu mara ke peringkat akhir tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila Ketua Otai Lawak, A.R. Badul mengumumkan penyingkirannya itu.

“Hati saya memang hancur kerana tersingkir daripada pertandingan ini. Selama ini saya terpaksa meninggalkan anak bini di KB (Kota Bahru) semata-mata kerana program ini.

“Saya tidak tahu macam mana hendak cakap dengan mereka (keluarga). Sebelum ini pun saya tidak dapat tidur kerana bimbang kalau disingkirkan.

“Saya rasa macam hendak menangis,” kata bapa kepada tiga orang anak ini selepas program terbitan Astro itu melabuhkan tirai gelanggang minggu keempatnya.

Mail yang menerima galakan menyertai pertandingan itu daripada anak bongsunya, Nursyafawati, 16, menganggap penyingkirannya itu sebagai tiada rezeki buat anak-anaknya.

Pokde turut tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya selepas disingkirkan daripada program yang mencungkil bakat-bakat pelawak baru itu.

“Saya rasa sedih hendak meninggalkan program ini. Mungkin tiada rezeki tetapi saya terima qada dan qadar ini. Dari mula lagi saya sudah boleh agak akan tersingkir kerana pada malam-malam persembahan yang lalu pun persembahan saya kurang menonjol.

“Selain itu, ini mungkin kelemahan saya kerana kalau bertanding saya rasa payah sikit untuk berlawak. Tetapi kalau berlawak di luar pertandingan saya rasa okay,” ujarnya.

Selaku pengkritik, pengacara Azwan Ali menyifatkan jalan cerita pada persembahan Pokde dan Mail menerusi sketsa berjudul IQ pada malam itu kosong dan kurang mencuit hati.

Malah, pelakon Sheila Rusly juga tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya sewaktu menyaksikan lawak jenaka pasangan itu yang kelihatan hambar.

Sebagai pengkritik undangan, dua selebriti terbabit dilihat lebih jujur dalam menyuarakan komen terhadap para peserta yang bertanding.

Azwan misalnya mengkritik pasangan Johan dan Zizan yang bergabung dalam duo Yo Yo mengenai penggunaan nama-nama individu, tempat dan pusat membeli-belah dalam sketsa kumpulan itu yang mungkin boleh mengundang saman dan rasa kurang senang pihak-pihak tertentu.

Ketua Otai Lawak yang juga pengajar program realiti TV itu, A. R. Badul turut menegur persembahan Zizan dan Johan yang disifatkannya tidak mengikut nasihat para tenaga pengajar Raja Lawak Astro yang lain.

“Ada peserta yang tidak ingat dan tidak mahu mengikut apa yang telah kita (tenaga pengajar) pesan supaya jangan gunakan nama-nama orang, tempat, syarikat dan sebagainya,” tegasnya.

Johan yang mewakili kumpulan Yo Yo bagaimanapun membela diri dan mempunyai alasan tersendiri berhubung dakwaan tersebut.

“Bagi kami, selagi sketsa yang kami persembahkan itu tidak memburuk-burukkan nama pihak-pihak terbabit kira okaylah.

“Kami bukannya tidak mahu ikut arahan tetapi kalau 10 arahan yang diberi kami ikut lima sahaja. Ini kerana, kami juga ada idea sendiri. Jadi kami mahu tunjukkan idea kami itu,” jelasnya.

Sementara itu, pasangan peserta Tauke dan Yus yang bernaung di bawah nama Joper merupakan peserta paling mencuit hati dengan sketsa berjudul Lampu Aladdin.

Sketsa lawak yang dipersembahkan oleh Joper bukan sahaja bersahaja, tetapi mereka turut menyelitkan mesej supaya rajin bekerja tanpa alasan dan mensyukuri nikmat pemberian Illahi.

Justeru, tidak hairanlah persembahan Yus dan Tauke berjaya menggeletek hati para penonton sekali gus melonjakkan Joper sebagai kumpulan teratas yang menerima undian SMS tertinggi daripada para penonton.

Helmi The Gimmick dan Idan dalam kumpulan Twins dengan sketsa Persediaan Latihan Malam Kebudayaan, Johan dan Zizan (Yo Yo) melalui sketsa Kekeluargaan berjaya meneruskan saingan seterusnya pada program tersebut.

Sementara itu, kumpulan Slim Bam yang dianggotai oleh Angah dan Mie dengan sketsa Penjara juga berjaya bertanding pada Gelanggang Raja Lawak Astro minggu kelima Sabtu ini pukul 9.30 malam.

Pertandingan akhir Raja Lawak Astro pula akan diadakan pada 10 Mac ini di mana juaranya akan menerima sebuah kereta TD 2000 berharga RM145,311, wang tunai RM20,000, barangan elektrik dan trofi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.