saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 19/02/2007

Fenomena ribut, kemarau

SEJAK akhir-akhir ini kebimbangan kesan pemanasan dunia semakin menjadi kenyataan. Pada 26 Disember 1996, ribut tropika Greg yang lazimnya menjadi lemah apabila menghampiri garisan khatulistiwa telah melanda timur laut Sabah dan mengorbankan 170 nyawa.

Pada 27 Disember 2001, negara sekali lagi dikejutkan apabila ribut tropika Vamei melanda selatan Johor, mengakibatkan tragedi tanah runtuh dan banjir lumpur di Gunung Pulai. Ini merupakan kali pertama ribut tropika Vamei tersasar jauh merentasi garisan khatulistiwa. Hujan lebat yang menyebabkan banjir 2006/07 juga dikaitkan dengan fenomena pemanasan dunia apabila berlakunya sistem tekanan udara rendah di ruang angkasa Johor. Ini menyebabkan monsun timur laut yang lazimnya membawa hujan di Pantai Timur menderu dengan lebih laju ke selatan Semenanjung dan membawa bersamanya hujan yang lebat.

Di rantau tropika, pemanasan global diramal menyebabkan berlakunya ribut yang lebih kerap dengan diselangi oleh tempoh kemarau lebih lama. Saiz ribut yang lebih besar dan semakin kerap berlaku dikhuatiri akan menjejas keupayaan struktur tebatan banjir seperti empangan dan benteng. Ini kerana struktur tebatan banjir, terutama yang telah lama dibina tidak mengambil kira fenomena perubahan cuaca. Oleh itu asas reka bentuk banjir yang sedia ada perlu dikemas kini dengan mengambil kira ramalan ke atas ciri-ciri ribut pada masa akan datang. Namun dengan keadaan iklim yang semakin tidak menentu, kerja-kerja ramalan seperti ini akan lebih mencabar.

Di kawasan rendah, seperti tadahan Batu Pahat pengaliran air larian permukaan ke hilir terganggu oleh kesan pasang surut air laut. Kesan banjir pada masa akan datang mungkin menjadi lebih buruk jika ramalan kenaikan aras air laut menjadi kenyataan. Meskipun kenaikan sebenar aras laut sukar diramal dengan tepat, pihak IPPC (Intergovernmental Panel on Climate Change) menjangkakan kenaikan 0.5m dalam tempoh satu dekad.

Berbanding sebelumnya, banjir 2006/07 telah menyaksikan kenaikan paras air yang begitu cepat dengan kandungan lumpur atau enapan yang tinggi. Hal demikian boleh dikaitkan dengan aktiviti pembangunan dan penerokaan tanah. Kesan banjir boleh menjadi lebih serius dengan bertambahnya kawasan tidak telap apabila tumbuhan asal dibersihkan dan tanah dibangunkan untuk tujuan perbandaran, perumahan atau pertanian. Namun kesan ini boleh dikurangkan jika pembangunan tanah dilakukan secara terkawal dan mesra alam. Umpamanya kajian oleh Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia mendapati kesan banjir akan menjadi lebih mendadak apabila kawasan tidak telap dalam tadahan melebihi 20 peratus.

Kesan aktiviti pertanian dan pembalakan juga akan dapat dikurangkan jika kawasan tidak telap dalam bentuk jalan ladang dan jalan hutan dapat dihadkan tidak melebihi 8 peratus.

Masalah hakisan di tapak-tapak pembinaan dan kawasan pertanian masih agak berleluasa. Tanah yang gondol lebih terdedah kepada impak titisan hujan dan hakisan air larian permukaan. Ini menyebabkan permukaan tanah menjadi semakin mampat dan seterusnya menjana lebih banyak air larian permukaan. Akibatnya, lebih banyak keladak dan enapan memasuki sistem saliran. Untuk jangka masa yang lama, kesan kumulatif enapan, terutama di bahagian hilir menjadi lebih ketara. Antaranya, ia akan mengurangkan kapasiti sungai untuk mengalirkan air ke muara.

Pemantauan

Untuk projek pembangunan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyediakan strategi dan garis panduan yang menekankan keperluan mengawal banjir di punca. Antara lain, pemaju dikehendaki membina kolam takungan atau kolam tahanan untuk menyimpan lebihan air larian semasa kejadian ribut. Garis panduan yang dikenali sebagai Manual Saliran Mesra Alam (MaSMA) ini telah dilancarkan pada tahun 2000. Meskipun MaSMA mengandungi garis panduan yang komprehensif, perlaksanaannya memerlukan komitmen dan sokongan dari semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan dan pemaju hartanah. Dalam hal ini pemaju boleh melaksanakan konsep pembangunan lestari. Dengan kuasa membeli yang semakin bertambah, pembeli kini sanggup membayar harga yang lebih untuk mendapat hartanah yang mesra alam. Trend ini harus digarap oleh pemaju hartanah umpamanya dengan menampilkan imej air seperti tasik dan sungai dalam konsep pembangunan hartanahnya. Jika diadun dengan bijak, imej air ini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kesan banjir malah dapat meningkatkan nilai hartanah.

Di Batu Pahat, banjir mengambil masa yang cukup lama untuk surut. Pada umumnya tadahan Batu Pahat mempunyai topografi yang landai. Adalah menarik untuk membincangkan kesan banjir di Batu Pahat dari sudut pembangunan tanah. Sebahagian besar tadahan Batu Pahat asalnya diliputi oleh hutan paya gambut. Tanah gambut mengandungi lebih 90 peratus bahan organik dan mempunyai keupayaan menyerap air yang sangat tinggi. Hutan paya gambut juga berfungsi mengurangkan kesan banjir dengan melambatkan pergerakan air ke hilir.

Dalam tahun 70-an, hampir kesemua hutan paya gambut di Batu Pahat telah diterokai dan dimajukan melalui Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Johor Barat. Terusan dan parit telah dibina dengan banyaknya untuk mengalirkan air dan merendahkan aras air bumi agar sesuai untuk tanaman. Akibatnya tanah gambut yang sebelum ini sentiasa ditenggelami air terdedah kepada udara. Ini menyebabkan tanah gambut mengalami proses pereputan, pengoksidaan dan larut resap. Kesan jangka panjang proses ini ialah berlakunya pemendapan tanah. Bergantung kepada lokasi, pemendapan, antara satu hingga tiga meter telah dilaporkan berlaku. Akibatnya topografi tadahan Batu Pahat hari ini menjadi lebih rendah dari topografi asal sebelum tahun 70-an. Oleh itu adalah penting untuk mengambil kira faktor pemendapan tanah dan kenaikan aras air laut dalam menyediakan strategi kawalan banjir di tadahan Batu Pahat.

Pengurusan saliran dan sungai juga memerlukan paradigma baru dalam menangani masalah banjir. Anak sungai dan parit terutamanya di bahagian hulu harus diurus secara tabii. Amalan melurus dan membersih sungai semasa musim banjir tidak semestinya membantu mengurangkan kesan banjir. Pendekatan pengenyahan pantas (rapid disposal) air sungai mungkin boleh menyelesaikan masalah banjir di bahagian hulu tadahan tetapi akan mempercepatkan lagi aliran ke bahagian hilir. Akibatnya air banjir akan cepat meluru ke kawasan rendah di hilir. Sebaliknya saliran yang diurus secara tabii, dengan membiarkan pokok-pokok akuatik tumbuh dan membesar di dalamnya boleh membantu melambatkan pergerakan air ke hilir. Strategi ini akan lebih berkesan jika digabungkan dengan tanah bencah (wetlands).

Di beberapa negara maju seperti Jepun, Korea dan Denmark amalan ini bukan suatu yang janggal, malah telah terbukti berkesan dalam mengawal banjir dan mengembalikan semula habitat akuatik. Di hilir tadahan pula, kerja-kerja membersih dan mendalamkan saliran sebelum musim banjir tiba boleh diteruskan.

Secara umumnya kaedah kejuruteraan dan pemuliharaan ekosistem perlu digabungkan. Kita juga harus merumus pelan tindakan kecemasan banjir untuk setiap tadahan yang mempunyai risiko banjir.

Strategi pengurusan dan pencegahan banjir juga harus mengambil kira persediaan menghadapi musim kemarau dengan mengoptimumkan sumber air.

Objektifnya ialah untuk mengurangkan kerosakan semasa air berlebihan dan memastikan bekalan yang mencukupi semasa musim kemarau.

* PROF. Madya Dr. Zulkifli Yusup ialah Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (Ipasa) Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.