saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 22/02/2007

Karya asing jejaskan industri

KEMASUKAN karya-karya sastera asing berbahasa Inggeris tanpa sekatan dalam pelbagai genre dikatakan salah satu punca kepada malapnya industri penerbitan dan penulisan sastera tempatan.

Sastera berbahasa Melayu yang sememangnya sedang bergelut dengan jumlah khalayak yang kecil, mahu atau tidak terpaksa menerima hakikat bahawa kemasukan karya asing tersebut memberi impak yang besar.

Lebih malang, wujud dua kelompok pembaca yang membaca sastera Inggeris dan Melayu. Keadaan ini dalam jangka masa panjang boleh memberi kesan kepada pembentukan integrasi nasional secara tidak langsung.

Pembaca Melayu pastinya memilih karya-karya sastera berbahasa Melayu dan Inggeris. Namun, bagi pembaca bukan Melayu lebih cenderung menekuni sastera berbahasa Inggeris.

Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof. Rahman Shaari, apa yang menjadi persoalan sastera di Malaysia pada hari ini ialah tidak ada kelompok pembaca yang menekuni sastera Melayu dan Inggeris sekali gus.

“Kita berdepan dengan fenomena bahawa tidak ada kelompok pembaca yang membaca karya dalam kedua-dua bahasa sekaligus. Kalau ada pun jumlahnya terlalu kecil.

“Kebanyakan hanya membaca genre sastera dalam satu bahasa, sama ada Melayu atau Inggeris. Majoritinya pula lebih senang membaca karya-karya popular atau picisan. Ini sangat berbahaya untuk tempoh jangka masa panjang,’’ katanya.

Beliau berkata, timbul rasa bangga oleh kelompok yang menekuni sastera Inggeris seolah-olah membaca karya seperti itu merupakan satu prestij tersendiri tanpa mereka sedari ia mewujudkan jurang yang semakin lebar antara sastera Melayu dan Inggeris.

Katanya, dari satu aspek, kemasukan novel-novel berbahasa Inggeris tersebut akan memberi kesan positif kepada peningkatan keupayaan berbahasa Inggeris dan minat membaca masyarakat.

“Apa yang kita risau, ekoran daripada sambutan meluas terhadap karya-karya berbahasa Inggeris, syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri itu akan beralih kepada penerbitan karya bahasa itu.

“Ini boleh sahaja terjadi kerana sasaran pokok industri ialah keuntungan. Jika khalayak sastera berbahasa Inggeris lebih besar dan dilihat menguntungkan, pastinya penerbit akan beralih. Bila ini berlaku, ia sangat tidak baik untuk sastera Melayu,’’ tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, kemasukan karya asing yang serius dan mempunyai nilai-nilai sastera boleh dibenarkan kerana ia dapat memperkayakan sastera berbahasa Melayu.

Katanya, dengan membaca karya-

karya serius tersebut, penulis tempatan dapat mempelajari banyak aspek dalam penulisan. Antaranya konsep, pendekatan serta pemikiran penulis luar.

“Apa yang kita khuatir ialah kemasukan karya-karya picisan berbahasa Inggeris yang bertemakan cinta atau kehidupan bebas golongan remaja Barat. Ia pastinya akan memberi kesan kepada pembaca (golongan muda),’’ ujarnya.

Seorang lagi pensyarah sastera Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Mohd. Salleh Rahmad berkata, kemasukan karya-karya asing secara tidak terkawal akan mewujudkan jurang pembaca dua bahasa yang semakin melebar.

“Kita bimbang wujudnya jurang dengan nilai tersendiri kerana karya sastera asing hanya membawa budaya dan pemikiran yang luar daripada pemikiran Melayu serta Malaysia.

“Apabila keadaan ini berterusan, wujud jurang generasi muda di Malaysia yang terpisah dari segi akademik serta pemikiran akibat sastera dan dunia kreatif yang mereka cernakan itu,’’ katanya.

Oleh itu, beliau berkata, perlunya pengawasan yang lebih ketat daripada semua pihak supaya, hanya karya-karya yang bermutu dan mampu memberi impak positif kepada sastera tempatan sahaja dibawa masuk.

Sementara itu, pensyarah Akademi Pengajian Melayu, universiti sama, Prof. Madya Dr. Hashim Ismail berkata, dalam jangka masa panjang sastera Melayu akan terkubur jika karya-karya asing terus di bawa masuk tanpa had.

“Kita terpaksa mengakui, dalam jangka masa panjang, sastera Melayu akan kalah. Kemampuan berbahasa Inggeris di kalangan masyarakat Malaysia yang kian meningkat akan menguatkan lagi alasan ini.

“Kalau dilihat generasi muda hari ini mereka cenderung membaca karya-

karya berbahasa Inggeris tanpa mengira kaum. Alasannya cukup mudah, mereka menguasainya dengan baik akibat daripada sistem pendidikan yang ditawarkan,’’ katanya.

Hashim berkata, sastera dunia hari ini telah memasuki babak industrilisasi di mana penerbit-penerbit tidak lagi melihat sebagai tanggungjawab sosial sebaliknya memikirkan keuntungan semata-mata.

Katanya, orientasi sesebuah pemilik pencetakan ialah melebarkan pasaran karya sastera yang dicetak selagi ia diterima oleh masyarakat dunia.

“Apa yang berlaku di Malaysia hari ini (kemasukan karya sastera asing) merupakan sebahagian daripada industrilisasi iaitu penerbit-penerbit mencari pasaran untuk karya mereka.

“Mereka tidak pernah memikirkan kesan kepada khalayak pembaca di sesebuah negara setelah membaca sesebuah karya yang dipasarkan dan kita adalah kelompok yang terpaksa memikul kesan daripada proses itu,’’ tambah beliau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.