saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/02/2007

Kenapa masih tidak yakin?

MUKADIMAH
Benar atau tidak perangkaan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan, terus diperkatakan. Pelbagai andaian dan telahan dibuat. Malah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berasa hairan kenapa pelabur-pelabur asing boleh lebih yakin tentang pencapaian negara berbanding sesetengah rakyat Malaysia sendiri.

‘‘Modal pasaran saham sudah pun mencecah RM1 trilion. Peningkatan itu juga ditentukan oleh pasaran dan bukannya kerajaan.

‘‘Kita perlu belajar bersyukur di atas kemakmuran negara yang telah pun berjaya melalui ujian baik dari segi politik, ekonomi dan sosial sejak 50 tahun lalu,” kata beliau.

Nor Mohamed menyifatkan 1 September 1998 sebagai tarikh keramat yang menyaksikan pemimpin negara mengambil langkah yang bijak ketika berdepan dengan krisis kewangan Asia yang paling getir.

Pelaksanaan rejim kawalan pertukaran asing terpilih bukan hanya memberikan kekuatan untuk Malaysia bertahan dalam krisis tetapi menjadikan negara kuat dan mapan.

‘‘Ekonomi negara dijangka berada pada paras enam peratus tahun ini... kerajaan mempunyai duit (dana yang mencukupi) dan tidak timbul langsung isu (kerajaan) tidak ada duit,” jelas beliau dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia di pejabatnya.

Katanya, prestasi Malaysia terus menggalakkan sehingga menyaksikan perkembangan perdagangan antarabangsa RM1 trilion dan pasaran saham melonjak tinggi sekali gus meningkatkan hasil negara untuk diagihkan kepada rakyat dalam bentuk penyediaan peluang pekerjaan, perumahan dan kemudahan yang lebih baik.

‘‘Pertumbuhan ekonomi yang pesat bermakna keuntungan syarikat meningkat, sekali gus meningkatkan perolehan kerajaan kerana kerajaan mendapat hasil cukai yang lebih tinggi. Daripada perolehan cukai yang semakin tinggi ini, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat,’’ kata beliau lagi.

Pada masa yang sama, Menteri berkenaan juga berkongsi pandangan dengan wartawan Hassan MOHd. NOor, Mowardi Mahmud, SITI MARIAM MD. ZAIN, Ainul Asniera Ahsan dan Amran Ahmad tentang usaha kerajaan memantapkan ekonomi negara dan juga cabaran-cabaran yang sedang menunggu.

MINGGUAN: Kerajaan menyatakan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan tetapi ia terus dipertikaikan.

NOR MOHAMED: Tahun lalu, kita umumkan ekonomi negara dijangka berkembang melebihi jangkaan 5.8 peratus. Ada beberapa faktor yang menyumbangnya.

Pertamanya, sektor pembuatan – perkilangan dan pemprosesan – meningkat sebanyak 7.6 peratus. Ini bermakna kilang-kilang mengeluarkan hasil lebih tinggi daripada sebelumnya dan jumlah pekerja dan bahan digunakan juga bertambah. Data ini kita peroleh daripada pemilik kilang dan bukan rekaan kerajaan.

Keduanya, hasil keluaran komoditi utama negara juga meningkat. Keluaran minyak sawit mentah, misalnya bertambah daripada 14.9 juta tan pada tahun 2005 kepada 15.9 juta tan pada 2006 manakala getah pula melonjak daripada 1.16 juta tan pada tahun 2005 kepada 1.25 juta tan pada tahun 2006. Kita lihat bukan pengeluaran ini bertambah tetapi harga juga meningkat sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Ini menjadikan jumlah dagangan negara melepasi RM1 trilion pada tahun lalu. Negara juga mencatatkan lebihan dalam akaun dagangan dan akaun semasa.

Pada tahun 2006 juga menyaksikan kedatangan 17 juta pelancong asing ke Malaysia. Kehadiran mereka menyumbang kepada perkembangan sektor perkhidmatan negara termasuk perhotelan, perniagaan runcit, restoran dan kewangan.

Berdasarkan pencapaian pada tahun 2006 dan persekitaran ekonomi dunia yang dijangka tidak banyak berubah pada tahun 2007 selain inisiatif baru yang diperkenalkan, kita menjangkakan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini adalah 6 peratus. Dengan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan sistem penyampaian diperbaiki, kita yakin dengan (dapat mencapai) kadar itu.

Pada pandangan Tan Sri, kenapa terdapat pihak yang mempertikaikannya?

NOR MOHAMED: Saya tidak nampak mengapa terdapat orang masih mempertikaikan angka-angka itu kerana faktor feel good nampak jelas. Saya yakin tidak ramai yang tidak percaya dan lebih ramai yang percaya. Selalunya yang percaya tidak sebut mereka percaya. Saya percaya bilangan yang mempercayainya (silent majority) lebih ramai. Dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mencapai RM300 bilion dalam dua tiga minggu ini. Dan, duit itu digunakan oleh KWSP dalam banyak projek (dilaburkan), saham, sekuriti. Jadi tidak timbul isu kerajaan dan badan-badan kerajaan tiada duit. Ini belum mengambil kira dana Permodalan Nasional Berhad, Khazanah Holdings Bhd., dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Ini bermakna kerajaan tidak memerlukan pinjaman luar.

NOR MOHAMED: Kerajaan memiliki begitu banyak duit. Pinjaman luar tidak menjadi isu. Isu ialah memastikan kita belanja duit rakyat ini dengan cara yang berhemah dan memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Sejak merdeka lagi, kita telah memutuskan untuk tidak membuat pinjaman luar negara bagi perbelanjaan mengurus. Kita akan memastikan hasil kita cukup untuk perbelanjaan mengurus dan lebihannya kita gunakan untuk perbelanjaan pembangunan. Mungkin kita pinjam sedikit untuk pembangunan tetapi dipinjam dari sumber dalam negara dan kalaupun ada di luar negara, ia sekadar memperkenalkan Malaysia kepada pihak luar (visibility) dan kita juga membayar lebih awal pinjaman yang dibuat.

Jadi prestasi keseluruhan ekonomi negara benar-benar baik?

NOR MOHAMED: Ya, prestasi keseluruhan ekonomi memang baik. Adakah semua sektor terlalu baik? Tentunya tidak. Ada sektor yang berkembang lebih daripada enam peratus dan ada yang berkembang pada kadar yang lebih rendah. Sektor yang mengalami penguncupan ialah industri automotif, ini satu kenyataan kerana jualan kenderaan penumpang menurun berbanding 2005. Bagaimanapun kita yakin sektor ini akan pulih pada tahun ini.

Kita perlu belajar bersyukur di atas kemakmuran negara setelah berjaya melalui ujian baik dari segi politik, ekonomi dan sosial sejak 50 tahun lalu. Ketika berlakunya krisis kewangan 1997/1998, 1 September 1998 menjadi tarikh keramat apabila pemimpin negara mengambil langkah yang bijak dalam menangani krisis yang paling getir itu. Pelaksanaan rejim kawalan pertukaran asing terpilih bukan hanya memberikan kekuatan untuk Malaysia bertahan dalam krisis berkenaan tetapi menjadikan negara kuat dan mapan.

Sejauh mana tahap keyakinan pelabur asing terhadap kita?

NOR MOHAMED: Tahap keyakinan pelabur kita memang tinggi, domestik atau asing. Pencapaian ekonomi yang saya sebutkan awal tadi meyakinkan pelabur dari dalam dan luar negara. Itulah kayu pengukur kejayaan kita dalam menguruskan ekonomi negara. Pelabur tidak akan mengambil risiko kewangan untuk melabur sekiranya mereka tidak yakin. Dan, tanpa pelaburan swasta dari dalam dan luar negara, pertumbuhan ekonomi tidak akan berlaku dan kesan daripadanya ialah pertambahan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kekayaan.

Ada juga yang tidak gembira dengan cara kerajaan berbelanja.

NOR MOHAMED: Kerajaan telah menguruskan kewangan awam dengan berhemah walaupun berbelanja dengan banyak untuk rakyat. Kadar defisit belanjawan negara berkurangan daripada 5.7 peratus pada tahun 2000 kepada 3.5 peratus pada tahun 2006. Kita juga telah membuat unjuran pada tahun- tahun akan datang dalam RMK-9 kita akan capai kadar defisit yang lebih stabil iaitu pada 3.4 peratus. Pencapaian kerajaan ini dan prestasi petunjuk-petunjuk ekonomi yang baik iaitu dengan lebihan dagangan, peningkatan rizab negara dan kadar inflasi yang rendah, semuanya menyumbang kepada peningkatan keyakinan.

Perubahan pada mata wang ringgit juga ada memberi kesan kepada tekanan inflasi. Kadar tukaran ringgit dengan dolar Amerika Syarikat (AS) mencecah kadar tertinggi sejak ia dibebaskan daripada tambatan RM3.80 bagi setiap dolar AS. Kini kadar itu berada pada nilai RM3.49 setiap dolar AS. Kekuatan ringgit ini adalah berdasarkan keyakinan pelabur pada masa depan ekonomi negara. Ini adalah penghakiman pasaran, bukan ditentukan kerajaan. Kita harus sedar bahawa kekuatan ringgit juga meringankan tekanan inflasi dalam negara dan ini memberi manfaat kepada semua pihak khususnya para pengguna.

Adakah peningkatan bursa saham tempatan bukti keyakinan pelabur asing?

NOR MOHAMED: Keyakinan pelabur juga boleh dilihat dari segi pencapaian pasaran saham di Bursa Malaysia. Indeks Komposit telah mencecah 1,270 mata, kadar tertinggi sejak 10 tahun. Modal pasaran juga sudah mencecah RM1 trilion. Pencapaian ini menghampiri rekod terbaik dan tertinggi yang pernah kita capai dalam sejarah iaitu 1,314 mata pada 5 Januari 1994. Pertumbuhan pinjaman yang dikeluarkan oleh sistem perbankan negara juga berkembang pada kadar 6.3 peratus iaitu pada kadar melebihi daripada unjuran pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

Ini juga satu petanda baik kerana pertumbuhan pinjaman bermakna syarikat meminjam untuk melabur di dalam pengeluaran masa depan. Ini bermakna segala usaha kita untuk membaik pulih ekonomi negara sejak krisis ekonomi 1998 telah berjaya dan kedudukan ekonomi sekarang berada pada tahap yang memungkinkan pertumbuhan di masa depan. Laporan Bank Dunia menunjukkan kita berada di tangga keempat daripada 175 negara dari segi perlindungan pelabur. Kita akan terus memperbaiki pencapaian ini dan dengan kekuatan asas ini, risiko juga dapat dikawal dengan lebih baik.

Tidakkah lonjakan tinggi dalam pasaran saham membimbangkan kerana terdapat kemasukkan hot money?

NOR MOHAMED: Pelabur-pelabur asing ini cerdik, kalau mereka tidak mendapat untung, tidak yakin dengan kekukuhan asas ekonomi kita, mereka tidak akan melabur di negara kita. Mereka mempunyai banyak tempat lain untuk melabur seperti di China, Vietnam, India, Thailand, Indonesia dan sebagainya. Tetapi mereka tetap memilih kita, menunjukkan mereka yakin. Itu yang kita pelik sedikit sebab orang lain yakin tetapi (kadang-kadang) orang kita pula yang tidak yakin.

Hot money atau wang jangka pendek dalam pasaran saham memang ada tetapi tidak banyak. Satu lagi ialah apabila ia masuk mungkin setelah melihat ekonomi negara kita elok, ia mungkin akan menjadi long term money pula.

Apakah kesan positif ekonomi kepada rakyat di peringkat akar umbi?

NOR MOHAMED: Pertumbuhan ekonomi juga bermakna keuntungan syarikat meningkat, sekali gus meningkatkan perolehan kerajaan kerana kerajaan mendapat hasil cukai yang lebih tinggi. Daripada perolehan cukai yang semakin tinggi ini, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat. Sebahagian besar perbelanjaan pembangunan kerajaan ini disalurkan kepada mereka yang berpendapatan rendah. Ini bermakna kita memperoleh hasil cukai daripada mereka yang berpendapatan tinggi dan mengagihkan kepada mereka yang berpendapatan rendah melalui perbelanjaan pembangunan. Kita juga mengamalkan dasar pencukaian yang progresif yang bermakna mereka yang berpendapatan lebih tinggi membayar kadar cukai yang tinggi.

Pengurusan berhemah berjaya mengekalkan kadar inflasi berada di paras rendah iaitu 3.6 peratus pada 2006, kadar inflasi yang rendah juga memanfaatkan semua pihak. Seperti yang saya sebutkan awal tadi, kekuatan nilai tukaran asing ringgit menyumbang kepada pengekalan kuasa beli pengguna keseluruhannya. Cabarannya ialah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat negara ini. Pengurusan ekonomi yang berhemah dan penyertaan swasta akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Ini bukan satu perkara yang mudah dan boleh berlaku dengan sendiri tetapi kita berjaya melakukannya. Yang menjadi cabaran ialah untuk memastikan matlamat agihan pertumbuhan ini tercapai.

Bagaimanakah cara kerajaan memastikan berlakunya pertumbuhan sama rata?

NOR MOHAMED: Ada beberapa strategi yang diperkenalkan untuk memastikan pertumbuhan sama rata di dalam RMK-9. Antaranya pengenalan tiga koridor baru pertumbuhan ekonomi – di utara, selatan Johor dan pantai timur. Konsep asas koridor pertumbuhan ini adalah penjanaan proses pertumbuhan di kawasan luar bandar atau separa bandar dengan mengambil kesempatan daripada kerancakan pertumbuhan ekonomi di pusat-pusat pertumbuhan. Kerajaan Pusat memulakan perancangan dan pelaksanaan inisiatif pembangunan di kawasan ini dengan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri yang berkenaan. Dengan strategi ini, kesan pertumbuhan ekonomi akan lebih tersebar dan matlamat agihan akan tercapai.

Masalahnya, rakyat kini bergelut dengan kos kehidupan yang meningkat?

NOR MOHAMED: Kita sedar ada rakyat mengalami kesan akibat kenaikan harga terutama mereka yang gaji tetap seperti kakitangan kerajaan dan pekerja yang bergaji rendah. Kumpulan ini memerlukan perumahan kos mampu milik dan selesa serta pengangkutan untuk bekerja. Kerajaan menubuhkan Syarikat Prasarana Negara Bhd., untuk mewujudkan sistem pengangkutan kelas pertama kerana sedar kualiti dan kos hidup bergantung kepada sistem pengangkutan yang cekap. Penjimatan pengurangan subsidi minyak misalnya disalurkan untuk membaiki sistem pengangkutan awam.

Kerajaan memiliki syarikat Rapid KL untuk menyediakan pengangkutan awam pada kos lebih murah. Sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang juga akan disediakan oleh anak syarikat Rapid KL iaitu Rapid Penang. Bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan memastikan nasib mereka terbela, kerajaan telah meningkatkan jumlah biasiswa kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah dan menghapuskan yuran peperiksaan. Pelaburan yang dibuat untuk memperbaiki dan mewujudkan satu sistem pengangkutan baik di Lembah Klang ialah RM10 bilion untuk tahun 2006- 2010 dan ini akan memberi manfaat secara langsung kepada golongan berpendapatan rendah. Dari segi perumahan, Syarikat Perumahan Negara Bhd. telah membina begitu banyak rumah mampu milik dengan jumlah setakat sekarang ialah 3,995 buah.

Tapi, Tan Sri, masalah rakyat bukan semuanya berlegar pada pengangkutan dan perumahan.

NOR MOHAMED: Cara yang terbaik untuk mengatasinya adalah memastikan semua berada di arus utama ekonomi negara ialah dengan meningkatkan keupayaan. Itulah sebabnya kita sentiasa menekankan kepada pembangunan sumber manusia. Kerajaan bukan sahaja menguruskan ekonomi dengan baik dan merangsang penyertaan swasta tetapi memastikan rakyat dapat turut serta dalam arus utama ekonomi negara. Oleh itu kita mengagihkan sebahagian besar perbelanjaan kerajaan kepada usaha untuk mendidik, melatih dan membangunkan sumber manusia. Tetapi kejayaan ke arah ini bergantung kepada kesanggupan kita untuk mengambil kesempatan daripada peluang- peluang yang ada. Oleh itu, rakyat juga harus meningkatkan usaha untuk membangunkan diri untuk seiring dengan pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh.

Selain daripada pembelajaran dan pembangunan kemahiran, rakyat juga harus membentuk sikap keusahawanan yang menjadikan mereka peserta ekonomi di peringkat lebih bermakna. Pulangan kepada keusahawanan sudah tentu jauh lebih tinggi daripada bekerja dan di dalam pekerjaan pun perbezaan pendapatan di antara mereka yang berkemahiran dan sebaliknya adalah tinggi. Kemahiran ini bukan sahaja kemahiran teknikal tetapi juga kemahiran komunikasi dan berinteraksi.

Apakah cabaran utama negara pada masa depan?

NOR MOHAMED: Cabaran utama negara ialah persaingan dari negara-negara lain. Iklim pelaburan negara mestilah lebih baik berbanding dengan negara pesaing. Ini melibatkan sistem insentif pelabur serta kecekapan birokrasi kerajaan. Pekerja Malaysia mesti lebih produktif, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bermutu.

Tahap pengetahuan dan kemahiran pekerja mesti lebih baik daripada Thailand, Vietnam, India dan China. Ini adalah cabaran hebat dan rakyat perlu menyedarinya. Persekitaran negara kita, kebersihan, kualiti alam sekitar dan keselamatan mesti lebih baik.

Jika kita tahu secara khusus bentuk cabaran yang kita akan hadapi kita boleh bersiap secara khusus untuk berdepan dengannya. Masalahnya, kita tidak tahu mungkin boleh pasti dengan bentuk cabaran yang akan kita hadapi kerana satu ciri perubahan ialah ketidakpastian sendiri.

Yang penting, kita tidak boleh berlapang dada. Perjalanan masih jauh, tugas kita masih banyak lagi. Kita perlu terus memakmurkan Malaysia agar ia dapat mencapai teras negara maju, membasmi kemiskinan ke akar umbi dan menjana satu budaya bangsa yang murni, sanggup bekerja keras dan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hidup.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:14
Asar 4:38
Maghrib 7:22
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.