saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/02/2007

Ekonomi: Mengakulah kita di landasan betul

KESEMPATAN berbual dengan rakan-rakan semasa menghadiri beberapa majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina memberikan saya ruang untuk melihat perubahan besar persepsi umum terhadap kedudukan ekonomi negara. Ini jelas berbeza ketika perayaan yang sama diraikan tahun lalu, di mana moodnya agak muram dan ramai yang mempertikaikan keupayaan kerajaan dalam menguruskan ekonomi. Usaha untuk mengurangkan defisit perbelanjaan negara dikritik kerana kononnya ibarat menabur pasir ke dalam periuk nasi sektor swasta yang selama ini makanan rujinya adalah projek-projek pembinaan. Apa yang tidak mahu difahami oleh pengkritik-pengkritik ialah bahawa pendirian kerajaan ini diambil semata-mata kerana ingin memastikan agar pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) tidak akan terbantut akibat dana yang tidak mencukupi. Apakah salah pendirian tersebut?

Namun, hari ini kita melihat falsafah dan pendekatan pengurusan ekonomi yang diamalkan oleh Perdana Menteri dan Kabinetnya, menghasilkan suasana yang lebih meyakinkan. Seingat saya, tidak ada lagi rungutan yang disuarakan semasa perayaan Tahun Baru Cina ini – satu keadaan yang jauh beza dari tahun lepas. Sebaliknya, topik-topik perbualan yang menjadi pilihan mereka berkisar kepada indeks komposit Bursa Malaysia yang meningkat naik dan potensi pertambahan syarikat asing yang akan melabur di Malaysia yang secara tidak langsung, akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk generasi muda kita.

Alhamdulillah, belum sampai setahun RMK-9 dibentangkan di Parlimen, kerajaan telah berjaya mengembalikan faktor suasana ceria atau feel good factor yang telah tidak dirasai sejak pilihan raya umum 2004 berlalu. Suasana ceria ini pastinya berpunca dan bersandarkan kepada beberapa pengumuman angka ekonomi yang begitu menggalakkan, sekali gus membuktikan bahawa ekonomi negara hari ini berada pada landasan kedudukan yang lebih kukuh berbanding tahun lalu.

Antara angka terkini menunjukkan indeks komposit berada pada tahap 1,278.22 mata, tahap yang terbaik dalam tempoh 13 tahun yang lalu ini. Betapa berbezanya angka ajaib ini jika dibandingkan dengan 262.7 mata pada tahun murung 1998. Apa yang lebih menggalakkan ialah pemangkin kepada anjakan besar ini ialah penyertaan pelaburan asing yang merupakan terjemahan keyakinan mereka kepada institusi ekonomi dan pasaran modal negara. Malah berdasarkan peningkatan yang telah dicatatkan, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk sasaran 1,350 mata direalisasikan, lebih-lebih lagi dengan pembelian saham oleh pelabur tempatan yang mula ‘beraksi’ dalam pasaran modal mengikuti jejak langkah institusi pelaburan gergasi antarabangsa yang melihat Bursa Malaysia (BSKL) sebagai destinasi paling polular pada tahun 2007 dengan volume atau jumlah perdagangan yang paling tinggi dalam sejarah BSKL.

BSKL tidak dilihat sebagai pasaran yang terlalu ‘mahal’, malah beberapa penganalisis pasaran modal berpendapat bahawa ada banyak lagi ruang untuk indeks komposit BSKL meningkat dalam masa yang terdekat. Angka-angka lain juga agak menakjubkan. Jumlah perdagangan bagi tahun 2006 satu trilion ringgit, jelas membuktikan bahawa Malaysia masih mempunyai daya saing sebagai negara perdagangan. Kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan FDI juga tetap kukuh dengan permohonan pelaburan yang meningkat berbanding dengan tahun lepas. Kadar inflasi terus dikawal dan ini menyebabkan Bank Negara tidak menaikkan kadar faedah untuk membuka ruang kepada sektor swasta meningkatkan lagi pelaburan dan perbelajaan supaya ekonomi negara tidak terlalu bergantung kepada perbelanjaan kerajaan.

Namun, apakah peningkatan BSKL dan angka-angka eknomi yang lain ini satu peningkatan yang mandiri? Bagaimana pula dengan tanggapan sistem kerajaan yang dianggap lembap dan birokratik? Sememangnya seperti tahun lalu, ketika kerajaan sedang berpeluk tubuh dan tidak menang tangan berusaha untuk memastikan agar perancangan dan pelaksanaan RMK-9 dapat dijalankan dengan berkesan, banyak suara pesimis lantang mengecam bahawa penurunan kedudukan Malaysia dalam ranking kompetitif dunia adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan dalam menguruskan negara. Namun, ke manakah perginya suara-suara lantang itu tahun ini apabila laporan yang sama melaporkan bahawa Malaysia berjaya meningkatkan kedudukan sebanyak lima anak tangga, dari tangga ke-28 ke tangga ke-23? Bagaimana mungkin suara yang begitu lantang mengkritik dulu, senyap membisu di kala ini?

Saya kira, penyumbang terbesar kebisuan ini adalah kerana laporan tersebut turut menyebut bahawa peningkatan ini berpunca daripada keberkesanan usaha kerajaan dalam membaik pulih sistem agar sistem penyampaian sektor awam yang lebih berkesan dapat diberikan. Walaupun perubahan positif ini menampakkan kejayaan, jelas kerajaan masih tidak berpuas hati dan masih terus aktif untuk melonjak ke hadapan. Kenyataan Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini yang mengatakan bahawa Pemudah sedang berusaha untuk mencari jalan pintas bagi mengatasi masalah birokrasi dan kesesakan, sekali gus memperbaiki sistem penyampaian sewajarnya dijadikan sebagai penanda bahawa kerajaan yang ada sekarang, komited dalam mengatasi masalah legasi berkaitan sistem penyampaian kerajaan, masalah yang telah sekian lama diwarisi.

Kita juga melihat perkembangan yang positif di atas pentas global. Kedudukan China sebagai sebuah kuasa besar ekonomi merupakan satu hakikat yang tidak boleh disangkal lagi. Setelah China membuka pintu ekonominya kepada dunia luar, pelabur dari seluruh dunia memperuntukkan begitu banyak masa, modal dan tenaga untuk menjayakan perniagaan di negara yang mempunyai pasaran terbesar di dunia. Bayangkan persaingan merebut peluang yang terpaksa negara kita hadapi berbanding gergasi-gergasi luar yang mempunyai teknologi, dana dan kepakaran yang jauh lebih tinggi. Pastinya ramai yang menjangkakan kita akan ketinggalan. Walau bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh Grant Thornton menunjukkan, syarikat Malaysia hanya ketinggalan dengan Hong Kong (yang sebenarnya merupakan sebahagian dari China) dari segi limpahan impak positif hasil kemewahan ekonomi China. Wawasan dan pendekatan-pendekatan awal kerajaan untuk menjalinkan hubungan erat dengan negara China bagi mempelbagaikan perdagangan dan mengurangkan pergantungan kepada Amerika Syarikat telah memberi batu loncatan kepada sektor korporat kita untuk mencuba nasib di negara China.

Pada masa yang sama, ada juga desas- desus segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga minyak, kenaikan harga tol dan sebagainya. Namun, bukankah peningkatan itu merupakan harga sebuah negara yang membangun dengan sumber asli yang terhad kerana realitinya, apakah yang datang dengan percuma? Tambahan pula, bukankah sesuatu yang wajar diterima jika kenaikan harga tersebut berpunca daripada pengurangan subsidi, agar wang kerajaan dapat diperuntukkan kepada perkara-perkara yang lebih memerlukan, yang lebih bersesuaian seperti pembinaan sekolah, hospital dan jalan-jalan kampung di kawasan pedalaman? Dan perlukah kita terus mengecam dan mengkritik sedangkan Malaysia masih merupakan negara yang paling murah untuk didiami?

Hakikatnya, ini bukanlah retorik yang tidak berasas. Inilah hakikat yang terbukti hasil kajian yang dilakukan oleh UBS, sebuah bank bertaraf dunia. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa Kuala Lumpur merupakan bandar termurah untuk didiami berbanding 71 bandar-bandar utama yang lain. Ini menunjukkan walaupun kerajaan berani untuk mengurangkan subsidi dan menerima pelbagai cemuhan, Malaysia masih lagi merupakan negara yang paling murah dari segi kos sara hidup.

Beberapa laporan terkini yang dikeluarkan baru-baru ini juga turut memperlihatkan kejayaan penyusunan semula Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Sudah tentu keputusan penyusunan semula ini akan mengambil masa yang panjang, tetapi tahap kewangan GLC seperti Bumiputra- Commerce Holdings Bhd., yang berjaya meningkatkan modal pasarannya dari RM2.29 bilion pada tahun 1998 kepada RM31.52 bilion, mencerminkan kejayaan usaha ini. Peningkatan yang dicatakan bukan dari aspek modal pasaran sahaja. GLC seperti Malayan Banking Bhd., pula berjaya mencatakan keuntungan sebanyak RM4.3 bilion berbanding dengan RM553.3 juta pada tahun 1998.

Sudah tentu proses penyusunan semula ini akan mengambil masa. GLC seperti Proton masih belum mencapai tahap optimalnya tetapi berkat tindakan kerajaan membenarkan Proton berunding dengan pembuat kereta asing akan memberikan keyakinan kepada pelabur bahawa usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini bukan sekadar menanam tebu di bibir mulut.

Bak kata pepatah, kalau tiada rotan akar pun jadi. Kalau sudah terdesak dan kekurangan modal, apa sahaja pun jadi. Masih ada juga segelintir pihak yang cuba meracuni fikiran umum bahawa kononnya, angka-angka kejayaan ekonomi ini merupakan sesuatu yang direka-reka dan kemudiannya digembar-gemburkan untuk tujuan politik. Persiapan pilihan raya umum kononnya akan diadakan dalam masa yang terdekat. Tetapi sebagai rakyat yang bijak dan rasional, pastinya kita sedar bahawa bagaimana mungkin fakta dan data ini dibuat dan direka-reka. Sesungguhnya, angka BSKL merupakan proksi terbaik sentimen pelabur, baik tempatan mahupun asing, bagi melihat nilai pelaburan di negara kita.

Tiada siapa yang menafikan bahawa masih banyak lagi yang perlu diperbaiki, bahawa jalan menuju kejayaan itu masih perlu terus diredahi. Kita masih jauh untuk berasa berpuas hati. Namun, dalam kita merentas liku-liku perjalanan dan perjuangan ini, kita perlu mengakui hakikat, memberikan pengiktirafan kepada yang selayaknya. Hakikatnya, indikator ekonomi, indeks kompetitif antarabangsa dan semua kejayaan-kejayaan lain yang kita peroleh tidak datang bergolek, tidak muncul dengan sendiri. Ianya menuntut perancangan dan pelaksanaan yang bijak dan teliti serta dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Yang pasti, ia menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang betul dan mengapa tidak kita mengakuinya.

- PENULIS ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:24
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.