saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 10/03/2007

6 maut nahas bas -- 20 cedera parah kenderaan dinaiki terbabas, terbalik dalam gaung


KEADAAN bas ekspres Ipoh-Taiping yang remuk selepas terbabas dan terbalik ke dalam gaung di Kilometer 254, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kuala Kangsar menyebabkan enam penumpangnya maut dan 20 yang lain cedera parah, semalam. – Gambar MOHD NAJIB MOHD NOR.


KUALA KANGSAR 9 Mac – Enam penumpang sebuah bas ekspres terbunuh manakala 20 yang lain cedera parah apabila bas berkenaan terbabas dan terbalik ke dalam sebuah gaung di Kilometer 254, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak di sini hari ini.

Bagaimanapun, sehingga tengah malam ini, identiti mangsa yang terkorban termasuk lima wanita dalam kemalangan berhampiran tapak perkuburan lama Kampung Rambai Tujuh itu masih belum dikenal pasti.

Kesemua mangsa yang terkorban dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat manakala 15 mangsa yang cedera parah dirawat di Hospital Kuala Kangsar dan lima lagi di Hospital Ipoh.

Pemandu bas terbabit yang dipercayai cedera ringan menghilangkan diri dan belum membuat laporan polis sehingga kini.

Bas ekspres yang bertolak dari Medan Kidd, Ipoh pada pukul 5.30 petang itu dipercayai membawa kira-kira 40 penumpang.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Zakaria Pagan berkata, lebih 30 penumpang terperangkap dalam bas ketika kejadian pada pukul 6 petang itu sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Kuala Kangsar tiba 15 minit kemudian.

Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika bas ekspres tersebut cuba mengelak dua buah kenderaan di depannya yang terlibat kemalangan dalam keadaan jalan licin kerana hujan renyai-renyai.

‘‘Bas ekspres tersebut kemudian terbabas ke tepi jalan lalu merempuh penghadang jalan sebelum terbalik di bawah tebing setinggi lima meter sehingga menyebabkan banyak mangsa terperangkap dalam bas,” kata Zakaria kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, kerja-kerja menyelamat membabitkan lebih 50 anggota bomba, polis dan pasukan perubatan dari Ipoh dan Kuala Kangsar mengambil masa lebih sejam kerana kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

‘‘Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai,” katanya.

Dalam itu, polis meminta penumpang yang terselamat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di talian 05-7767222 untuk membuat laporan.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang terselamat, Mohd. Noor Jaafar, 40, ketika ditemui berkata, bas itu terbalik setelah cuba mengelak daripada melanggar dua buah kereta yang terbabit dalam kemalangan.

Katanya, kemalangan itu berlaku sebaik sahaja bas ekspres itu menuruni sebuah cerun yang curam dan dalam keadaan jalan licin.

‘‘Selepas bas itu cuba mengelak kereta di depan yang terbabit dalam kemalangan, bas itu melanggar pembahagi jalan dan terbalik dengan keempat-empat tayar di atas.

‘‘Saya nampak ada mayat penumpang perempuan di tempat duduk belakang saya yang tersepit.

‘‘Sebelum kejadian, saya fikir bas dipandu dengan kelajuan biasa tetapi mungkin keadaan jalan yang licin menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa terselamat, Kasmawati Azmi, 25, berkata, semasa kejadian dia merasakan bas tersebut hilang kawalan sebaik sahaja menuruni cerun yang curam.

‘‘Bas tersebut terhuyung-hayang setelah cuba mengelak dua buah kenderaan di hadapan dan dalam sekelip mata bas tersebut terbalik,” katanya.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.