saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/03/2007

Sekolah kluster milik rakyat

SEKOLAH kluster tidak akan membebankan rakyat atau pentadbiran sekolah, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sekolah), Alimuddin Mohd. Dom.

Beliau bersetuju bahawa pada akhirnya pertimbangan wang ringgit akan menentukan kejayaan pelaksanaan, tetapi tidaklah sehingga membiarkan masalah itu ditanggung bulat-bulat oleh pelanggan dan pelaksana.

‘‘Kita akan memikirkan secara serius akan isu-isu seperti peruntukan kewangan dan yuran sekolah kluster, walau ia ditadbir mirip sebuah sekolah swasta,” ujarnya.

Beliau membayangkan jumlah yuran sekolah kluster kelak akan tertakluk kepada budi bicara pengetua atau guru besar.

‘‘Mungkinlah naik sedikit, tetapi tidaklah daripada RM6 kepada RM100,” tegas beliau.

Berdasarkan pengalaman sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor yang menerima sumbangan sehingga RM1 juta daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta sebuah sekolah harian biasa di Perak yang guru-gurunya menerima RM4,000 setiap bulan ihsan PIBG, maka beliau menggambarkan sekolah kluster mampu melaksanakan beberapa terma rujukan yang menjadi asas penubuhannya dengan sokongan pihak luar.

Kata Alimuddin, dalam kes sekolah di Petaling Jaya itu, duit berkenaan digunakan untuk pembangunan infrastruktur sekolah, sementara di Perak, duit berkenaan digunakan untuk membiayai guru yang mengajar tuisyen.

Sebagai bekas pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Alimuddin memberikan contoh lain, Persatuan Bekas Pelajar MCKK (MCOBA) pernah membiayai seorang jurulatih dari New Zealand untuk sukan berkenaan di MCKK.

Berdasarkan pengalaman itu, Alimuddin mencadangkan bakal sekolah kluster mengambil jurulatih import untuk melatih pelajar dalam sukan-sukan tertentu.

‘‘Kita akan bersama-sama memikirkan kosnya,” kata Alimuddin.

Malah, katanya Kementerian Pelajaran boleh menimbangkan cadangan supaya segala sumbangan untuk pembangunan sekolah kluster mendapat pengecualian cukai pendapatan.

Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pelajaran tidak akan berpeluk tubuh, dan akan memikirkan beberapa subsidi kepada sekolah kluster menghadapi masalah kewangan.

Menurut Alimuddin, hal ini selaras dengan prinsip asas sekolah kluster ialah mengelakkan elitism – dengan semua pihak akan berada dalam ‘padang permainan yang sama’.

‘Kluster’, katanya ialah sebuah sekolah terbaik daripada setiap kategori sekolah, yang akan dipilih dan diberi kuasa autonomi, walaupun sekolah itu dalam kategori pendidikan khas, pedalaman atau sekolah Orang Asli.

‘‘Walau pencapaian sekolah Orang Asli rendah berbanding sekolah berasrama penuh, tetapi kita tidak akan menganaktirikannya dan tetap akan ada sekolah kluster Orang Asli,” tegas beliau.

Menurut Alimuddin, perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan kedudukan sekolah kluster dalam hierarki sekolah sebagai ‘terbaik dalam kalangan yang terbaik’.

‘‘Kalau ia kluster sekolah berasrama penuh, maka sekolah yang terpilih itu adalah yang terbaik dalam kalangan sekolah berasrama penuh di Malaysia,” katanya.

Beliau seterusnya membayangkan contoh sekolah kluster di pedalaman yang mungkin hanya sebuah, atau beberapa deretan bangunan papan, tetapi ada pelajarnya yang mencapai kejayaan sehingga ke peringkat daerah, negara atau antarabangsa.

Yang lebih penting daripada rupa bentuk fizikal, kata beliau ialah kecemerlangan sekolah kluster seharusnya bukan dalam lingkungan daerah atau tempatan sahaja, tetapi perlu mematuhi penanda arasan antarabangsa – setaraf sekolah antarabangsa dan sekolah swasta.

‘‘Dalam hal ini, kita merancang memilih 300 buah sekolah kluster untuk dipromosikan ke luar negara di bawah program Jabatan Pendidikan Swasta,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menolak kemungkinan untuk membuka pintu sekolah kluster kepada pelajar antarabangsa.

‘‘Seperti yang saya katakan tadi, sekolah kluster tidak mendapat 100 peratus autonomi, tetapi masih terikat kepada akta dan peraturan seperti mana sekolah kebangsaan,” katanya.

Kepada satu soalan, katanya, sekolah di bawah Kementerian Pertahanan dan Mara tidak terlibat di bawah program sekolah kluster.

Jadi, keutamaan tetap kepada anak warganegara Malaysia.

Mengulas lebih lanjut, Alimuddin memberitahu, kuasa autonomi yang akan diberikan turut diperluaskan kepada penjadualan waktu harian.

‘‘Sekadar contoh, sekolah kluster boleh memulakan persekolahan pada pukul 8 pagi, tetapi mesti balik lewat sedikit supaya cukup jam mata pelajaran,” katanya.

Tentang pendekatan pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah kluster, Alimuddin meletakkan pihak sekolah sebagai penentu hasil pembelajaran, dan terpulanglah kepada sekolah itu bagaimanakah untuk mencapainya.

‘‘Kalau sebelum ini guru kerap mengadu yang mereka terikat kepada sesuatu pendekatan P&P, maka pada kali ini kita serahkan kepada kreativiti mereka,” ujarnya.

Dalam senario di sekolah kluster, Alimuddin memberitahu, pengetua atau guru besar akan bertindak sebagai pengurus kurikulum. Pentadbir boleh mentadbir berdasarkan pendekatan pengurusan instructional atau lain-

lain ilmu pengurusan moden. Beliau juga menolak kemungkinan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) mentadbir sekolah kluster.

Malah, pengaruh kuasa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidi Negeri (JPN) turut dikecilkan apabila pihak sekolah diberi kuasa autonomi tertentu kelak.

Ditanya sama ada perlu dilakukan penggubalan kepada kurikulum di institut perguruan supaya menjurus kepada keperluan sekolah kluster, Alimuddin berkata, perkara itu tidak perlu dilakukan.

Katanya, Bahagian pendidikan Guru (BPG) akan memberikan latihan kepada bakal guru Sekolah Kluster, sementara pengetua dan guru besar akan tetap mendapat latihan khusus di Institut Aminuddin Baki - seperti mana sebelum ini.

Tentang pelantikan guru atau pengetua, hal itu akan diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kata Alimuddin.

Menurut beliau, pentadbir sebuah sekolah kluster perlu merancang, menetapkan sasaran dan tahu bagaimana menyediakan kertas cadangan bagi sasaran pencapaian sekolahnya.

Pihak sekolah sendiri yang akan menetapkan sasaran untuk dicapai, dan bagaimana hal itu hendak dicapai, ujar Alimuddin.

Bagi pihak Kementerian Pelajaran satu terma rujukan dan jaminan kualiti akan menjadi petunjuk yang mengiringi proses mencapai matlamat itu.

Kata beliau, jika idealisme konsep kluster tercapai, maka sekolah terpilih ini mesti bertindak membimbing sekolah di sekitarnya, khususnya yang di bawah kluster yang sama untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan nilai.

Beliau tidak menafikan bahawa kemungkinan yang akan berlaku ialah sekolah harian biasa dalam kluster yang sama akan menandingi sekolah kluster terpilih dalam bidang akademik dan kokurikulum.

‘‘Sebab itulah pada tahun ini kita lantik 300 buah dahulu, dan bakinya selepas itu adalah berdasarkan permohonan terbuka daripada pentadbir sekolah yang layak diangkat sekolah mereka menjadi sekolah kluster,” katanya.

Mengulas tentang pelbagai cadangan serta andaian yang agak berlebih-lebihan tentang sekolah itu, Alimuddin menegaskan bahawa ia tetap sebuah sekolah kebangsaan yang diberi beberapa autonomi untuk menjadi sekolah yang berada dalam kelasnya tersendiri.

Tegas beliau, sekolah kluster diikat dengan akta, peraturan kerajaan serta pekeliling. ‘‘Walau diberi autonomi, tetapi ia masih terikat (kepada undang-undang) untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.

Beliau menegaskan demikian kepada Utusan Malaysia selepas Bengkel Autonomi Sekolah Kluster di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Kata Alimuddin, tempoh selama tiga bulan diberikan kepada Kementerian Pelajaran untuk meneliti segala cadangan semasa bengkel.

Pada akhir bengkel itu, pernyataan autonomi dibahagikan kepada cabang kurikulum, kokurikulum, pengurusan sekolah, pengurusan kewangan dan fizikal serta pengurusan sumber manusia.

Bengkel disertai oleh warga sekolah serta pegawai Kementerian Pelajaran, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan alumni sekolah.

Aspek autonomi dalam kurikulum mencakupi cara penyampaian kurikulum, cara penilaian pembelajaran murid/kemajuan, cara laporan kemajuan murid, penjadualan waktu belajar/interaksi pembelajaran, tempoh masa pelaksanaan kurikulum, mata pelajaran peperiksaan kebangsaan (mata pelajaran selain mata pelajaran teras kurikulum kebangsaan) dan sebagainya.

Aspek kokurikulum pula mencakupi autonomi jenis kokurikulum yang dipersetujui PIBG, pemilihan penyertaan aktiviti kokurikulum, penjadualan masa pelaksanaan, bentuk penilaian dan laporan, pemilihan jurulatih dan sebagainya.

Bengkel turut membincangkan tentang autonomi dalam pengurusan sekolah yang mencakupi isu pengurusan inovatif, khidmat sokongan, instructional leadership dan sebagainya, serta pengurusan sumber kewangan dan sumber fizikal yang mencakupi pelbagai hal termasuk dana sekolah.

Turut disentuh ialah autonomi daripada perspektif sumber manusia, yang mencakupi;

pemilihan guru

penentuan sistem latihan

pemilihan dan pembangunan pemimpin pelapis

pemilihan sejumlah murid baru berasaskan niche areas

perkongsian kepakaran dalam kluster dan antara kluster, dan sebagainya.

Beliau mengingatkan bahawa matlamat utama penubuhan sekolah kluster ialah membangunkan modal insan sehingga ke satu kelas tertentu.

Modal insan, kata Alimuddin mengandungi tiga elemen yang asas iaitu ilmu (kemahiran akademik), kemahiran (soft-skill) dan nilai.

Katanya dalam melaksanakan segala agenda sekolah kluster, pengetua yang bakal terpilih nanti tidak boleh memberi alasan ‘‘tak boleh’' jika berdepan kesukaran. ‘‘Mereka kena fikir,” ujarnya.

Guru perlu meletakkan pemikiran mereka ke satu aras yang tinggi dalam segala aspek. Sebagai contoh, pengetua atau guru besar, sebagai ketua dan pentadbir kurikulum di sekolah masing-masing perlu membangunkan kurikulum sehingga berkemampuan meminjam dan menerapkan kurikulum antarabangsa di sekolahnya.

Alimuddin memberi contoh program LCCI, ACCA, CIMA, IB dan sebagainya.

Idea mewujudkan Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) di negara telah disuarakan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam Mesyuarat Kerenah Birokrasi pada 3 April tahun lepas.

Pewujudan sekolah kluster ini sesuai dengan pendekatan kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan sehingga membolehkan guru dan pelajar mengangkat nama dan sistem pendidikan negara di mata dunia.

Sekolah kluster ialah sekolah yang cemerlang dalam klusternya dari aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid.

Antara lain, sekolah ini dibangunkan supaya boleh dicontohi oleh sekolah dalam kelompok yang sama dan sekolah lain di luar kelompok dan menjadi showcase di peringkat antarabangsa.

Sekolah dikelompokkan dalam kluster seperti berikut:

Sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Orang Asli).

Sekolah menengah (sekolah berasrama penuh, sekolah menengah teknik, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah menengah harian, sekolah premier, sekolah 100 tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya dan Sekolah Model Khas)

Sekolah pendidikan khas

Institut lepasan menengah (kolej matrikulasi, institut pendidikan guru)

Sekolah antarabangsa dan sekolah swasta.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.