saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/03/2007

Konsert Bahtera Merdeka kemuncak kerjaya Ahmad Jais


AHMAD Zahid Hamidi menyuapkan kek kepada Ahmad Jais sebagai meraikan sambutan ulang tahun ke-71 penyanyi itu yang diadakan secara mengejut oleh pihak Istana Budaya selepas selesai Konsert Bahtera Merdeka baru-baru ini. Turut hadir memeriahkan ialah beberapa penyanyi 60-an seperti Jeffrydin (kanan) dan Datuk A. Rahman Hassan (dua dari kanan).


FENOMENA Ahmad Jais. Bagi para peminatnya, tiada yang lebih indah pada malam-malam hujung minggu lalu selain menyaksikan seniman itu beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Betapa pakcik-makcik, golongan berusia termasuk mereka yang bertitle VIP bertepuk tangan dan bergoyang badan berhibur mengiringi persembahan Ahmad Jais di pentas.

Tepukan gemuruh, siulan malah sorakan terdengar sepanjang dua setengah jam konsert berlangsung.

Dan saat dia melontarkan kata-kata ‘saya ini bukan penyanyi veteran tetapi penyanyi antik,’ dewan bertaraf dunia itu bergegar dengan tepukan peminat yang rata-rata hadir bukan sahaja daripada kalangan mereka yang berusia malah anak muda yang menggemari lagu-lagu popular malar segarnya.

Sememangnya sepanjang 46 tahun bergelar artis rakaman, kata Biduan Datuk Ahmad Jais, penganjuran Konsert Bahtera Merdeka yang berlangsung selama tiga malam berturut-turut di Panggung Sari bermula Jumaat lalu merupakan antara saat paling manis lagi membahagiakan dalam hidupnya sebagai anak seni.

Bergelar

Bukan sahaja kerana persembahan itu bagi meraikan sambutan lebih empat dekad dirinya bergelar anak seni dan dipentaskan pula di dewan bertaraf dunia, lebih penting, ia juga adalah bersempena sambutan Jubli Emas kemerdekaan negara.

Pun begitu, biar punya pengalaman dan nama gah di pentas hiburan sejak bergelar penyanyi rakaman pada 1965, Ahmad Jais yang menyambut ulang tahunnya yang ke-71 hari ini ( 28 Mac) tetap mengakui, setiap malam memberinya gentar rasa berbeza.

Tidak hairanlah kalau dia secara berseloroh kala di pentas mengumpamakan dirinya seperti kereta buatan tahun 60-an yang sudah tidak ada spare parts (alat ganti) lagi.

“Apa yang paling menakutkan saya ialah tahap kesihatan. Jika kesihatan tidak baik, suara menjadi tidak sedap. Apalagi lagu-lagu saya kebanyakannya bernada tinggi,” katanya.

Dan dia berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu hebat sekali membuatkan sepanjang tiga malam itu, penonton yang memenuhi ruang dewan terpesona dengan lontaran vokalnya yang lantang dan penuh bertenaga.

Menyampaikan lebih 20 buah lagu secara solo di samping lagu duet dengan penyanyi undangan tetap iaitu Liza Aziz dan Haziq (AF4) serta penyanyi undangan khas seperti Datuk Siti Nurhaliza pada malam pertama, Azlina Aziz (malam kedua) dan Datuk Yusni Hamid (malam ketiga).

Selain itu, para penyanyi undangan itu turut menyampaikan lagu secara solo sebagai penghargaan kepada penyanyi legenda itu selain penampilan pemain saksafon, Razak Rahman menyampaikan dua lagu instrumental popular Ahmad Jais berjudul Waspada dan Sumpah Setia.

Diiringi 60 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi, Ahmad Jais turut berkolaborasi dengan S. Atan dan Pak Ngah yang juga melaksanakan tanggungjawab menyusun komposisi muzik pada konsert itu bagi lagu-lagu berentak Melayu Asli iaitu Seri Banang dan Mak Inang Kayangan.

“Inilah tugas dan tanggungjawab paling besar dalam sejarah hidup saya semenjak 46 tahun menjadi menyanyi,” katanya merendah diri ketika ditemui selepas selesai persembahan debutnya.

Dan apalah erti persembahan unggul Ahmad Jais andai dia tidak mendendangkan lagu-lagu hitsnya yang seakan-akan ‘lagu wajib’ seperti Di Ambang Sore ciptaan Saiful Bahri, Gelisah (Kassim Masdor/Yusnor Ef), Meniti Di Ambang Syurga (Ahmad Jais/ Ahmad Shariff), Kucupan Azimat (Wan Othman Hamid), Harapan Kecewa (Amran Hamid), Seraut Wajah (M. Faris) dan Lima Tahun Ku Cari (Saiful Bahri).

Justeru, saat irama itu dilontarkan oleh suara lantang penuh bertenaganya, Panggung Sari bergema dengan sorakan.

Biduan itu juga tidak lupa melontarkan lagu Azizah ciptaan Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dirakamkannya pada tahun 1967.

“Kami di bawah satu syarikat iaitu EMI dan satu hari saya bertemu dengannya dan meminta izin untuk merakamkan lagu itu.

“Saya kata kepadanya, ‘abang, saya nak rakam lagu Azizah. Dia kata, baguslah, boleh abang dapat royalti.’”, cerita Ahmad Jais mengimbau kenangan.

Membuka tirai persembahan dengan lagu berirama joget ciptaannya sendiri, Umpan Jinak Di Air Tenang, lagu keramat Bahtera Merdeka menjadi lagu kemuncak yang juga penutup konsert tersebut.

Namun setelah lebih 20 lagu didendangkan, khalayak masih tidak puas membuatkan penyanyi malar segar itu muncul kembali di pentas menghiburkan peminatnya dengan dua lagu bonus iaitu lagu joget Teman Sejati dan Cenderawasih.

“Dan saya lega dapat melakukannya,” kata Ahmad Jais gembira.

Pilihan Terbaik

Menyampaikan lagu-lagu popularnya yang rata-rata bernada tinggi - daripada lagu-lagu berentak irama 60-an hingga ke Melayu asli - seniman seorang ini memberitahu ke semua lagu yang disampaikan malam itu adalah pilihan terbaiknya.

Mengakui tidak mempunyai lagu pilihan peribadi, dia menganggap dirinya seperti seorang posmen yang tugasnya menyampaikan yang terbaik terhadap satu penciptaan lagu.

“Saya tidak menyanyi untuk diri sendiri. Tugas saya adalah untuk menghiburkan orang lain dan dalam masa yang sama menyampaikan keinginan penulis lagu dan liriknya,” tegasnya.

Popular dengan identiti berkasut putih setinggi dua setengah inci yang turut menjadi penampilan pada keseluruhan persembahannya selama dua setengah jam itu pada setiap malam persembahan.

Hadir sama menyaksikan konsert itu termasuk Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang hadir pada malam terakhir konsert selain beberapa penyanyi 60-an, antaranya Datuk A. Rahman Hassan dan isterinya, Datin Azizah Mohamad dan Jeffrydin.

Turut hadir ialah penggubah lagu veteran, Yusnor Ef pada malam pembukaan.

Malah pada malam terakhir konsert, Istana Budaya membuat kejutan kepada Ahmad Jais dengan menyediakan kek hari jadi sempena meraikan sambutan hari lahirnya yang ke-71.

Lagu-Lagu solo yang disampaikan Ahmad Jais

* Umpan Jinak Di Air Tenang (Pembuka Tirai Persembahan)

* Lambaran Terakhir

* Lima Tahun Ku Cari

* Dewi Hati

* Gelisah

* Kucupan Azimat

* Kini Hatiku Tertawan

* Bunga Ku Puja Di Petik Orang

* Harapan Kecewa

* Seraut Wajah

* Azizah

* Menanti Di Ambang Syurga

* Seri Banang

* Mak Inang Kayangan

* Di Ambang Sore

* Bahtera Merdeka (Penutup Tirai Persembahan) Encore

* Teman Sejati

* Cenderawasih

Persembahan bersama artis undangan
* Haziq

Solo - Halimun Malam

Duet - Potong Padi

* Liza Aziz

Solo - Perpisah Jauh

Duet - Budi Setahun

Segunung Intan

* Datuk Siti Nurhaliza

Solo - Ingin Bersua

Duet - Juwitaku Sayang

* Azlina Aziz

Solo - Mengapa Tiada Maaf

Duet - Jumpa Mesra

* Datuk Yusni Hamid

Solo - Jauh Di Mata

Duet - Hati Ke Hati

Instrumental tiupan saksafon Razak Rahman

* Waspada

* Sumpah Setia

Tentang Ahmad Jais
* Dilahirkan pada 28 Mac 1936 dan memulakan kerjaya anak seni pada 1958 di Radio Malaya, Kuala Lumpur.

* Setelah mencipta nama di Kuala Lumpur, dia berhijrah ke Singapura dan pada 1965 berjaya membuat rakaman album bersama EMI.

* Merakamkan album EP pertamanya yang menampilkan empat buah lagu, antaranya Dikau Pujaan dan Bunga Ku Puja Dipetik Orang bersama kumpulan The Antartik.

* Antara lagu popularnya ialah Di Ambang Sore, Menanti Di Ambang Syurga, Kucupan Azimat, Gelisah dan Bahtera Merdeka.

* Pada Konsert Bahtera Merdeka, Ahmad Jais tidak menyampaikan lagu Selasih Ku Sayang yang pernah didendangkan bersama Rafeah Buang kerana lagu ciptaan Taib Othman itu ‘berat’ untuk dibawa.

* Bakat Ahmad Jais dicungkil di negara orang iaitu di Singapura apabila menjadi Juara Lagu Asli Singapura pada tahun 1959. Dia mengekalkan gelaran itu di tahun berikutnya.

* Pada tahun 1961, apabila dia ingin mengambil bahagian buat kali ketiga, ramai peserta pertandingan itu yang membantah. Alasan mereka Ahmad Jais merupakan penyandang gelaran. Penyanyi itu terpaksa mengalah dan hanya menyertai pertandingan Lagu Pop Singapura dan muncul juara Lagu Pop Singapura.

* Pada tahun 1962, Ahmad Jais kembali menyertai pertandingan Lagu Asli Singapura. Gelaran juara tetap menjadi miliknya sekali lagi.

* Menerima anugerah Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong pada pertengahan tahun lepas.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.