saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 01/04/2007

Konsert Bahtera Merdeka Ilustrasi jiwa Ahmad Jais

Seniman yang besar tidak pernah dicemburui zaman. Beliau tidak pernah tertinggal dek zaman yang mendatang dan pergi. Geraf populariti pula bukanlah penanda aras tinggi atau rendah kesenimanannya.

Seorang penyanyi tentu saja kekaguman pada suaranya ketika bersenandung. Selebihnya penghayatan pada bait lirik bersadur irama untuk menghantar bahasa jiwanya.

Demikian saya cuba mengilustrasikan kekaguman menjadi salah seorang daripada penontonnya yang mengisi segenap ruang Istana Budaya Ahad lalu. Setiap kali nyanyiannya, beliau dihadiahkan tepukan yang tanpa dipaksa.

Wajah-wajah yang meninggalkan panggung selepas usai persembahan sarat kekaguman, terhibur dan rasa hormat yang tinggi kepada penyanyinya.

Khalayaknya luar daripada biasa, mereka kelihatan sedikit berusia, tertib dan berhemah pula. Ternyata mereka berusaha datang, membeli tiket dan berkurung dalam panggung kerana Datuk Ahmad Jais.

Konsert Bahtera Merdeka Ahmad Jais anjuran Istana Budaya ini memberi satu ruang apresiasi kepada peminat Ahmad Jais yang cukup diingati dengan lagu Di Ambang Sore. Lagu ini asalnya dinyanyikan oleh S. Effendy dari Indonesia tetapi popular di negara ini selepas dinyanyikan semula oleh Ahmad Jais.

Susuk tubuhnya kecil apabila berdiri di pentas yang lebar. Dia kelihatan biasa saja; kot putih sedondon dan kasut putih adalah identiti sejak lebih empat dekad lalu.

Tetapi di sebalik ‘biasa-biasa’ itu, dia sangat luar biasa. Luar biasanya pada suaranya yang menjadi pengubat lara, penyata rindu dendam yang membara.

Malam itu saya memilih untuk berada di Istana Budaya meraikan kegemilangan seorang insan seni yang besar dalam dunia seninya. Sedangkan pada waktu yang sama, di Stadium Putra Bukit Jalil berdiri tiga diva seberang tetapi hati memilih berada di depan Ahmad Jais.

Ini adalah pertama kali saya bersua dengan Ahmad Jais di pentas yang sebegini hebat. Tentu sekali siapa saja tidak sesekali mahu melepaskan peluang keemasan ini untuk belayar menyusur masa silam zaman ibu dan ayah kita sewaktu muda.

Kata seorang teman yang membesar dengan lagu-lagu popular Ahmad Jais, penyanyi ini menghantar cinta lewat suaranya. Ahmad Jais membelai jiwa sengsara, hati yang luka, mengusir resah dan membuang nestapa.

Insan seni yang telah mengabdikan lebih dari separuh usianya kepada dunia seni suara ini pernah berkongsi zaman emas dengan nama-nama seperti Allahyarham P. Ramlee, Saloma, Rafeah Buang, S.M Salim dan beberapa nama lagi.

Sebahagian daripada mereka sudah pergi ke alam yang lain, sedang sebahagian teman yang masih ada sudah semakin memperlahankan rentak seninya, tetapi beliau berbeza.

Pada garis usia 71 tahun dia kelihatan semakin garang di pentas dan terimalah hakikat, ini adalah konsert pertamanya setelah 46 tahun menyanyi. Maka tahulah kita bahawa makna konsert bukanlah murah dan rendah usahanya.

“Ini sejarah besar saya. Setelah 46 tahun menyanyi, saya dapat bertemu dengan anda semua di tempah hebat seperti Istana Budaya ini,” tuntas beliau menghargai rezeki yang datang sekalipun dia tidak pernah menyangka peluang ini akan datang kepadanya.

Lalu tidak hairanlah kalau tiga malam Konsert Bahtera Merdeka di Istana Budaya, khalayak berduyun-duyun datang untuk kembali kepada nostalgia kegemilangan Ahmad Jais.

Tetamu yang datang bukan pencinta seni biasa, malah banyak kenamaan yang kelihatan turut membeli tiket sendiri untuk merayakan kegemilangan Ahmad Jais.

Panggung Sari, Istana Budaya menjadi saksi betapa khalayaknya terpukau dengan kehebatannya itu. Di Konsert Bahtera Merdeka itu hartanya hanyalah ‘‘suara”. Di pentas itu beliau melantunkan anugerah itu dengan gaya cukup bersahaja, tetapi kita yang di bawah, bagai terapung dalam imaginasi berbeza.

Di dalam, jantung tidak henti berdegup kala sesekali dia menarik nafas panjang merungkaikan kisah cinta, kisah hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan, kagum sekali.

Ya, sepertinya usia tidak pernah membawa kedewasaan kepadanya dan saya percaya malam itu saya membuat keputusan yang sangat tepat untuk bersama dengan beliau.

Lagu Umpan Jinak Di Air Tenang membuka tirai persembahan pada malam terakhir itu. Beliau tidak bermasalah untuk menyanyikan apa saja rentak lagu, waima yang bernada tinggi.

Kedengaran cukup mempesona dan sesetengah penonton berkali-kali dilihat tidak henti-henti menggeleng-geleng kepala, tangan bertepuk tanpa dipaksa-paksa.

Kagum benar barangkali kala melihat lelaki seusia mereka masih boleh membawa lagu berirama tinggi dengan sebegitu bersahaja. Lagu ciptaan Kassim Masdor, Lambaian Terakhir kemudian mengambil tempat dan Ahmad Jais sudah kembali pada zaman lampaunya.

Kala Bunga Ku Puja Dipetik Orang, Dewi Hati dan Gelisah mengambil tempat, seandainya kita memejamkan mata, ilusi pasti jauh mengembara biarpun tidak merentasi remaja bersama lagu-lagunya.

Alunan suaranya menyelinap sehingga ke ruang dada, menyentak-nyentak ke tangkai jantung dan meninggalkan kesan di situ. Hairan juga, sedang saya sendiri sebenarnya tidak mempunyai sebarang kenangan mengenai lagu itu sementelah pada zaman popular Ahmad Jais, saya masih terlalu kecil untuk mengerti kehebatannya.

Tiba-tiba saja saya terbawa ke pualam rasa yang cukup sayu. Serasa mahu menangis mendengar rintihan suaranya dalam Gelisah, lirik yang mengisahkan tentang erti kerinduan itu.

Selepas itu fahamlah saya kenapa beberapa mak cik dan pak cik di sebelah terlihat sesekali menyeka air mata dalam tawa ria setiap kali Ahmad Jais mengalunkan lagu-lagunya. Pasti mereka ada kenangan yang terpasung pada lagu-lagu itu.

“Terima kasih kerana anda semua sudi bersama saya. Buang duit pula tu semata-mata hendak menyaksikan penyanyi antik macam saya ini,” katanya sebelum Mabuk Kepayang bertebaran ke pualam rasa.

Ahmad Jais tidak banyak berceloteh, kecuali memberi gambaran mengenai pencipta karya yang dinyanyikannya. Juga sedikit kenangan dengan teman-teman lama, termasuklah bagaimana dia meminta izin dengan P. Ramlee untuk merakamkan semula lagu Azizah dari filem Penarik Beca.

Setiap kata yang diucap di pentas adalah terlalu minimum, mungkin mengerti apa yang diinginkan oleh khalayak yang datang.

Malah dalam setiap lirik yang dibawa juga, Ahmad Jais cuba memberi makna yang mendalam. Kalau sedih patah lagunya, maka kesedihan yang terlontar dari riak suaranya.

Jika berkata tentang gembira, maka cahaya cerialah yang jelas di balik kelibat suaranya. Sekali lagi dia berkelakar, “Umur saya sudah 71 tahun, kalaulah kereta, ibaratnya kereta jenis 60-anlah saya ni.”

Malam itu, Ahmad Jais tidak keseorangan. Selain Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mustafa Fuzer Nawi yang mengiringinya, beberapa tetamu lain turut memberikan hormat kasih kepada beliau sebagai penyanyi jemputan khas berkongsi pentas yang sama.

Mereka ialah Datuk Yusni Hamid, Liza Aziz, Haziq (Akademi Fantasia), Shuhaimi Mohd Zain dan juga S. Atan. Dua malam sebelumnya Ahmad Jais berteman dengan Siti Nurhaliza dan Azlina Aziz.

“Datuk Ahmad Jais diminati oleh dua generasi dalam keluarga saya. Generasi saya dan adik-beradik lain, serta generasi ibu bapa saya. Begitu hebatnya kedua ibu bapa saya, begitulah juga hebatnya Ahmad Jais,” kata Liza menyatakan kekagumannya.

Anak allahyarham Aziz Jaafar dan Normadiah ini turut berduet dengan Ahmad Jais menyampaikan Budi Setahun Segunung Intan sebelum melantunkan nyanyian Berpisah Jauh ciptaan Ahmad Jais sendiri.

Kucupan Azimat ciptaan Wan Othman Hamid menambah larut di kolam rasa penonton yang hadir. Begitu juga dengan nyanyian Berpisah Jauh, Kini Hatiku Tertawan, Mabuk Bayang, Harapan Kecewa, Menanti Di Ambang Syurga, Seri Banang dan Di Ambang Sore.

Kita juga wajar melihat konsert ini sebagai petanda setiap penyanyi ada khalayaknya. Istana Budaya pula secara tanpa disedari telah mengangkat Ahmad Jais pada persada selayaknya.

Malah konsert ini membuktikan generasi yang berusia juga memerlukan hiburan yang sesuai dengan mereka. Konsert Bahtera Merdeka ini bukan sekadar satu konsert biasa, ia mengumpul peminat untuk menikmati lagu-lagu popular suatu zaman yang lampau. Ia adalah terjemahan bahawa dunia seni suara kita mempunyai permata yang berharga.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.