saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/04/2007

Kad kredit kad hutang, bukan kad debit

Penggunaan kad kredit antara penyumbang belanja berlebihan ini. Adakah ini didorong oleh persepsi masyarakat yang melihat kad kredit sesuatu yang mewah?

DR. RUSINAH: Sebenarnya kalau faham definisi kad kredit itu adalah kad hutang, bukan kad debit. Masalahnya sekarang promosi kad kredit menyebabkan ia berjaya mempengaruhi persepsi pasaran. Pihak pengiklan mempamerkan kad kredit sebagai gaya hidup mewah. Ini yang memakan minda. Kredit (hutang) itu telah terpadam. Kalau ada pengiklan mengatakan kad kredit itu kad hutang, mungkin tiada orang yang mahu memilikinya. Dalam masa sama, promosinya secara besar-besaran dan kita tidak boleh salahkan organisasi kewangan.

Apa yang boleh dicadangkan?

DR. RUSINAH: Bagi saya tindakan itu bergantung kepada diri sendiri. Kita mesti berpengetahuan tentang apa itu kad kredit dan apa yang ada pada kita untuk ‘membenarkan’ kita berhutang. Didik diri sendiri. Kalau kita tidak mahu mendidik diri, apa juga strategi kerajaan tidak akan berjaya.

Apa langkah terbaik menanganinya?

DR. RUSINAH: Saya fikir kerajaan perlu menghebahkan dengan kerjasama pihak media. Kalau boleh kita memberikan satu pengetahuan yang hebat tentang kad kredit ini apa kesan positif dan kesan-kesan negatifnya. Di sini perlu ada persefahaman semua pihak. Pemimpin-pemimpin politik juga perlu sentiasa mengingat dan mendidik masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan kad kredit. Golongan muda mesti menganalisis kekuatan diri terhadap ancaman-ancaman dan peluang yang ada dalam kehidupan ini. Melalui kaedah ini jika tidak dapat menangani secara total sekurang-kurangnya dapat mengalihkan pandangan hidup bahawa kad kredit bukan satu gaya hidup mewah tetapi gaya hidup berhutang yang perlu dihindarkan. Pengiklan juga boleh memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab, memberi didikan rasional kesan-kesan yang akan berlaku. Berhutang boleh tetapi dengan cara efisien contohnya membeli rumah sebagai aset, kereta sebagai keperluan ke tempat kerja atau melabur dalam amanah saham untuk masa depan.

Pada pendapat Dr. berapa gaji ideal untuk layak memohon kad kredit?

DR. RUSINAH: Terus terang saya katakan kalau bergaji RM1,000 sebulan memanglah tidak layak. RM1,500 hingga RM2,000, boleh guna kalau terdesak. Paling sesuai dan saya nampak agak stabil ialah mereka yang bergaji RM3,000. Sebenarnya ada tiga kategori pemegang kad kredit ini. Ada yang salah guna, terlebih guna dan satu lagi tidak tahu guna. Yang tidak tahu guna ini akhirnya hanya membayar caj tahunan. Yang selalu berlaku ialah salah guna hingga menjadi muflis. Yang terlebih guna pun banyak dan mereka yang tidak tahu guna adalah golongan minoriti.

Ada di antara mereka tidak mahu berusaha kuat tetapi melabur dalam pelaburan yang menjanjikan pulangan berganda dalam masa singkat?

DR. RUSINAH: Golongan muda ini mereka ada pengetahuan tetapi tiada pengalaman dan kepakaran. Tiada salahnya mereka merujuk orang yang berpengalaman. Jangan cepat terpana dan terpesona dengan tarikan- tarikan skim cepat kaya sehingga sanggup berhutang kerana kesannya jika apa yang dilaburkan itu tidak memberikan pulangan diharapkan, mereka akan lebih kecewa. Kita memang selalu mendengar orang kata, ‘‘hidup saya terdesak.’’

Tetapi terdesak yang bagaimana? Ada orang bergaji RM800 sebulan boleh hidup okey. Terdesak atau tidak ini bergantung kepada hidup bagaimana yang kita pilih. Apa pun, saya percaya ramai golongan muda pandai membuat keputusan. Yang tidak pandai ini yang menjadi masalah. Mungkin mereka merujuk kepada kawan-kawan yang menghala kepada kerosakan. Apabila tersalah haluan, kehidupan mereka selepas itu berkemungkinan mengalami kegagalan.

Kita selalu beranggapan golongan muda tidak dapat berfikir tentang diri mereka sendiri, apa yang baik dan buruk. Hakikatnya benarkah?

DR. RUSINAH: Saya percaya semua orang lebih-lebih lagi lepasan universiti tahu berfikir tetapi cara fikiran yang macam mana. Disebabkan pemikiran kita itu ada elemen- elemen pengaruh kawan-kawan dan persekitaran menyebabkan pemikiran kita menjadi keliru. Semua orang boleh berfikir tetapi untuk membentuk keyakinan diri kepada golongan muda ini kita kena beri masa. Mereka tahu berfikir tetapi bentuk pemikirannya yang penting untuk diambil kira. Kadang-kadang kita hendak menyalahkan mereka seratus peratus tidak boleh juga kerana mereka dalam keadaan kecelaruan.

Apa nasihat Dr. kepada golongan muda yang berbelanja melebihi kemampuan?

DR. RUSINAH: Mereka kena analisis diri sendiri. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, janganlah mendatangkan kesusahan kepada diri kita dan ibu bapa yang telah banyak berkorban. Kerana apabila berhutang, ia bukan sahaja akan membuat diri kita terperangkap tetapi juga ahli keluarga.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:10
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.