saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/04/2007

Machap uji persediaan BN

TANGGAL 12 April ini, para penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Alor Gajah, Melaka akan memilih wakil rakyat yang baru. Ia berikutan kematian Datuk Wira Poh Ah Tiam pada 15 Mac lalu akibat kanser dan kegagalan fungsi buah pinggang.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas wujudnya pertarungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Lai Meng Chong, 56, anak jati Machap Baru dan Liou Chen Kuang, 33, yang mewakili DAP setelah tamatnya proses penamaan calon semalam.

Jika dikaji kedua-dua calon yang akan bersaing merebut hati 9,623 pengundi di DUN Machap ini, jelas sekali peluang calon DAP untuk menang sangat pudar.

Selain pernah ditolak oleh pengundi Machap pada pilihan raya umum ke-11 pada 2004 lalu ketika menentang Ah Tiam, ketiadaan isu tempatan untuk diketengahkan oleh DAP juga membantutkan hajat besar pembangkang untuk mewakili suara rakyat Machap.

Malah Chen Kuang sendiri ketika diumumkan sebagai calon DAP oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng beberapa hari sebelum penamaan calon mengakui peluangnya untuk memenangi kerusi Machap sangat tipis.

Pada pilihan raya umum 2004 itu, dia tewas kepada mendiang Ah Tiam dengan majoriti 4,562 undi apabila hanya memperoleh 1,285 undi berbanding 5,847 yang diraih oleh Pengerusi MCA negeri itu.

Berbanding calon DAP itu, nama calon BN sangat dikenali di DUN Machap khususnya di Machap Baru. Ini bukan sahaja kerana dia seorang Cina keturunan Hakka, iaitu majoriti keturunan kaum Cina di DUN tersebut, tetapi juga kerana sikapnya yang mesra.

Lebih menguatkan lagi peluang BN ialah kerana Meng Chong telah banyak mendedahkan dirinya dalam kegiatan masyarakat bersama penduduk Machap Baru, bukan sahaja di dalam arena politik MCA tetapi juga dalam kegiatan sosial lain sejak sekian lama.

Malah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menganggap calon yang dicadangkan oleh MCA melalui Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting itu mempunyai sifat yang disenangi oleh masyarakat setempat.

Walaupun hanya berbekalkan Malaysian Certificate of Examination (MCE) dan gagal dalam peperiksaan High School Certificate (HSC) yang diambil secara persendirian, beliau ternyata mempunyai pendekatan tersendiri untuk memikat hati pengundi iaitu apa yang digelar oleh Timbalan Perdana Menteri itu sebagai ‘selamba’ (bersahaja) tetapi berkesan.

Tidak hairanlah Setiausaha Politik Menteri Sumber Manusia yang mula berjinak-jinak dengan politik sejak tahun 1972 itu memegang banyak jawatan di dalam badan-badan bukan kerajaan di samping jawatan di dalam MCA cawangan, bahagian, negeri sehinggalah MCA Pusat.

Keutuhan BN di Machap yang dikenal pasti sebagai kubu kuat kerajaan itu juga ditambah dengan khidmat cemerlang yang telah dilaksanakan oleh mendiang Ah Tiam sepanjang tiga penggal menjadi wakil rakyat di DUN Machap.

Sikap mendiang yang kuat bekerja sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya menyebabkan para penduduk kawasan Machap baik Cina, Melayu, India mahupun Orang Asli menyenangi mendiang.

Justeru, tiada alasan bagi pengundi di DUN N.08 untuk tidak memilih calon BN sebagai wakil rakyat mereka kerana sepanjang wakil rakyat BN berkhidmat di sini, hampir semua masalah dan keperluan mereka dipenuhi.

Isu

Ini menyebabkan parti pembangkang khususnya DAP tidak mempunyai isu untuk diperjuangkan melainkan isu pemancar telekomunikasi di Machap Umboo yang kononnya boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk.

Bagaimanapun, isu tersebut dianggap selesai setelah kerajaan negeri diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam membuat keputusan mengalihkan menara pemancar tersebut ke kawasan baru tidak lama lagi.

Walaupun di atas kertas, laluan BN di Machap nampak mudah namun ia tidak sepatutnya dipandang remeh khususnya oleh jentera pilihan raya BN. Ini kerana apa sahaja boleh berlaku jika BN terlalu yakin untuk meraih undi besar berdasarkan alasan-alasan di atas.

Perlu diingat pilihan raya kecil Machap merupakan yang terakhir sebelum diadakan pilihan raya umum ke-12 yang dijangka dilangsungkan dalam tempoh setahun sehingga pertengahan 2008.

Kejayaan BN meraih kemenangan dengan majoriti lebih besar di Machap dikatakan bakal menjadi pemangkin kepada seluruh jentera pilihan raya BN di seluruh negara untuk menghadapi pilihan raya umum.

Malah ia juga bakal menjadi penanda aras pencapaian kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jika kemenangan mutlak dengan mengurangkan majoriti Chen Kuang di Machap untuk kali ini, ia akan menjadi petunjuk bahawa BN terlalu gah untuk disaingi oleh mana-mana parti pembangkang.

Biar apa sahaja isu yang dibawa pembangkang, biar bagaimana cara sekalipun mereka bergabung dan berdalih untuk memanipulasi pelbagai isu, namun keutuhan BN sebagai pemerintah negara sukar digugat.

Buktinya pada tiga pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum 2004 lalu iaitu di Kuala Berang, Terengganu, Permatang Pasir (Kelantan) dan Batu Talam di Pahang, calon-calon BN telah berjaya meraih kemenangan dengan majoriti yang bertambah.

Lebih manis lagi, BN berjaya merampas kerusi Permatang Pasir dari tangan Pas yang memenanginya pada 2004.

Oleh sebab itulah Timbalan Perdana Menteri semalam memberitahu, pilihan raya Machap ini merupakan cabaran kepada BN DUN, negeri mahupun Pusat iaitu cabaran bagi memastikan kemenangan di tiga pilihan raya kecil sebelum ini berulang.

Banyak yang meletakkan Machap sebagai kunci kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang. Malah ada juga yang menyatakan Machap bakal memberi ilham kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan tarikh pilihan raya umum ke-12.

Justeru, jentera pilihan raya BN perlulah merebut peluang sembilan hari masa berkempen di Machap digunakan sebaik-baiknya untuk membuktikan pandangan ini dan sekali gus menunjukkan kesediaan BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.