saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 15/04/2007

Yin ditemui selamat -- Budak hilang 15 hari dijaga pasangan Myanmar


GEMBIRA...Muhammad Nazrin yang hilang sejak 15 hari lalu ceria ketika didukung oleh bapanya, Shamsul Ghazali Shamsuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH.


KUALA LUMPUR 14 April – Penderitaan hebat kerana kebimbangan dan menanggung rindu kepada Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali, 5, atau Yin yang hilang sejak 31 Mac lalu, berakhir buat ibu bapanya apabila kanak-kanak itu ditemui semula dalam keadaan selamat, petang ini.

Pertemuan penuh bermakna itu menjadi kenyataan selepas seorang wanita Myanmar, Noor Shida Nur Islam, 27, yang menjaga Yin sepanjang tempoh kehilangannya, memulangkan semula budak itu sejurus ternampak poster pencariannya pagi ini.

Detik-detik pertemuan bersejarah Shamsul Ghazali Shamsuddin, 34, dan isterinya, Nor Amizah Ahmad, 25, dengan Yin berlangsung dalam suasana penuh kegembiraan bercampur hiba di rumah seorang rakan mereka di Setiawangsa, di sini, kira-kira pukul 6 petang.

Ketika itu, kedua-dua mereka tidak dapat menahan kerinduan masing-masing lalu terus memeluk dan mencium anak sulung mereka itu yang wajahnya sedikit berubah kerana kepalanya dibotakkan.

“Kali pertama kami nampak semula Yin, kami terus pegang, kami peluk dia kuat-kuat, cium dia sambil air mata mengalir kerana gembira dan kesyukuran... susah nak gambarkan kegembiraan kami dengan kata-kata.

“Bayangkanlah, kami memang tak sangka akan jumpa semula Yin. Tetapi berkat doa dan sembahyang hajat kami dan umat Islam lain di seluruh negara, akhirnya Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kita semua.

“Terima kasih rakyat Malaysia. Semua ini berlaku selepas doa dan pertolongan anda, kami sangat bersyukur.’’

Itulah kata-kata penuh emosi yang diluahkan oleh Shamsul dan Nor Amizah kepada pemberita ketika ditanya mengenai detik-detik pertemuan semula mereka dengan Yin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, malam tadi.

Episod pertemuan semula Yin dengan keluarganya bermula dengan panggilan telefon suami Noor Shida, Mohd. Abdul Rahman Ali Rahman, 37, kepada seorang rakan Shamsul, Mohd. Baharuddin Hassan, yang tinggal di Setiawangsa tengah hari ini memaklumkan mengenai Yin ada dalam jagaan isterinya.

Apabila Mohd. Baharuddin menemui Mohd. Abdul Rahman di rumahnya di Sentul Pasar, kira-kira pukul 2.20 petang, dia kemudian menghubungi Shamsul yang ketika itu sedang berada di Ipoh untuk memaklumkan penemuan Yin di situ.

Selepas mengesahkan budak itu adalah anaknya berdasarkan nyanyian lagu Twinkle Twinkle Little Star oleh Yin menerusi telefon, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke rumah Mohd. Baharuddin di Setiawangsa sementara menunggu kedatangan Shamsul dan isterinya dari Ipoh.

Mereka sekeluarga kemudiannya berkumpul di IPD Dang Wangi malam tadi bagi sama-sama menyertai sidang akhbar Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung penemuan semula Yin.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee dan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner II Zul Hasnan Najib Baharudin.

Musa dalam sidang akhbar itu berkata, dengan penemuan semula Yin dan ketiadaan unsur-unsur jenayah, maka pihak polis akan menutup kes berkenaan.

Tambahnya, Yin yang kelihatan sihat akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Mengenai ganjaran berjumlah RM15,000 yang ditawarkan oleh pelbagai pihak kepada sesiapa yang membantu sehingga menemukan semula Yin, beliau memberitahu, ia akan diuruskan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abd. Rahman.

“Sepatutnya kalau mengikut apa yang diperkatakan sebelum ini, pasangan tersebut (Mohd. Abdul Rahman dan Noor Shida) memang layak memperoleh ganjaran itu,” ujarnya.

Terdahulu, Musa memberitahu, Yin dijumpai pasangan Noor Shida dan Mohd. Abdul Rahman pada 31 Mac lalu ketika cuba menyeberangi jalan berdekatan kompleks membeli-belah Sogo kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, bimbang keselamatan kanak-kanak tersebut, Noor Shida kemudian memimpin tangan Yin dan menunggu kira-kira sejam berdekatan kompleks tersebut.

“Setelah tiada sesiapa menuntut Nazrin, dia kemudiannya dibawa ke rumah mereka di Sentul Pasar dan selama ini mereka tak tahu budak itu hilang dan sedang dicari kerana di rumah mereka tiada televisyen.

“Sehinggalah pagi ini, ketika menjual buku di Jalan Masjid India, Noor Shida bertemu seorang yang mengedarkan poster kehilangan Nazrin menyebabkannya terkejut melihat gambar itu yang sama dengan budak yang ada di rumahnya lalu memaklumkan perkara itu kepada suaminya,” katanya.

Dalam kejadian di kompleks membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini kira-kira pukul 2 petang 31 Mac lalu, Yin hilang ketika bapa kanak-kanak itu sedang mencuba pakaian di bilik persalinan, manakala ibunya sedang mengawasi adik Yin, Mohd. Nazmi, 4.

Ekoran itu, satu gerakan besar-besaran dilancarkan mulai 6 April lalu untuk mencari Yin termasuk melibatkan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

Di samping itu, pelbagai pihak tampil menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang menemui Yin dengan jumlah terakhirnya RM15,000 termasuk sumbangan MCA (RM2,000), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (RM2,000) dan dua usahawan dari ibu negara dan Port Dickson masing-masing RM6,000 dan RM5,000.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.