saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/04/2007

Tidak gentar dengan tohmahan


AB. RASHID AB. RAHMAN.


MUKADIMAH
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman pada awal temu bual Jumaat lalu tenang menjawab beberapa soalan awal berkisar kedegilan golongan muda yang melepasi umur 21 tahun tidak mendaftar sebagai pengundi.

Namun nada beliau mula serius apabila diajukan ada stigma orang tidak mahu mengundi kerana kononnya pilihan raya umum sudah diatur untuk memberi kemenangan besar kepada parti kerajaan. Lebih teruk lagi, kononnya SPR dikatakan pro kerajaan, tidak bebas, penipu dan tidak telus.

Seakan sudah lali dengan tohmahan sebegitu, Ab. Rashid tetap tenang dan mempunyai jawapan bagi setiap persoalan dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Berpengalaman luas selama 25 tahun dalam SPR - 18 tahun sebagai setiausaha dan tujuh tahun mengetuai badan itu - beliau mendedahkan kepada wartawan ZULKIFLI JALIL dan SAIFULIZAM MOHAMAD mengenai pihak yang sering tidak berpuas hati kepada SPR dan dirinya termasuk pernah menerima ugutan bunuh.

‘‘Ada pemimpin baru masuk politik tiga bulan, sudah kata SPR penipu, pemimpin sebegini bagi saya kelasnya amat rendah. Istilah politik pula bukan istilah pilihan raya tetapi ia berkaitan dengan kuasa rakyat,’’ katanya.

Mingguan: Apakah punca 4.9 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar sebagai pemilih?

Ab. Rashid: Terdapat empat punca utama sebab dan mengapa 4.9 juta rakyat negara ini tidak mahu mendaftar untuk menjadi seorang pemilih yang sah. Pertama kerana tidak berminat dalam urusan politik negara. Mereka menganggap sekiranya mereka tidak mengambil bahagian sekalipun negara tetap makmur dan mewah hingga mereka tidak mahu untuk melibatkan diri walaupun sebagai pengundi. Mereka yang terlibat ini hampir sebahagian besarnya adalah generasi muda kita. Berbanding masyarakat Barat hak mengundi merupakan satu perkara yang serius dan amat penting dalam kehidupan mereka. Di Malaysia nampak kesedaran itu belum timbul. Sebenarnya mengundi bukan setakat pangkah sahaja tetapi lebih daripada itu kerana melalui undi ia akan menentukan pemimpin serta kerajaan yang bakal mentadbir negara. Kedua, wujudnya sikap malas di kalangan golongan ini. Sebut perkataan malas maksudnya tidak berminat. Mereka malas hendak pergi tempat di mana kita sediakan untuk urusan pendaftaran. Orang Malaysia ini perangainya amat buruk. Mendaftar menjadi pengundi pun mereka malas. Itu belum lagi dikira mereka yang telah mendaftar tetapi dikehendaki mendaftar semula kerana telah bertukar alamat. Seramai 4 juta daripada 10.2 juta pengundi yang terlibat di dalam perkara ini. Ini bukan kehendak SPR tetapi kehendak undang-undang seperti mana yang diperuntukkan di dalam perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Bagi saya penyakit ini jika dibiarkan boleh memudaratkan. Ketiga, mereka kata terlalu sibuk dengan urusan hidup seharian hingga menyebabkan mereka tidak sempat untuk membuat pendaftaran. Yang hairannya jika kita lihat telatah anak-anak muda, mereka sanggup menghabiskan masa lebih 10 jam di pusat hiburan sedangkan untuk membuat pendaftaran tidak sampai 10 minit pun. Tempat yang paling mudah ialah di pejabat pos. Keempat ada golongan yang menyatakan mereka tidak tahu di mana tempat untuk membuat pendaftaran. Saya juga pelik dengan kenyataan mereka ini kerana SPR sering mengadakan promosi dan publisiti. Bagi saya mereka ini jenis tidak kisah. Mereka hanya tahu di mana tempat berhibur tetapi tidak tahu di mana untuk membuat pendaftaran sebagai seorang pemilih.

Apabila berlakunya keadaan itu bagaimana pula SPR hendak meyakinkan mereka mengenai pentingnya menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi?

Ab. Rashid: Saya mahu tekankan di sini bahawa setiap rakyat Malaysia yang layak mengundi wajib mengambil bahagian di dalam urusan politik negara. Tidak semestinya perlu menjadi ahli politik atau menjadi ahli kepada mana-mana parti. Cukup dengan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi. Ini kerana undi tersebut akan menentukan golongan yang mana akan mentadbir negara dan bagi saya itu merupakan tugas yang amat penting. Saya percaya rakyat tidak mahu tersalah pilih kerajaan. Andai kata perkara itu berlaku, ia berpunca daripada pengundi itu sendiri kerana mereka yang menentukannya. Ini semua tanggungjawab pengundi dan bukan SPR atau Kementerian Penerangan. Tiap-tiap undi boleh membawa kesan yang besar kepada kehidupan politik negara.

Mungkin terdapat tanggapan bahawa Barisan Nasional (BN) tiada pesaing hingga wujud golongan yang berpendapat jika mereka tidak mengundi orang lain akan keluar mengundi.

Ab. Rashid: Itu yang saya katakan mengenai sikap tadi. Mereka beranggapan dalam keadaan negara yang mewah dan makmur mereka tidak perlu pergi mengundi. Itu yang menyebabkan ada kata-kata yang menyebut ‘‘kalau saya tidak pergi mengundi orang lain akan tetap keluar mengundi.’’ Sikap seperti ini perlu dihapuskan dan rakyat harus sedar mengenai pentingnya menjalankan hak sebagai pengundi.

Ada sesetengah pihak yang mendakwa keengganan mereka mengundi adalah disebabkan pilihan raya umum telah diatur dan SPR sendiri tidak bebas hingga timbul perasaan kurang yakin terhadap kewibawaan SPR.

Ab. Rashid: Saya lihat faktor ini tidak banyak mempengaruhi rakyat hingga mereka enggan mengundi. Apa yang berlaku sebenarnya terdapat pihak-pihak yang menghasut, menanam perasaan kecurigaan, perasaan tidak puas hati tanpa memahami sistem pilihan raya yang kita wujudkan selama ini. Mereka langsung tidak faham sistem pilihan raya kita. Apabila mereka melihat sistem pilihan raya di Indonesia, Thailand, Australia dan India mereka mempersoalkan mengapa negara tidak melaksanakan sistem pilihan raya seperti negara-negara tersebut. Undang-undang pilihan raya yang kita wujud adalah mengikut kehendak masyarakat semasa. Dalam keadaan masyarakat pelbagai kaum unsur-unsur pertelingkahan kaum masih ada, masih tebal iaitu maksud saya masih ada perkara sensitif yang harus dijaga. Oleh itu kerajaan wujudkan undang-undang yang boleh mengelakkan berlakunya kekecohan dan sekali gus boleh mengawal sensitiviti setiap kaum terutama dalam musim pilihan raya. Oleh itu selain undang-undang pilihan raya terdapat beberapa undang-undang turut dikuatkuasakan bagi mengelakkan kekecohan ini berlaku antaranya seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan dan sebagainya. Melalui undang-undang yang diwujudkan itu semua kaum di negara ini menghormati antara satu sama lain. Saya merupakan pakar dalam pilihan raya dan apa yang saya hendak nyatakan ialah pilihan raya yang dijalankan di negara ini adalah berpaksikan kepada kehendak dan prinsip demokrasi. Secara umumnya terdapat tiga unsur utama yang menjadi penanda aras bahawa pilihan raya di Malaysia adalah seiring dengan kehendak demokrasi iaitu pilihan raya perlu berasaskan kepada prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan; terdapat unsur bebas memilih dan keputusan pilihan raya pada akhirnya diterima sebagai keputusan yang sah. Kita telah melalui 11 pilihan raya umum dan setakat ini tiada siapa yang mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh rakyat.

Meskipun begitu masih wujud pihak-pihak yang masih menuduh SPR tidak bebas dan telus dalam mengendalikan pilihan raya.

Ab. Rashid: Saya ada mendengar suara-suara sumbang yang menuduh SPR tidak adil dan telus tetapi malangnya tuduhan mereka ini tidak berasaskan fakta. Saya sedia berhadapan dengan mereka asalkan setiap tuduhan mereka itu disertakan dengan bukti. Apa yang berlaku sebenarnya ialah kata-kata ini sering dilemparkan oleh parti politik yang kalah. Apabila kalah mereka cuba lari daripada kebenaran. Yang pastinya disebabkan kalah kedudukan pemimpin juga akan tergugat. Oleh itu mereka perlu mencari sebab lain mengapa parti mereka kalah. Alasan paling mudah ialah mereka akan kata SPR tipu. Memang senang menuduh orang menipu tetapi mereka tidak pula nyatakan apakah bentuk dan fakta penipuan yang dilakukan. Bagi saya ini jahat kerana sengaja buka mulut mengeluarkan perkataan tipu. Ada seorang pemimpin yang baru sahaja masuk politik selama tiga bulan. Dia tidak menyertai parti pemerintah tetapi telah memilih untuk menyertai pembangkang. Dia kata SPR tipu. Baru masuk politik tiga bulan kata SPR tipu. Dia ini pemimpin ‘low class’ atau seorang pemimpin yang kelasnya amat rendah. Selama menjalankan pilihan raya SPR tidak pernah menipu sebaliknya segala tindakan kita adalah berasaskan undang-undang.

Ada tanggapan setiap pilihan raya umum yang diadakan akhirnya akan berpihak kepada parti pemerintah

Ab. Rashid: Ini dakwaan yang tidak betul kerana terdapat kawasan yang mana parti pemerintah kalah. Cuba kita lihat keputusan pada tahun 1999. Terengganu dan Kelantan diperintah oleh parti pembangkang. Adakah SPR yang menentukan keputusan tersebut. Dalam hal ini kita perlu lebih rasional. Setiap keputusan pilihan raya berkaitan dengan kuasa rakyat. Itu kehendak rakyat dan kehendak rakyat tidak boleh ditahan. Walau apa pun undang-undang pilihan raya diwujudkan kehendak rakyat menentukan siapa yang akan memerintah tidak boleh ditahan kerana peti undi itu adalah telus. Pengundian telus, pengiraan telus dan sesiapa kata ia tidak telus, mereka itu buta. Saya melihat mereka sengaja hendak lepas geram selepas parti mereka kalah. Oleh itu mereka jadikan SPR sebagai `punching bag’ untuk lepas geram. Kita tidak boleh menjawab. Kalau kita menjawab kita telah bergaduh dengan parti politik. Kalau macam itu kita akan berada dalam kancah politik. Mahu tidak mahu kita kena duduk diam dan geleng kepala sahaja. Jika di luar negara pemimpin yang menyebabkan partinya kalah akan letak jawatan. Di sini lain, selagi dia boleh pegang dia akan pegang dan mereka akan mencari pelbagai alasan untuk pertahankan kedudukan dan alasan paling baik ialah SPR tipu.

Tanggapan ini sentiasa diperkatakan hingga timbul dakwaan yang SPR akan membantu kerajaan memerintah untuk memenangi setiap pilihan raya umum.

Ab. Rashid: Saya pernah mendengar kenyataan yang menganggap SPR pejam mata dengan membiarkan kerajaan membuat sesuka hati semata-mata untuk melihat parti pemerintah menang di dalam pilihan raya. Pemerintah yang ada tidak perlu bantuan SPR untuk memenangi pilihan raya. Mereka menang atas kekuatan, kebolehan dan kemampuan parti mereka sendiri. Cuba kaji dasar-dasar parti pemerintah dan kemudian kaji pula dasar satu parti lain. Adakah dasar parti lain itu boleh menandingi dasar parti pemerintah? Begitu juga dengan asas perjuangan adakah parti lain boleh menandingi parti pemerintah? Semuanya ini perlu dikaji dengan mendalam. Kebanyakan parti yang saya lihat tidak mampu menandingi parti pemerintah. Sebagai contoh sebuah parti orang Melayu hanya berasaskan agama. Bagi saya asas perjuangannya terhad dan sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya ia berpunca daripada parti itu sendiri.

Maksud Tan Sri?

Ab. Rashid: Dari segi politik parti seperti ini bersifat dogmatik (memaksa orang lain menerima). Asas perjuangan parti hanya berasaskan kepada agama atau kaum sahaja dan berbanding dengan parti pemerintah ia lebih bersifat pragmatik. Sekiranya hendak mentadbir atau memerintah negara ini parti yang bersifat dogmatik perlu berubah. Namun begitu segala-galanya terpulang kepada mereka. Setakat ini saya lihat kebanyakan parti politik hanya setakat mahu menjadi pembangkang sahaja. Apa yang mereka tahu ialah maki hamun SPR. Mereka langsung tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi pemerintah. Lagipun jika diamati pembangkang memang sukar untuk mengatasi parti pemerintah kerana mereka tidak mampu untuk meletakkan calon di semua kerusi Parlimen yang bertanding. Sebagai contoh pada pilihan raya umum 2004 Barisan Nasional (BN) bertanding di 219 kerusi manakala pembangkang hanya setakat 88 kerusi sahaja. Saya mahu mengingatkan mereka (parti pembangkang) jika mahu lawan parti yang besar seperti BN caranya ialah mereka kena buat formula yang sama seperti parti tersebut (BN).

Parti tidak boleh dogmatik tetapi perlu lebih pragmatik. Memang parti yang bersifat dogmatik dari segi asasnya tidak salah tetapi untuk mewujudkan kerajaan itu bukan cara yang betul.

Bagaimana untuk menghilangkan andaian SPR pro kerajaan?

Ab. Rashid: Orang tidak faham perkembangan politik negara mengapa tiap-tiap selepas pilihan raya umum, kerajaan yang sama akan memerintah. Saya tidak salahkan generasi muda sekiranya mereka tidak faham tentang perkara ini. Kita perlu kembali kepada fakta. Cuba kita lihat fakta dan kemudian kita membuat analisis. Parti pemerintah menang adalah disebabkan parti itu sendiri kuat. Cuba kita kaji dasar serta program yang telah dijalankan, adakah parti pembangkang mampu menandingi mereka. Disebabkan parti mereka (pembangkang) kalah dengan sewenang-wenangnya mereka menuduh SPR tipu. Inilah yang meracuni fikiran anak-anak muda kita. Ini merupakan tuduhan yang tidak berasas kerana SPR dahulu dan SPR sekarang sentiasa mendapat kepercayaan awam. Bagi orang yang telah pergi mengundi saya yakin mereka tidak mudah diperkotak-katikkan dengan dengan kata-kata seumpama ini.

Apa yang Tan Sri boleh rumuskan terhadap pihak-pihak yang masih dengan pendirian bahawa SPR tidak telus?

Ab. Rashid: Golongan ini jika dipukul mati akan tetap berpendirian seperti ini. Mereka akan sentiasa mempolitikkan isu dengan harapan penyokongnya tetap berdiri di belakangnya. Di dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam saya telah benarkan satu badan bebas iaitu MAFREL untuk lihat perjalanan pilihan raya kita. Dalam laporan yang kita terima tidak ada satu pun yang menunjukkan SPR tidak telus atau salah guna kuasa. Mereka hanya menegur kelemahan-kelemahan kakitangan dan kawalan polis tetapi ia tidak menjejaskan soal pokok dan undang-undang. Hasilnya juga diberikan kepada pembangkang.

Sepanjang berkhidmat di dalam SPR selama 25 tahun pernah Tan Sri mendapat surat layang atau surat ugut

Ab. Rashid: Saya menerima bermacam-macam surat layang dan ugutan. Yang tidak boleh lupa saya pernah menerima surat ugut yang mahu saya dibunuh. Saya menerima surat itu tidak berapa lama selepas pilihan raya umum 2004. Orang tidak tahu perkara ini kerana saya tidak mahu menghebahkannya.

Bagaimana Tan Sri berhadapan dengan maki hamun pihak-pihak yang sentiasa kurang senang dengan tindak-tanduk Tan Sri.

Ab. Rashid: Saya tidak mahu ambil kisah apa yang mereka hendak buat pada saya. Prinsip saya senang di dalam Islam saya akan mendapat pahala kebajikan setiap kali mereka maki hamun saya. Mereka tentu lebih faham tentang perkara ini kerana kebanyakan yang maki hamun saya ialah orang yang pakai serban dan kopiah. Saya hairan mereka boleh keluar cakap yang bukan-bukan. Bila masuk kampung mereka tuduh saya bawa pengundi hantu. Yang bercakap tentang perkara ini semuanya pakai serban dan kopiah. Akhirnya orang kampung semua kena tipu. Saya panggil mereka ini ulat-ulat parti semata-mata untuk cari makan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:18
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.