saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 23/04/2007

Konsert Istana Cinta latihan singkat persembahan hebat

TANPA disedari rupa-rupanya waktu dua jam berakhir begitu sahaja. Perasaan tidak puas hati masih berbuku di hati. Kenapa cepat habis.

Itulah antara gambaran perasaan penonton yang menyaksikan Konsert Istana Cinta Nostalgia Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma oleh Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Istana Budaya pada 20 April lalu.

Ternyata kemerduan suara Siti mengimbau semula lagu-lagu dendangan pasangan legenda suami isteri itu mampu membuat penonton terpana di tempat duduk masing-masing.

Siti yang mengagumi karya tersohor seniman dan seniwati negara itu berkata, matlamat utama konsert tersebut diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada pasangan yang telah banyak menyumbang bakti dan jasa dalam industri seni tanah air.

Jelas Siti, dia hanya mengambil masa tidak sampai sebulan untuk mempersiapkan diri bagi menjayakan konsert tersebut.

“Siti hanya sempat berlatih tiga hari sahaja bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Eddie Marzuki. Biarpun waktu latihan singkat namun Siti berpuas hati kerana konsert malam ini berjalan lancar,” katanya yang ditemui selepas persembahan.

Meskipun Siti berlainan generasi, namun dia amat menjiwai setiap lagu yang didendangkan. Kata Siti, dia berbincang dengan Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah selaku Pengarah Persembahan konsert dalam membuat pemilihan lagu.

Apa yang pasti 28 buah lagu yang didendangkan oleh Siti termasuk duet bersama Musly Ramli dan Fazli Zainal adalah lagu yang mesra pada pendengaran penonton.

Lagu-lagu dendangan Siti pada malam itu dibahagikan kepada segmen lagu-lagu dari filem dan rakaman.

“Kalau ikutkan hati banyak lagi lagu yang Siti nak nyanyi, antaranya lagu dari filem Ali Baba. Terlalu banyak karya Tan Sri hingga susah nak buat pilihan,” katanya terus terang.

Walaupun Siti yang mengenakan pakaian rekaan Michael Ong pada konsert tersebut pernah berkata, sudah biasa dengan lagu-lagu ciptaan P. Ramlee namun secara jujur dia akui lagu Joget Pinang Muda yang dimasukkan untuk segmen medley tradisional itu agak sukar sedikit.

Selain mendendangkan lagu-lagu ciptaan P. Ramlee, Siti turut berdialog dengan seniman tersebut secara ‘langsung’ dalam satu sketsa.

Menggunakan visual filem Masam-Masam Manis, Siti beraksi melakonkan watak Norkiah (lakonan Allahyarham Sharifah Hanim) berdialog dengan Cikgu Saari (lakonan Allahyarham P. Ramlee).

“Kalau hendak menyanyi dengan Tan Sri dengan menggunakan visual, nanti sama macam KRU pula,” kata Siti tersenyum.

Antara lagu yang diperdengarkan Siti pada malam tersebut ialah Kwek Mambo, Tiru Macam Saya, Merak Kayangan, Bila Larut Malam, Dengarlah Ini Cerita, Jeritan Batinku, Jikalau Abang Merindu, Sejak Ku Bertemu Padamu, Berkorban Apa Saja, Air Mata Di Kuala Lumpur dan Di Manakan Ku Cari Ganti.

Pada konsert itu juga Siti turut mengundang adik kepada Allahyarham Saloma, Mimi Loma mendendangkan lagu Bawah Rumpun Bambu serta kumpulan Isketambola yang melakonkan sketsa daripada filem Nasib Si Labu Labi. Sementara Aziz Sattar pula bercerita tentang gelagat P. Ramlee yang merupakan sahabat baiknya.

Pada yang tidak berkesempatan menonton konsert tersebut jangan terkilan kerana dalam tempoh terdekat, pihak Siti Nurhaliza Production akan mengedarkan cakera padat video (VCD) konsertnya itu di pasaran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.