saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 24/04/2007

Bantah lupus kereta tua -- Kenderaan lama jika disenggara, boleh bertahan puluhan tahun

KUALA LUMPUR 23 April – Pelbagai pihak hari ini membantah cadangan pelupusan kereta ‘tua’ berusia lebih 15 tahun di jalan raya di negara ini kerana ia menyusahkan golongan kurang berkemampuan.

Persatuan pengguna, persatuan automotif, badan bukan kerajaan dan orang ramai berpendapat cadangan itu hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja iaitu pengeluar dan peniaga kereta sedangkan rakyat terpaksa memikul beban.

Bagi mereka, cadangan Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) itu yang bertujuan mengelakkan kenderaan-kenderaan lama terus beroperasi, sekali gus mampu merancakkan perniagaan kereta-kereta baru, tidak mempunyai asas yang kuat.

Ini kerana mereka berpendapat, aspek penyenggaraan kenderaan lama sekiranya diberi perhatian akan membolehkan sesebuah kenderaan beroperasi dengan baik sehingga berpuluh-puluh tahun.

Naib Yang Dipertua Persatuan Pengguna Negeri Terengganu (PPNT), Othman Abdullah berkata, cadangan itu jika dilaksanakan akan menjejaskan pergerakan penduduk di pedalaman yang menggunakan kereta ‘tua’ sebagai pengangkutan utama ketika menjalankan kegiatan seharian mereka.

Katanya, penduduk di luar bandar tidak boleh disamakan dengan penduduk di bandar-bandar besar yang mempunyai pendapatan tetap serta berkemampuan menukar kereta baru.

‘‘Jadi kalau dilupuskan, apakah penduduk di luar bandar yang tiada pendapatan stabil boleh membeli kereta atau institusi kewangan boleh meluluskan pinjaman kepada mereka,’’ ujarnya ketika dihubungi.

Selain itu, menurut Othman, situasi di Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara seperti Singapura atau Britain yang mempunyai sistem pengangkutan awam menyeluruh.

‘‘Kenapa perlu menggantikan kereta lama jika ia masih boleh dipakai, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) boleh memastikan sama ada sesebuah kereta itu boleh digunakan lagi atau tidak,” ujarnya.

Presiden Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM), Cho Chee Seng pula berkata, kedudukan kewangan masyarakat perlu diambil kira sebelum kereta lama hendak dilupuskan.

‘‘Jangan ikut seperti peraturan Singapura dan Jepun yang terlalu ketat tentang usia kereta. Kereta lama berusia lebih 20 tahun juga masih boleh digunakan dengan baik jika enjinnya dijaga dan diservis selalu,’’ katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berpendapat, cadangan itu akan menggalakkan orang ramai berhutang, sekali gus menambah kos sara hidup.

‘‘Bayangkan seseorang itu baru ‘lega’ hutang pinjaman kereta selepas tujuh tahun membayar, dia terpaksa memohon pinjaman baru apabila keretanya mencecah usia 15 tahun, pastinya ini membebankan,’’ katanya.

Presiden Persatuan Automatif Malaysia (AAM), Aishah Ahmad, enjin kereta lama yang dijaga dengan baik masih elok digunakan dan tidak patut dilupuskan begitu sahaja.

‘‘Fikirkan kewangan golongan yang tidak mampu untuk memiliki kereta baru dan bergantung sepenuhnya kepada kereta lama tersebut untuk mencari rezeki sehari-hari,’’ katanya.

Sementara itu, orang ramai berpendapat, cadangan itu keterlaluan hanya kerana mahu menyelesaikan lambakan kereta baru yang tidak terjual di pasaran.

Seorang pesara, Mohd. Ghani Ibrahim, 62 berkata, langkah itu tidak wajar kerana para pengguna terpaksa menanggung hutang berpanjangan dengan pihak bank.

Pandangan yang sama dikongsi oleh suri rumah, Salmah Mohd Noor, 40, yang berkata, masalah yang bakal dihadapi ialah bagaimana untuk membayar ansuran bulanan apabila membeli kereta baru terutama bagi mereka yang tidak bergaji tetap dan hampir mencecah usia persaraan.

Seorang peminat kereta antik, Mohd Tahir Ahmad berpendapat, pengguna membeli kereta berdasarkan kualiti, perkhidmatan serta model dan bukannya usia kerana kereta lama mampu beroperasi dengan baik sekiranya aspek penyenggaraan dijaga.

‘‘Saya sendiri memiliki kenderaan yang dibuat pada tahun 1950-an. Sehingga hari ini ia boleh digunakan tanpa sebarang masalah besar,’’ katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Wakil Pengedar Edaran Otomobil Nasional Malaysia (EDAM) yang bertanggungjawab mengedar kereta Proton mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap baik buruk cadangan itu kerana ia perlu dibuat secara sukarela oleh pemiliknya.

Presidennya, Datuk Ismail Din berkata, cadangan itu jika dilaksanakan akan melibatkan banyak perkara termasuk kewangan dan kepakaran.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:44
Maghrib 7:28
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.