saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/04/2007

Pak Hamzah: Buku itu nyawaku

HAMZAH Hussin, penulis veteran dan aktivis perfileman terkenal di negara ini meninggal dunia Sabtu lalu akibat sakit tua. Allahyarham, yang bakal mencecah usia 80 tahun pada 27 Julai ini menghembuskan nafas terakhirnya selepas solat Zuhur di rumahnya di French Road, Singapura. Sebagai wartawan beliau berkhidmat di Melayu Raya dan pernah pula memimpin akhbar Filem Raya. Hamzah juga pernah bekerja dengan Harmy Press dan Royal Press bersama Arena Wati. Selama menjadi wartawan, Hamzah menyumbang untuk akhbar dan majalah Hiboran dan Fashion tempat beliau menjadi redaksi selain Mastika, Mutiara, Kisah, Belia, Utusan Zaman dan Bintang.

Allahyarham dikenali kerana pegangannya yang kuat dengan slogan ‘seni untuk seni’. Hamzah sering bertentangan dengan Asraf yang berpegang kepada ‘seni untuk masyarakat’ yang juga menjadi anutan penyokong ASAS 50 yang turut beliau asaskan pada 6 Ogos 1950. Kerana perselisihan prinsip, bersama temannya Rosmera, mereka kemudian meninggalkan ASAS 50 dan menubuhkan Persatuan Angkatan Persuratan Melayu Baru (PAPMB) pada 17 April 1954. Pemikiran Pak Hamzah banyak dibincangkan dan salah satu yang agak kuat oleh Athi Sivan Mariappan berjudul Hamzah Hussin: Sekitar Pemikiran Seni untuk Seni (Penerbit UKM 1997)

Anak seorang penerbit, penjual buku dan pengarang syair ini belajar di sekolah Melayu dan Sekolah Inggeris Victoria hingga darjah lapan selain mengaji di sekolah agama Darul Ma‘arif al-Islamiah, Singapura pada zaman Jepun. Kerana itu Hamzah dilihat sebagai seorang yang berlatar belakang agama yang kuat. Ketika menubuhkan ASAS 50, Hamzah baru berusia 23 tahun. Novel percubaannya DiMana Terbitnya Si Matahari (1950) mengetengahkan dua persoalan Islam dan nasionalisme sebagai asas perjuangan. Ini adalah gaya dan jiwa Hamzah sebelum berlakunya polemik dalam ASAS 50.

Semasa polemik, ASAS 50 dikuasai oleh ‘orang Utusan Melayu’ yang tebal dengan pengaruh kiri. Hamzah percaya ASAS 50 mula diresapi oleh badan-badan yang diharamkan pada tahun 1948, dan ini membuatkan beliau menjadi tidak popular terutama apabila Hamzah menganggap segelintir ahli ASAS 50 menulis karya yang menafikan agama dan bersimpati dengan perjuangan kiri khususnya komunis.

Hamzah menulis dalam pelbagai genre tetapi lebih kuat dalam novel dan cerpen. Bakatnya yang dominan dalam penulisan novel terbukti pada beberapa karyanya yang kuat seperti Rumah Kosong, Rumah Itu Dunia Aku, dan samseng. Cathay Keris menjadikan novel beliau Rumah Itu Dunia Aku sebagai filem. Antologi cerpen Hamzah kemudian diterbitkan semula oleh Othman Puteh di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul Pagar Bukan Penjara..

Selepas meninggalkan dunia kewartawanan Hamzah menjadi pegawai penerangan Cathay Keris selama 17 tahun sebelum menyertai Perusahaan Filem Sari Artis di Kuala Lumpur pada tahun 1972. Beliau kemudian menjadi Pengarah Eksekutif Citra Filem selain bekerja untuk syarikat Filem Gaya Sdn. Bhd. Masanya banyak juga dihabiskan sebagai perunding perfileman terutama dari segi pembikinan filem. Hamzah juga dikenali kerana kritikannya yang bernas dalam bidang perfileman. Pada tahun 1980-an, akhbar Mingguan Perdana melantiknya sebagai kolumnis untuk ruangan Close Up bagi beliau menyalurkan segala pandangan dan kritikannya.

Saya mengenali Pak Hamzah selama kami berjiran di Pandan Jaya pada awal tahun 1990-an, dan kami sering juga bertembung di jalanan. Sebagai anak muda, wujud jurang antara saya dan Pak Hamzah sungguhpun kami berjiran.

Namun kami menjadi begitu akrab apabila beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi beliau mengusahakan memoirnya. Beberapa tahun saya bekerja rapat dengan beliau sebelum terbitnya Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka pada 1997. Saya kemudian mengecek beliau menghasilkan karya yang lain. Pada waktu itu beliau sudah terlalu uzur namun diusahakannya juga sebuah novel yang terbit dengan judul Bintang Tidak Selalunya di Langit, sebuah novel satira yang menyinggung kehidupan artis Melayu di Singapura pada zamannya.

Saya agak kesal kerana hajat Pak Hamzah untuk menerbitkan sebuah buku pedoman penulisan skrip filem tidak kesampaian. Buku itu beliau hasratkan untuk dijadikan buah tangan untuk anak-anak muda mempelajari selok-belok penghasilan skrip.

Beliau meminta saya mencatatkan apa yang diucapkan, tetapi sebagai pensyarah dan editor, saya terlalu sibuk apa lagi beliau telah berpindah ke Subang Jaya, agak terlalu jauh untuk dikunjungi. Saya juga dapat mengesan bahawa Pak Hamzah sudah tidak fokus dalam membeberkan isi buku tersebut.

Satu-satunya tinggalan yang akan menjadi ingatan saya kepada beliau ialah, naskhah memoirnya yang dilancarkan diberikan kepada saya dengan catatan tangannya: “Roosfa, buku ini nyawaku.” Sebagai editor buku, tentulah catatan tersebut amat besar ertinya kepada saya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.