saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 30/04/2007

Pramoedya Ananta Toer antara realisme sosialis dan seni moden


PRAMOEDYA ANANTA TOER.


SETIAP kali membaca tulisan-tulisan Pramoedya Ananta Toer, kita selalu merasa kagum. Di setiap lembaran kita menemukan sesuatu. Bukan sahaja bahasa yang menarik tetapi juga idealisme.

Karya-karyanya terlalu banyak melontarkan humanisme. Pramoedya mengaku tema seperti itu dalam sebahagian besar tulisannya banyak dipengaruhi oleh Multatuli, pengarang Max Havelaar yang mengatakan bahawa tugas manusia adalah menjadi manusia.

Beliau juga belajar tentang humanisme daripada karya-karya John Steinbeck dan menelusuri ideologi daripada penulis agung Rusia, Mar Xim Gorky.

Melalui watak-watak tertentu (pastinya golongan kelas bawah) Pramoedya mewujudkan watak hero yang menentang pelbagai situasi yang tidak manusiawi. Antaranya feudalisme priyayi Jawa, kolonialisme dan imperialisme.

Watak-watak hero itu akan mengkritik, membidas dan mengutarakan pandangan-pandangan tertentu yang mewakili golongan masyarakat bawahan di Jawa.

Pandangan tidak manusiawinya feudalisme Jawa dikritik dengan begitu luas oleh Pramoedya terutama dalam Gadis Pantai. Ia mengangkat kisah betapa maruah seorang rakyat kecil hanya sama dengan sebilah keris pembesar.

Kritikan tentang feudalisme juga dapat dibaca dengan terperinci dalam tetralogi Bumi Manusia, iaitu melalui watak Minke, anak Bupati yang mendapat pendidikan Eropah (Belanda).

Beliau melukiskan watak Minke yang merasa terhina sekali waktu bertemu ayahnya; ‘harus merangkak, berengsot seperti siput dan menyembah seorang raja kecil yang barangkali, buta huruf pula’!

Kolonialisme juga tidak manusiawi kerana di samping sistem itu sendiri menindas dan memeras, ia membentuk orang semacam Sa’aman (dalam Cerita Dari Blora), yang akibat penganiayaan kolonial akhirnya dikuasai dendam sehingga menjadi jahat.

Kolonialisme jugalah yang melahirkan pegawai yang mencuri harta negara (dalam novel Korupsi) dan pasukan keselamatan pribumi yang mengawal dan menyekat kebebasan Minke dan gerakan kebangsaan (dalam Rumah Kaca).

Di sisi lain, Pramoedya membawa satu aliran baru dalam penulisan sastera dan kesenian Indonesia serta Nusantara iaitu realisme sosialis (selepas menterjemah karya Ibunda oleh Marxim Gorky).

Dalam tulisannya bertajuk Realisme-Sosialis dan Sastra Indonesia di Universiti Indonesia pada 1963, beliau menyeru pendekatan realisme-sosialis dan menolak aliran humanisme universal yang menjadi ‘anutan’ sebahagian besar penulis-penulis Balai Pustaka.

Di mata Pramoedya, humanisme universal adalah humanisme individualis-borjuis yang melemahkan cita-cita revolusi kerana membawakan pesimisme dan negativisme. Sekaligus merupakan cerminan bagi suara kapitalis Barat yang kehilangan tanah jajahan.

Sementara itu, realisme-sosialis pula bersifat optimistik dan menentang kapitalisme serta imperialisme.

Sesungguhnya, Pramoedya sangat mengagumi Gorky dan menganggap kata-kata beliau ‘sekiranya musuh tidak mahu menyerah, kita mesti memusnahkan mereka’ sangat sesuai dalam konteks Indonesia ketika itu.

Radikalisme itulah yang menjadi gaya yang diterapkan ketika menjadi pemimpin redaksi Lentera iaitu majalah milik Parti Komunis Indonesia (PKI).

Di Lentera, Pramoedya menyeru supaya penulis yang tidak memihak kepada aliran realisme sosialis ‘disingkirkan’ dan ‘tidak perlu diberikan ruang walaupun sekecil-kecil’.

Alasannya, Presiden Indonesia ketika itu Soekarno sedang terancam dan negara dalam bahaya. Oleh sebab itu, seni yang tidak menyokong revolusi harus diketepikan.

Di samping itu, Pramoedya juga menyebutkan alasan peribadi: waktu berada dalam Lentera, beliau sangat marah pada tentera dan pihak yang diperalat (peristiwa pemukulannya oleh tentera menyebabkan kerosakan pendengaran hingga ke akhir hayat merupakan dendam terbesar kepada angkatan itu).

Namun, aspek yang paling menarik di sekitar kepengarangan Pramoedya ialah pertembungan antara realisme sosialis dan humanisme universal. Ia seolah-olah menghidupkan kembali perdebatan kedua-dua aliran itu yang bermula di Eropah sejak awal 1900.

Dari sudut sejarahnya, Gorky menggariskan realisme sosialis sebagai sebahagian daripada pandangan tentang emansipasi manusia, iaitu komunisme.

Dalam komunisme, penganut ideologi itu berpendapat, kemerdekaan dan kebebasan hari ini harus ditunda dan dikorbankan demi kemerdekaan bersama hari depan.

Ideologi

Pramoedya juga sangat mengagumi Andrei Zhdanov, seorang lagi pemikir dan pengasas realisme sosialis. Antara lain, tokoh itu menegaskan sastera harus melukiskan kenyataan sejarah dalam perkembangan revolusionernya demi pembentukan ideologi dan semangat sosialisme kaum buruh.

Sebenarnya penilaian negatif terhadap seni moden sudah muncul sebelum Zhdanov, iaitu daripada George Lukacs.

Lukacs antara lain menyatakan, seni haruslah melukiskan keharmonian secara keseluruhan setelah ia nyaris dihancurkan oleh sistem kapitalisme.

Fragmentasi itu terjadi kerana dalam kapitalisme, segala aspek kehidupan mengalami perbezaan hubungan antara manusia berubah menjadi hubungan antara benda.

Realisme-sosialis dianggap oleh Lukacs mampu mencerminkan keseluruhan yang hilang tersebut. Sementara itu, katanya kelompok surealisme, dadaisme dan kaum avant-garde hanya asyik dengan ketidakpastian.

Lukacs mengintepretasi modenisme dan humanisme universal hanya tertumpu pada medium seni berbanding terhadap isinya yang dilihat hanya berhenti pada realiti yang terpecah-pecah.

Selain itu, Lukacs turut mengkritik dengan lantang seni moden, terutama ekspresionisme Jerman, kerana dianggap mengandungi cetusan yang tidak logik dan tidak rasional.

Namun, agak aneh pandangan bahawa seni moden yang membawa pesimisme turut datang daripada pengikut bukan aliran realisme-sosialis. Sutan Takdir Alisjahbana, sasterawan yang menjadi salah satu fokus serangan Prameodya, ternyata punya pendirian yang hampir sama.

Beliau melihat bahawa kesenian Indonesia harus direkonstruksi. Seni harus mempunyai tanggungjawab sosial. Ia tidak boleh untuk seni itu sendiri atau bersifat individualistik.

Oleh sebab itu, Sutan Takdir mengkritik Chairil Anwar, Pablo Picasso, Ernest Hemingway, Rimbarandt dan Kandinsky.

Ketika perdebatan antara realisme sosialis dan humanisme universal sedang memuncak, Sutan Takdir menyatakan rasa cemasnya terhadap seni moden. Alasannya kerana genre itu membawa pesimisme dan terasing daripada masyarakat.

Dengan kata lain, pandangan Sutan Takdir tentang seni moden itu sama dengan pendapat Pramoedya iaitu ia menampilkan pesimis, individualistik dan elitisme seni.

Bagaimanapun, pandangan dan kritikan terhadap seni moden yang diketengahkan Pramoedya, Lukacs, dan Sutan Takdir sebenarnya tidak punya asas yang kukuh

Bertolt Brecht misalnya mengkritik realisme Lukacs sebagai ‘terlalu formal dan mengetepikan sejarah’.

Beliau berkata, Lukacs menolak seni moden kerana ia tidak punya kepekaan seorang seniman dan tidak banyak masuk dalam dunia puisi atau teater. Dia juga tidak sedar bahawa realisme mencerminkan kenyataan sejati (mimesis).

Pengikut aliran realisme sosialis juga tidak boleh mengaku sebagai satu-satunya wakil seni Marxis. Pada hakikatnya ramai pengikut seni moden yang menganut aliran itu.

Andre Breton misalnya yang mempelopori surealisme, Bertolt Brecht dengan teater epik, dan pelukis Diego Riviera adalah contoh pengikut Marxisme yang terlibat dalam seni moden.

Bagaimanapun, kelompok realisme sosialis tetap mentafsirkan seni moden itu sebagai seni borjuis yang tidak meyakinkan dan kabur dari segi fungsinya.

Pandangan Pramoedya dalam tetralogi Bumi Manusia masih menunjukkan optimisme khas abad ke-19 bahwa ilmu moden dari Eropah, seperti yang dipelajari Minke, merupakan sarana pencerahan dan membawa kemajuan kemanusiaan.

Namun, Pramoedya merumuskan bahawa pembelaan terhadap humanisme tidak boleh diukur dari realisme atau moden suatu karya.

Sesebuah karya realisme boleh sahaja sangat bersifat humanisme tetapi juga boleh menjadi sebuah tulisan yang antikemanusiaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.