saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/05/2007

Terima kasih cikgu

MUKADIMAH
HARI Guru tahun ini bertema Guru Penjana Modal Insan Gemilang, Terima Kasih Cikgu’. Sambutan tahun ini cukup bersejarah kerana pada tahun ini juga Malaysia menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaannya.

Malah, sambutan kali ini adalah masa terbaik untuk guru bermuhasabah diri bagi menilai kemampuan diri dalam melaksanakan pelbagai agenda besar negara seperti mana dinyatakan dalam teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), serta isu-isu pendidikan yang berkaitan profesion itu.

Ikuti wawancara WAHID HASHIM dengan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Jabatan Sekolah), DATUK ALIMUDDIN MOHD. DOM, berhubung semangat dan pengisian Hari Guru Ke-36 yang disambut di Johor Bahru, hari ini.

UTUSAN MALAYSIA: Apakah gambaran umum tentang profesion perguruan pada hari ini?

ALIMUDDIN: Profesion perguruan pilihan utama kepada golongan remaja di Malaysia. Contohnya pada tahun lepas, 80,000 permohonan untuk menjadi guru. Itu satu jumlah yang besar sedangkan tempat yang ada lebih kurang 6,000 sahaja.

Jelaslah bahawa perguruan kini menjadi minat remaja.

Pelajar cemerlang kita hantar ke luar negara. Calon guru mestilah yang cemerlang kerana kalau tidak, mereka tiada tempat.

Inilah perubahan positif yang berlaku dalam tempoh 50 tahun ini.

Saya rasa ini senario yang sangat baik yang boleh dijadikan standard guru.

Malah, kalau kita melihat program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), maka ada golongan profesional - jurutera, akauntan, pengamal undang- undang yang belajar dari dalam dan luar negara - memohon menjadi guru.

Skim gaji mereka ialah skim gaji guru walaupun gaji sebelum menjadi guru lebih besar. Mungkin mereka sudah buat kerja lain, tetapi masih tidak berpuas hati. Maknanya menjadi jurutera atau akauntan dirasakan tidak cukup sumbangannya. Kerja pejabat sahaja. Dengan menjadi guru dapat memberi sumbangan yang banyak. Ada yang sudah bekerja dan gaji mereka lebih tinggi. Kenapa pula hendak menjadi guru, kalau gaji lebih rendah?

Mungkin jiwa mereka ialah jiwa seorang guru.

Dahulu dikatakan guru umpama lilin membakar diri. sekarang cabarannya lebih besar dan menjangkaui kemampuan dan kemahuan guru sendiri. Ibu bapa pada hari ini sensitif dengan apa yang berlaku di sekolah. Apa komen Datuk?

ALIMUDDIN: Dalam konteks bersempena Hari Guru ini, kepada ibu bapa saya mencadangkan supaya mereka turut memberi pengiktirafan kepada guru. Kalau ada isu yang menyentuh anak mereka, selesaikanlah dengan baik. Langkah pertama adalah dengan berhubung dengan pengetua atau guru besar untuk mendapatkan maklumat tentang isu berkaitan anak mereka. Jangan dengar sebelah pihak sahaja, iaitu anak-anak.

Pada hari ini, ada kes ibu bapa menyalahkan pihak sekolah tanpa terlebih dahulu mendapatkan maklumat yang lengkap daripada pihak sekolah.

Begitu juga, saya minta pihak sekolah sentiasa berbincang dengan ibu bapa.

Contohnya, ada pelajar yang tidak membuat latihan dengan lengkap bila disuruh oleh guru, jadi kadangkala kita tidak tahu mungkin anak-anak ini bekerja, membantu ibu bapa.

Terdapat beberapa kes seperti ada anak membantu ibu bapa di kedai atau di kebun. Kadangkala anak-anak tidak sempat buat kerja rumah.

Dengan pergi berjumpa ibu bapa, mereka mendapat maklumat yang lebih lengkap. Jadi, dapat elakkan salah faham.

Ada guru melemparkan kata-kata kasar dan kesat kepada pelajar?

ALIMUDDIN: Seharusnya elakkan. Anggaplah pelajar anak sendiri. Mereka pun ada masalah di rumah, kadang- kala masalah kemiskinan dan masalah pengangkutan. Ada yang bangun seawal pukul lima pagi untuk datang ke sekolah. Ada yang terpaksa membuat kerja dahulu, misalnya menoreh getah sebelum ke sekolah. Hal ini biasa berlaku. Kadangkala ada masalah keluarga. Perpecahan rumah tangga. Sudah tentulah emosi mereka tak stabil. Jadi bila datang ke sekolah dan guru marah, mereka akan cepat beremosi dan mudah tersinggung. Akhirnya tidak dapat belajar dengan baik. Malah ada kesan yang lebih buruk.

Apa yang Datuk boleh katakan tentang guru yang hanya datang dan balik ikut waktu, dan tak peduli susah senang anak muridnya.

ALIMUDDIN: Pada pandangan saya, inilah yang membezakan tugas profesional guru. Maknanya bukan setakat makan gaji. Bukan seperti kerja pejabat datang pukul lapan balik pukul empat, atau datang pukul sembilan balik pukul lima.

Guru lebih daripada itu. Tugasnya bukan sahaja mengajar, malah mengambil tahu hal budak. Tahap kebolehan pelajar pula pelbagai - ada yang pandai, pertengahan dan yang lemah. Maknanya cara pengajaran perlu berbeza-beza. Jadi hal ini perlu menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sebagainya. Jadi kerjaya guru adalah profesional, yang orang lain tidak boleh lakukan.

Hal ini kerana guru telah terlatih. Kalau ada guru yang bersikap demikian, bermakna guru itu telah merosakkan profesion perguruan itu sendiri.

Kalau begitu sikap guru, seolah-olah kerja guru ini siapa pun boleh buat. Seharusnya guru lebih daripada itu. Bukan setakat datang mengikut masa yang ditetapkan, malah cara ia melaksanakannya perlu pelbagai mengikut tahap keupayaan pelajar sendiri.

Guru juga perlu ada kemahiran pedagogi, malah mesti mempunyai kemahiran psikologi.

Perlu ada penampilan yang baik. Tidak boleh bengis, tidak boleh marah dan mesti pandai mengambil hati, senyum selalu.

Guru mesti menjadi contoh terbaik kepada pelajar dari segi pengurusan masanya, dari segi tingkah laku, pakaian dan semuanya. Kesemuanya menjadi perhatian.

Guru mesti ada banyak kelebihan, barulah boleh menjadi guru yang berkesan.

Demikian juga guru berkesan ada kelebihan dari segi permainan, bagus dalam takraw. Jadi dapat mengajar anak murid dengan lebih baik.

Bagi saya, guru perlu serba boleh, dan tidak boleh macam biasa sahaja. Maknanya perlulah profesional.

Apakah sikap dan pendirian kementerian terhadap guru bermasalah - adakah bersikap tegas, memberi peluang kedua, ketiga? Atau dikenakan tindakan disiplin?

ALIMUDDIN: Guru sama seperti kakitangan awam, terikat dengan akta dan peraturan. Bentuk hukuman seperti amaran, potong gaji, turun pangkat - malah ramai juga guru yang diberhentikan kerja, terutamanya apabila menghadapi kes mahkamah ataupun jenayah.

Adakah terdapat cadangan menjadikan guru sebagai wira negara. Misalnya jika terkorban ketika bertugas mereka diselimutkan dengan Jalur Gemilang, atau jika sakit ditempatkan di wad kelas pertama?

ALIMUDDIN: Saya memang bersetuju kalau ada cadangan seperti itu.

Pihak Kementerian Pelajaran memandang berat pengorbanan guru dan sedia untuk mengkaji cara untuk memberi penghormatan kepada yang cedera yang terkorban semasa menjalankan tugas. Memang saya rasa ini sesuatu yang baik, cadangan untuk memberi penghormatan memang baik.

Kesan kepada masyarakat lebih besar bila isu berlaku kepada guru berbanding kakitangan kerajaan yang lain.

ALIMUDDIN: Itulah adalah kerana kerjaya perguruan sangat rapat dengan masyarakat, khususnya ibu bapa. Hal ini kerana isu-isu pendidikan ini semua orang boleh cakap kerana semua orang ada anak, adik atau cucu yang bersekolah. Sebab itu bila ada isu tentang guru, terutamanya yang bersikap negatif, cepatlah sahaja diberi perhatian. Jadi guru perlu jaga maruah profesionnya.

Apakah dan bagaimanakah kecenderungan perayaan Hari Guru pada tahun ini?

ALIMUDDIN: Sambutan Hari Guru 2007 sangat bermakna kerana pada tahun ini kita meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50. Sempena Hari Guru 2007 ini, kita akan melihat susur-galur sejarah pengisian pendidikan.

Pembangunan sangat berkait rapat dengan pendidikan.

Kerajaan menyediakan bajet besar dan beri tumpuan yang istimewa, malah Perdana Menteri sekarang - mana-mana Perdana Menteri dari dahulu sampai sekarang - memberi perhatian penuh kerana mereka sedar pendidikan yang berkualiti boleh memberi kemajuan kepada negara kita.

Tema pada tahun ini ialah Guru Penjana Modal Insan Gemilang - Terima Kasih Cikgu.

Tema ini berkisar kepada pembangunan modal insan seperti mana yang ditekankan oleh Perdana Menteri kita dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Berkait dengan modal insan ini, ada tiga elemen yang selalu saya tekankan, iaitu yang pertama ialah ilmu, maknanya guru menyampaikan ilmu - matematik, sains, sejarah, geografi dan sebagainya. Kedua ialah modal insan berkaitan dengan kemahiran sampingan dipanggil soft-skill. Kita tidak mahu pelajar sekarang ini mempunyai ilmu sahaja tetapi tidak mempunyai kemahiran. Contohnya kemahiran pengucapan awam, kemahiran mereka cipta kemahiran berkomunikasi serta kemahiran berinteraksi. Kalau mereka masuk golongan ini, mereka pandai menyesuaikan diri.

Ketiga dari segi nilai, bukan sahaja hebat dari segi penampilan diri atau fizikal, tetapi juga jujur, bertanggungjawab, ikhlas, dan bersifat yang memberi - jiwa yang memberi dan juga nilai kasih sayang tinggi.

Jadi ketiga-tiga nilai ini terkandung dalam modal insan yang mesti dihasilkan dalam guru-guru kita untuk melahirkan warganegara yang akan bersaing untuk masa depan sebuah negara maju.

Berbalik kepada Hari Guru, ia adalah satu hari dengan setiap guru perlu bermuhasabah diri, iaitu setiap setahun sekali kita (guru) perlu melihat sejauh mana sumbangan mereka, sejauh mana mereka melaksanakan tanggungjawab mereka, sejauh mana mereka menjadi guru yang berkesan, dan sejauh mana peranan mereka terhadap negara.

Saya rasa setiap guru perlu bermuhasabah diri.

Kedua, saya harap guru memberi kasih sayang. Dalam zaman moden ini banyak orang tidak memberi penekanan kepada hal ini. Pada pandangan saya, gurulah golongan yang patut menitikberatkan kasih sayang di sekolah.

Mungkin dulu tidak begitu penting, tetapi sekarang sangat penting kerana kehidupan masyarakat kita yang maju. Kadangkala ibu bapa tidak ada masa membelai, memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak kerana kesibukan bekerja.

Jadi, sempena Hari Guru ini, saya menyarankan guru menghulurkan kasih sayang dan berilah sepenuh perhatian kepada anak-anak.

Majlis Hari Guru penting kerana Perdana Menteri sendiri rasmikan - bukti sokongan kuat beliau.

Banyak cerita menyayat hati tentang nasib guru di pedalaman bukan sahaja ada yang cedera atau sakit, malah terbunuh dan dibunuh kerana bertugas. Begitulah nasib yang menimpa guru agama sekolah jenis kebangsaan (SJKC) Hin Hua di Song, Kapit, Sarawak, Allahyarham Anizah Othman dari Johor baru-baru ini. Bagaimana masa depan dasar penempatan guru di pedalaman?

ALIMUDDIN: Dari segi penempatan guru, ada kaitan dengan pelunjuran. Maknanya, pada setiap tahun kementerian akan membuat pelunjuran, misalnya pelunjuran pada tahun depan telah dibuat seperti berapa ramai guru diperlukan - bukan sahaja dari segi bilangan, tetapi juga opsyennya.

Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) - salah satu pendekatannya ialah to finish the unfinish bussiness, maknanya kekurangan dalam pendidikan diberi perhatian atau dengan kata lain to level the playing field atau menyamaratakan padang permainan dari segi akses ekuiti dan kualiti.

Akses maknanya penempatan, ekuiti dari segi kesaksamaan seperti bandar dan luar bandar perlu mempunyai formula peruntukan yang sama.

Dengan kata lain, guru sangat diperlukan untuk mencapai objektif pendidikan.

Dalam hal ini, kadang-kadang kita tidak ada pilihan kerana kita ada tanggungjawab yang amat besar kepada pelajar, jadi terpaksa kita hantar guru-guru walaupun kawasan itu mempunyai banyak kekurangan. Kita tidak boleh elak. Kalau tidak kita tidak mencapai hasrat yang hendak kita capai ini.

Adakah kita memetakan profil kawasan. Contohnya sesuatu kawasan itu lebih berisiko tinggi berbanding yang lain?

ALIMUDDIN: Memang ada.

Terdapat beberapa cara untuk mengatasi masalah ini, misalnya kita ada rancangan, mulai tahun ini institut perguruan di Miri dan Tawau akan menempatkan pelajar tempatan untuk dihantar ke Sarawak dan Sabah.

Kita akan melatih anak tempatan untuk menjadi guru. Ini satu langkah untuk mengelakkan mereka yang tidak biasa dengan kawasan pedalaman.

Kedua, bergantung kepada kawasan, jika yang terlalu jauh di pedalaman, biasanya kita hantar guru lelaki dan berstatus bujang.

Bukan itu sahaja, kita juga menyediakan rumah guru.

Nasib yang menimpa guru di pedalaman bukanlah bahan lawak jenaka lagi.

ALIMUDDIN: Kita faham guru-guru di pedalaman memang mengharungi banyak cabaran, terutamanya dari segi kemudahan asas yang agak kurang di tempat ini. Kementerian sangat prihatin. Contohnya elaun khidmat di pedalaman yang telah diberi kepada guru. Menteri Pelajaran pun telah umumkan insurans guru pedalaman. Kemudian, tambang balik kampung juga diberikan.

Apa yang mereka sumbangkan merupakan satu pengorbanan. Kementerian berterima kasih dan terhutang budi kepada guru pedalaman yang sanggup berkhidmat di kawasan jauh.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zohor 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.