saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 21/05/2007

Lagi pendaki maut di Gunung Ledang

MUAR 20 Mei – Seorang pendaki gunung warganegara Singapura maut dihempap pokok selang empat hari selepas kejadian yang sama menimpa seorang pelatih institut pendidikan dari republik itu sewaktu berkhemah di Gunung Ledang, Sagil dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Abdul Razak Abdul Hamid, 48, dari Apartmen Blok 50, Charchee Street 03-801, Jurong Singapura 461050 maut ketika tidur seorang diri di dalam khemah di tapak perkhemahan Pasir Panjang di Check Point 4, kira-kira 730 meter dari kaki gunung itu.

Kejadian berlaku sewaktu hujan lebat dan angin kencang apabila sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan menghempap khemah tempat mangsa tidur. Dahan pokok itu terkena bahagian belakang badan mangsa.

Kemalangan itu berlaku selepas mangsa turun dari puncak gunung berkenaan dan tidur di tapak perkhemahan tersebut.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohd. Nizar Mohd. Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, mangsa bertugas sebagai anggota polis bantuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa disahkan meninggal dunia kerana kecederaan dalaman yang teruk terutama di bahagian dada akibat dihempap pokok,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa tidur berseorangan di dalam khemah itu kerana keletihan manakala 11 rakannya yang telah berjaya menawan Gunung Ledang semalam mendaki puncak gunung itu sekali lagi.

Angin kencang serta hujan lebat ketika itu mengakibatkan sebatang pokok tumbang dan mengenai mangsa. Rakan mangsa yang kembali ke khemah tidak lama kemudian mendapati mangsa yang masih hidup berada dalam keadaan cedera parah.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berasal dari Jurong, Singapura dikatakan sedang tidur dalam keadaan meniarap apabila pokok itu tumbang dan menghempap bahagian belakang badannya.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 12.05 tengah malam lalu bergegas ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, sepasukan Renjer dari Taman Negara Johor di Gunung Ledang yang dimaklumkan mengenai kejadian itu tiba lebih awal untuk menjalankan operasi menyelamat.

Mangsa dan rakan-rakannya dibawa turun tetapi Abdul Razak disahkan meninggal dunia sewaktu tiba di pusat pemeriksaan di Check Point 1 kira-kira 5.40 pagi.

Jenazah mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tangkak sebelum dituntut oleh keluarganya.

Difahamkan terdapat kira-kira 100 pendaki mendaki Gunung Ledang semasa kejadian itu dan mereka diminta turun secara berperingkat-peringkat bagi mengelak kejadian yang sama berulang ekoran angin kencang yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang warga Singapura yang menyertai perkhemahan di gunung itu maut dihempap sebatang pokok ketika sedang tidur di dalam khemah bersama tiga lagi rakannya di kawasan perkhemahan Pasir Panjang pada ketinggian kira-kira 630 meter dari kaki gunung itu.

Mangsa, Mohammad Rohaizam Tumadi, 27, penuntut di Institut Pendidikan Kebangsaan di Jalan Bahar, Singapura meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah di muka, badan dan kepala apabila sebatang pokok tumbang menimpa khemahnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.