saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 21/05/2007

Magis sang juara bernama Mila


PERSIS Mutiara... Lagu baru yang dinyanyikan oleh Mila seolah-olah ditujukan kepada dirinya.


JARANG benar magis hadir untuk mencapai sebuah kejayaan besar. tetapi yang paling beruntung, gadis kelahiran Pulau Pinang yang bernama Norsyarmilla Jirin yang kini cukup popular dengan panggilan Mila.

Ketika Akademi Fantasia musim kelima (AF5) memulakan konsert minggu pertama pada 17 Mac lalu, barangkali nama Mila tidak pernah terlintas langsung di kalangan penonton untuk dinobatkan sebagai juara.

Ditambah pula dengan kemunculan seramai 16 pelajar pada musim ini, kelibat Mila yang genit itu agak terlindung di kalangan pelajar yang lain.

Apatah lagi pada konsert tersebut, Mila hampir tersingkir apabila dia dan Ebi menjadi dua pelajar yang mendapat undian SMS (khidmat pesanan ringkas) paling rendah selepas Diya diumumkan menjadi pelajar pertama meninggalkan AF5.

Namun gara-gara Zana menarik diri atas alasan tekanan perasaan dan automatik menjadi pelajar kedua tersingkir, perjuangan Mila terselamat untuk konsert mingguan kedua.

Lebih menariknya pula, sehingga konsert sembilan sebelum konsert akhir AF5, takhta tangga tercorot tetap menjadi milik Mila pada setiap pembukaan konsert.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, Mila yang berusia 19 tahun itu mula mendapat perhatian ramai sejak konsert minggu keempat ketika menyampaikan lagu Benci Tapi Rindu (nyanyian asal Diana Nasution).

Sejak itu, Mila tidak menoleh ke belakang lagi dan gadis yang hanya mempunyai ketinggian 148 sentimeter ini ternyata memiliki bakat yang luar biasa.

Malam Sabtu lalu bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, perjalanan suka duka Mila di AF5 sampai kemuncaknya.

Disaksikan dengan jumlah penonton 6,000 di stadium dan hampir 3 juta orang di kaca TV, Mila membuktikan dia berada dalam standardnya yang tersendiri.

Berbekalkan suara yang lantang dan personaliti yang menarik, Mila memakbulkan impian ramai untuk melihat pelajar wanita pertama bergelar juara.

Akhirnya, Mila berjaya meletakkan dirinya sebaris tinggi dengan juara AF sebelum ini iaitu Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3) dan Faizal (AF4).

Apa pun, selamat datang buat Mila dalam industri seni muzik tempatan - begitulah antara pujian yang dilemparkan kepada juara baru ini.

Lebih hebat, sudah kedengaran kenyataan bahawa Mila bakal berentap dengan penyanyi wanita popular tanah air yang turut memiliki vokal lantang Jaclyn Victor.

Ini kerana tempiasnya pengetua AF5, Roslan Aziz merupakan antara individu yang berjaya melahirkan Jac sebagai juara pertama juga menerusi program realiti Malaysian Idol. Dan hari ini, nama Jac begitu gah di persada seni tanah air.

Namun awal-awal lagi Roslan tidak mahu Mila dibandingkan dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu Gemilang itu. Malah kata Roslan, Mila juga bukanlah second Jaclyn Victor dalam industri seni tanah air.

“Jac adalah penyanyi yang baik. Tetapi bagi saya AF tetap program realiti terbaik tanah air dan lebih baik daripada Malaysian Idol. Cuma saya harap Mila dan Jac tidak terus dibandingkan selepas ini,” pohon Roslan kepada pihak media.

Mila pula hanya tersenyum lebar apabila ditanya kualiti vokalnya yang mampu ‘pukul’ penyanyi seniornya itu.

“Saya tidak pernah terfikir pun tentang perkara itu. Banyak lagi yang saya perlu belajar tentang teknik vokal saya,” jawab Mila yang kelihatan petah menjawab soalan pihak wartawan.

AF5 tetap nombor satu!

BUKAN obses tetapi inilah hakikatnya. AF5 adalah program TV realiti tempatan yang paling popular dan nombor satu di tanah air.

Jenama AF terlalu kuat dengan masyarakat Malaysia terutamanya kaum Melayu. Mereka berduyun-duyun sanggup hadir menonton konsert mingguan AF5. Ada yang berkeluarga, berpasangan dan seorang diri.

Itulah realiti yang dapat dilihat menerusi sambutan para penonton sejak konsert minggu pertamanya hinggalah konsert akhirnya malam kelmarin.

Buktinya juga, sepanjang 10 konsert mingguannya berlangsung, AF5 menerima 6.6 juta undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada para penonton.

SMS yang mengenakan caj 50 sen setiap satu itu dihantar oleh para penonton bagi memilih juara di kalangan 16 pelajar AF5.

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah, jumlah SMS yang diterima tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu kami menerima 7 juta SMS sepanjang 10 minggu program ini dijalankan. Bagaimanapun setelah ditolak dengan AF Masuk sebanyak 1.2 juta, SMS yang kami terima hanya 5.8 juta.

“Namun untuk AF5, kami menerima 6.6 juta SMS termasuk konsert akhir malam ini sebanyak 1.9 juta daripada para penonton,” kata Zainir pada sidang media selepas konsert berakhir.

Jelas Zainir, Astro dan Maxis akan menghulurkan dana berjumlah RM300,000 dan RM50,00 daripada hasil kutipan SMS itu untuk tujuan pembangunan industri dan kerja-kerja amal.

Menjawab pertanyaan sama ada penganjuran AF akan diteruskan pada musim keenam tahun depan, Zainir enggan bermain teka-teki.

“Ya,” demikian jawapan Zainir setelah menilai pelbagai sudut perspektif program tersebut kepada Astro sendiri.

Apabila ditanya tentang masa perjalanan konsert yang terlalu lama disebabkan segmen khas perpisahan untuk pengacaranya, Aznil Nawawi, Zainir menjelaskan konsert akhir merupakan detik terbaik untuk menghargai jasa pengacara itu.

“Ia ibarat pemain bola sepak apabila dikeluarkan sebelum tempoh permainan berakhir sambil disaksikan oleh penonton yang ramai,” katanya sambil tersenyum.

Corat-Coret
* Stadium penuh sesak walaupun pada waktu yang sama turut disiarkan siaran langsung perlawanan akhir FA Cup England antara Manchester United dan Chelsea di Astro. Malah di luar stadium, skrin layar besar disediakan bagi mereka yang tidak dapat masuk dan senarionya ibarat pesta wayang pacak.

* Sudah menjadi lumrah untuk menyaksikan perang poster di kalangan peminat fanatik sebagai tanda sokongan kepada pelajar kegemaran mereka. Namun terdapat satu poster yang mencuri perhatian berbunyi, ‘Pemuda/Putera UMNO Bayan Baru Menyokong Aswad’. Khabarnya juga lebih dua bas yang disewa khas dari Pulau Pinang datang memberi sokongan kepada Aswad.

* Kemenangan Mila semakin menepati ramalan apabila sorakan untuknya begitu bergemuruh di dalam dewan setiap kali nama pelajar disebut oleh Pengurus Pentas yang popular dengan panggilan Dollah Cantik.

* Dollah juga sering kali mengingatkan penonton tentang letupan bunga api yang bakal digunakan sepanjang konsert berlangsung. Hasilnya, letupan tersebut betul-betul membuatkan stadium bergegar dan ia ibarat berada di medan perang.

* Seperti biasa, anggota Rela bertungkus lumus mengawal keadaan bagi memastikan tidak ada penonton yang merakamkan konsert akhir melalui kamera video tangan atau telefon bimbit.

* Ketika waktu iklan, ramai penonton yang menyerbu ke bilik air disebabkan suhu stadium yang agak sejuk. Namun tidak ada acara selingan yang disediakan untuk penonton di stadium pada waktu itu.

* Menariknya persembahan Aswad menerusi lagu Mata Hati Jiwa sempat diiring gaya tangan Line Clearnya oleh pelajar-pelajar AF5 yang tersingkir dari bawah pentas.

* Konsert akhir yang berlanjutan sehingga pukul 1 pagi turut menyebabkan sidang akhbar tamat sekitar 2.30 pagi. Namun pihak jurugambar masih dengan tugas mereka untuk mengambil gambar pelajar-pelajar pula.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.