saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/06/2007

Perginya seorang ibu seni misali

SEMALAM Kasma Booty telah disemadikan di Tanah Perkuburan Klang Gate baru, Taman Melawati, Hulu Kelang.

Primadona filem Melayu itu menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 2 pagi di Hospital Ampang selepas mengalami sesak nafas. Sejak tiga minggu lalu, kesihatannya terganggu setelah menghidap paru-paru berair selain kencing manis dan darah tinggi.

Maka, berakhirlah perjalanan hidup seorang ibu seni mithali. “Sewaktu kecil, ibu sering membawa kami ke lokasi penggambaran. Walau sibuk berlakon, ibu cukup bimbang tinggalkan kami di rumah.

“Tetapi kalau terpaksa juga tinggalkan kami, ibu akan lebih dulu menyiapkan makan minum kami di rumah. Ibu berlakon kerana ingin membantu menyara keluarga dan bukan mencari glamor,” kata anak bongsu Kasma Booty, Purnama Booty, 52.

Menurut Purnama lagi, sikap ambil berat ibunya terhadap anak-anak, tidak pernah padam walaupun ketika tenat melawan penyakitnya.

“Ibu masih juga bertanyakan kesihatan abang Kesuma yang sakit dan terpaksa menggunakan kerusi roda walaupun sebenarnya waktu itu ibu sendiri sedang sakit,” tambahnya.

Keprihatinan Kasma sebagai seorang ibu lebih terserlah apabila beliau sanggup mengorbankan aktiviti sosial demi anak-

anak. Di kala rakan-rakan artis lain bergembira keluar makan beramai-ramai setiap kali selesai penggambaran, namun Kasma sering tidak ikut serta.

“Kakak akan memberi pelbagai alasan untuk terus pulang ke rumah setiap kali selesai penggambaran.

“Macam-macam alasan yang diberi pada kawan-kawan. Anak sakitlah, ada hal di rumah dan macam-macam lagi.

“Apa yang penting kakak ingin segera berada bersama anak-anak. Sebab itu kakak tidak ramai kawan rapat di kalangan artis,” cerita adik tirinya pelakon Yusni Jaafar.

Malah menurut Yusni, sebagai wanita yang mempunyai sifat seorang ibu misali, Kasma telah menjadi ibu susuannya.

“Sampaikan anak saya, Raja Ema pun dimanjakan macam anak sendiri,” kata Yusni. Pemergian Kasma bukan sahaja dirasai oleh sanak saudaranya tetapi juga oleh rakan-rakan artis.

Aktres tersohor Datuk Sarimah Ahmad yang ditemui pada hari pengebumian Allahyarham, mengakui dia kini kehilangan seorang artis yang memiliki karisma tersendiri.

Walaupun tidak sezaman dengan Kasma namun kata Sarimah, bekas pelakon bangsawan terkenal itu pernah menjadi idolanya.

Kasma Booty meninggal dunia pada usia 75 tahun. Pada zaman kegemilangannya, pelakon berdarah campuran Melayu-Belanda ini pernah digelar Elizabeth Taylor Malaysia kerana kecantikannya.

Beliau pernah mencipta sejarah menerima bayaran paling mahal pada zamannya

iaitu RM1,500 untuk satu filem berbanding pelakon lain yang hanya menerima kurang separuh daripada jumlah itu.

Pada 1950, Kasma pernah digandingkan dengan P. Ramlee (Allahyarham Tan Sri) menerusi filem Bakti arahan L. Krishnan (Datuk).

Selepas filem Bakti yang mendapat sambutan hebat, Kasma membintangi filem Sejoli (1951) arahan B.S. Rajhan dan filem Juwita (1951) yang diarahkan oleh S. Ramanathan.

Pada 1967, beliau sekali lagi bergandingan dengan P. Ramlee menerusi filem Damak yang telah menjulang namanya sebagai primadona.

Sebelum bergiat dalam dunia filem, pada usia yang terlalu muda, Kasma terlebih dahulu telah aktif sebagai pelakon bangsawan dalam kumpulan Rayuan Asmara di Medan, Indonesia.

Ketika menjangkau usia 14 tahun, Kasma merantau ke Malaya terutama di Pulau Pinang dan Singapura untuk menjayakan pertunjukan pentas bangsawannya.

Bakat Kasma pada usia mudanya membawa tuah apabila dilamar oleh Shaw Brothers pada 1947 berlakon filem Chempaka arahan B.S. Rajhans.

Bersama dengan Shaw Brothers di Singapura, Kasma turut membintangi empat filem arahan B. S. Rajhans iaitu Pisau Berachun, Noor Asmara, Rachun Dunia, Dewi Murni serta filem Manusia arahan S. Ramanathan.

Pada 1958, atas permintaan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Kasma berlakon filem Mahsuri terbitan Cathay Keris.

Pada era akhir pembabitannya dalam dunia perfileman, Kasma banyak berlakon filem terbitan Studio Merdeka di Hulu Klang.

Ia termasuk filem Keris Sempena Riau, Selindang Merah dan Ratapan Ibu arahan L. Krishnan, Siti Payong, Tangkap Basah dan Anak Manja arahan (Salleh Ghani) serta Ragam P. Ramlee yang diarahkan P. Ramlee sendiri.

Pada 1952, Kasma berhadapan dengan kontroversi terhadap pengurusan Shaw Brothers sehingga beliau membuat keputusan menarik diri daripada membintangi filem Antara Senyum Dan Tangis.

Perkahwinannya dengan Jacob Booty dikurniakan lima anak. Uniknya, semua nama anak-anaknya diambil sempena judul filem yang pernah dibintangi atau lagu yang pernah dinyanyikannya.

Misalnya anak sulung, Chempaka diberi nama sempena filem pertamanya. Anak kedua, Asmara diberi nama sempena filem lakonannya Noor Asmara.

Kesuma pula sempena lagu Kesuma yang dinyanyikan Kasma ketika berlakon filem Dewi Murni sementara nama anak keempatnya, Suria sempena nama kumpulan sandiwara yang disertai Kasma iaitu Booty Suria Negara.

Hanya anak bongsunya Purnama tidak diberi nama mengikut nostalgia seninya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.